Pas Bukan Ancaman Pada BN Sarawak

KUCHING 5 Jun – Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak sedia menerima ‘kejutan’ yang ingin dibawa Pas pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Malah, mereka menyifatkan kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Md. Isa itu bukan bersifat ancaman kepada sokongan rakyat Sarawak terhadap pentadbiran kerajaan BN di negeri ini.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fadillah Yusuf, Sarawak merupakan sebuah negeri yang mengamalkan prinsip demokrasi dan sedia menerima sebarang parti untuk bertanding di negeri ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, Pas bebas untuk membuat sebarang kenyataan dan kejutan yang diumumkan itu bukanlah satu ancaman yang besar.

Beliau berkata, PBB seperti parti politik lain akan terus menggerakkan jenteranya sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

‘‘Bagaimanapun, saya yakin rakyat Sarawak telah matang dan bijak untuk terus bersama kita bagi merealisasikan hasrat mereka untuk melihat lebih banyak kemajuan dan pembangunan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nasharuddin semasa ditemui pemberita semalam menyatakan Pas akan melaksanakan beberapa pendekatan sebagai ‘kejutan’ apabila bertanding dalam pilihan raya di Sarawak tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan pendekatan yang akan digunakan parti berkenaan untuk meraih sokongan rakyat negeri ini.

Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Peter Nyarok Entrie memberitahu, Pas sebagai sebuah parti yang berdasarkan agama bukan baru bagi parti politik yang pernah bertanding di negeri ini.

Ujarnya, kehadiran Pas sentiasa dialu-alukan untuk bertanding di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, Sarawak merupakan negeri yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama yang mempunyai fahaman masing-masing.

‘‘Berdasarkan rekod mereka sebelum ini telah menunjukkan bagaimana rakyat negeri ini menolak parti itu untuk menjadi pemimpin kepada mereka,’’ kata Menteri Muda Pertanian itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum berkata, kejutan yang ingin dibawa Pas bukanlah satu ancaman bagi BN Sarawak.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata, Pas bukan pertama kali bertanding di negeri ini dan bukannya baru bagi BN Sarawak.

‘‘Rakyat negeri ini telah bijak dan mereka tahu menilai Pas yang telah bertanding pada beberapa pilihan raya negeri yang lalu,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia Online

Logo ISIS


Perkataan "ISIS" - abbreviasi mewakili "Ikatan Studi Islam Sarawak".

Peta Sarawak - Sesuai dengan nama ISIS, peta negeri Sarawak dipilih untuk menjadi antara objek fokus pada logo ini menandakan waqi' di mana ISIS berada. Ini juga menunjukkan bahawa komitmen ISIS adalah untuk membawa seterusnya mempersembahkan fikrah ataupun idealisme islami mahasiswa ke lapangan umat masyarakat di Sarawak.

Warna hijau serta bulan - perlambangan yang sinonim dengan imej-imej Islami, yang mana menandakan Islam sebagai dasar dan juga mesej bawaan ISIS.

Warna merah, biru dan kuning - Perlambangan negara Malaysia, sebuah negara berbilang kaum yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Pergerakan ISIS adalah mengikut kesesuaian waqi' Malaysia.

Globe - melambangkan Islam yang merupakan dasar ISIS adalah bersifat universal dan sejagat, bersifat berkhidmat untuk masyarakat dan tidak hanya terbatas dalam golongan mahasiswa sahaja.

MISI dan VISI

Objektif

ISIS ditubuhkan dengan tujuan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah bagi menyatukan masyarakat Islam di Sarawak khususnya mahasiswa di atas dasar ISLAM.

Visi

Beriltizam untuk mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah khususnya di Sarawak.

Misi
  1. Memperjuangkan isu kebajikan ummat Islam sejagat.
  2. Menggerakkan mahasiswa dan massa bagi mengembangkan Islam di Sarawak.
  3. Membentuk kesatuan fikrah di kalangan mahasiswa Islam di Sarawak dan seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai fikrah Islam yang satu.

Ke Mana Perginya Asatizah Local Kita?


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji ke hadrat Rabbul ‘Izzati ALLAH SWT atas segala-galanya,

Selawat dan salam tanda kecintaan sejati kepada hamba-Nya yang paling mulia, Muhammad Al-Rasul , ahlul bayt serta para sahabat baginda.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada (tersusun) di antara kamu, segolongan umat yang (tetap) menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat ma’ruf dan melarang (melakukan) yang munkar. Merekalah orang-orang yang berjaya” – Ali Imran ayat 104.

Ayat ini saya tujukan kepada anak-anak Sarawak yang bersekolah di sekolah agama ataupun yang mengaji agama sekarang ini, tidak kira di luar Sarawak, lebih-lebih yang berada di Sarawak.

Maaflah, mungkin ayat yang saya gunakan ini tidak kena dari segi penggunaannya, mungkin tidak kena dengan asbabun nuzul / sebab turun ayat ini. Kerana saya bukan dari aliran belajar agama secara mendalam. Saya tidak pernah mengambil jurusan agama di universiti, melainkan belajar Tamadun Islam di peringkat permukaan sahaja.

Saya dulu pernah bercita-cita nak jadi orang agama. Bukan jadi ustaz biasa! Jujur saya katakan – saya pernah menyimpan cita-cita mahu menjadi mufti negeri Sarawak suatu ketika dahulu. Segar di ingatan lagi, waktu itu saya di tingkatan tiga. Baru sahaja selesai PMR. Selalu juga melihat ALLAHyarham atuk saya dikunjungi anak muridnya yang sekian ramai. Belajar agama dari atuk. Melihat kesungguhan atuk mengajar agama kepada masyarakat tempatan menyebabkan saya berminat untuk mengikut jejak langkah atuk, cumanya saya nak lebih dari itu! Saya mahu jadi mufti!

Walau bagaimanapun, keadaan di waktu itu di mana saya tidak pernah berpeluang untuk mempelajari sebutir habuk bahasa Arab menyebabkan saya beransur hilang semangat. Tambahan pula tidak bersekolah agama, basic agama hanya diperolehi daripada sesi kelas Fadhu ‘Ain dan juga silibus Pendidikan Islam PMR. Maka cita-cita tersebut pun berkubur, berlalu dengan masa, dibuai jauh hanyut oleh angin yang bertiup….

Itu cerita cita-cita saya. Mungkin tidak banyak kaitan dengan mesej yang saya mahu bawa di sini.

Kita kurang ustaz tempatan.

Ya! Saya sangat setuju dengan penyataan itu. Jikalau diamati di Sarawak ini, saya boleh katakan bahawa 95% daripada ustaz di Sarawak ini adalah dari kalangan orang Semenanjung. Biasanya Kelantan ataupun Kedah. Kalau tak pun, Pahang.

Maka saya tertanya-tanya, ke manakah perginya ustaz Sarawak kita?

Sayangnya dan malangnya, dengan bilangan ramai yang enrol ke dalam sekolah agama, tidak ramai yang bercita-cita mahu jadi ustaz. Lebih-lebih lagi di zaman IT sekarang, pastinya yang top 3 ataupun 4 ataupun 5 dalam list cita-cita diisi dengan perkataan-perkataan seperti ‘doktor’, ‘engineer’, arkitek’ dan sebagainya.

Tidak ramai yang mahu menjadi ustaz.

Ya! Itulah hakikatnya. Tidak ramai anak tempatan yang mahu jadi ustaz. Tidak ramai yang sanggup mendidik anak-anak tempatan, mengisi mereka dengan agama. Mungkin gaji yang tidak lumayan. Mungkin memikirkan orang bakal mempersoalkan “ape bende ko nak jadi ustaz ni? Belajar tinggi-tinggi, jadi cikgu je ke? Belajar jauh-jauh ke Mesir, takkanlah nak jadi guru J-QAF sahaja”. Mungkin itu antara yang bermain di fikiran. Buntu juga memikirkan.

Realiti di Sarawak sekarang ini memperlihatkan bahawa masih ramai lagi yang ‘buta agama’. Maafkan saya, tapi itulah hakikatnya. Masih ramai yang tidak mengerti agama dengan sebaik-baiknya. Masih ramai yang tidak settle pada perkara yang terlalu basic. Kasihan juga saya melihatnya. Jangan cerita bab khilaf mazhab, wudhu’ pun ada yang mula dengan basuh telinga dahulu! Sungguh!

Seperti yang saya katakan tadi, majoriti asatizah/ustaz-ustaz adalah dari kalangan orang Semenanjung. Suatu hari nanti, pasti ramai yang balik negeri juga dengan tangggungjawab masing-masing di negeri sendiri. Maka saya bertanya, sampai bilakah pergantungan kita dengan ustaz-ustaz yang datang dari ‘overseas’ ini? Sampai bila hanya berharap dengan ustaz-ustaz dari Melaya ( istilah orang Sarawak untuk Semenanjung Malaysia)?

Saya sebut perkara ini bukan hanya mengenangkan tidak ada ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak yang mengajar di sekolah-sekolah, tetapi juga yang terlibat dalam medan da’wah yang lebih bersifat umum dan menghala kepada masyarakat awam. Tidak ramai ustaz-ustaz Sarawak yang dapat dilihat melibatkan diri dalam program-program ziarah da’wah, kemasyarakatan, hatta di dalam ceramah-ceramah dan kuliah pun nampaknya masih tidak ramai lagi ataupun mungkin di sesetengah kawasan langsung tidak ada ustaz Sarawak.

Baru-baru ini saya sempat ‘menjenguk’ sekitar Kampung Iran dan Kampung Tanjung Belipat serta kampung-kampung yang lain di sepanjang jalan Bintulu-Miri, menemani Ustaz saya untuk research PhD beliau. Singgah sahaja di musolla, masjid ataupun surau, nama-nama ustaz yang disebut asalnya dari Pahang, Kelantan, Kedah, itu sahaja. Mana perginya orang Sarawak?

Dan yang lebih menyedihkan lagi, di negeri sendiri ini pun masih ada lagi ustaz-ustaz Sarawak yang tidak sanggup untuk berkorban duduk di kawasan-kawasan ulu pedalaman menyampaikan da’wah Islam. Kebanyakan mahu hidup selesa, maka tinggallah ustaz-ustaz Semenanjung seorang-dua orang berjuang bermati-matian mendidik penduduk kampung di pedalaman. Ke mana perginya Ustaz Sarawak kita?!

Di program-program anjuran NGO dan badan-badan da’wah seperti Yayasan Amal Malaysia, JIM, ABIM dan sebagainya , ramainya orang Semenanjung. Ustaz-ustaz yang ada pun adalah daripada kalangan orang Semenanjung. Hanya satu-satu setengah kerat sahaja Ustaz Sarawak.

Mana perginya orang-orang kita?

Saya tidak mahu memperpanjangkan entri ini, maka saya tutup dengan dua persoalan ini;

  1. Adakah ada lagi ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak dalam masyarakat kita ini?
  2. Andaikata memang ada, ke manakah perginya ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak ini? Ke mana perginya orang local lepasan Azhar, Madinah dan lain-lain, ataupun setidak-tidaknya dari UIAM? Kenapa jarang-jarang sekali wajah-wajah asatizah Sarawak yang muncul dalam program-program da’wah dan kemasyarakatan?

Kita maklum bahawa kristianisasi semakin hebat di Sarawak ini, kita saksikan sendiri bagaimana pengorbanan mubaligh-mubaligh mereka dalam menyampaikan risalah agama mereka – mereka sanggup memasuki ceruk-ceruk ulu untuk mengkristiankan penduduk di sana, dan pada masa yang sama – kita kata kita risau dengan perkembangan seperti ini tetapi kita tak buat kerja!

Katanya risau tetapi tidak mahu berkorban! Katanya risau tetapi di hujung minggu masih boleh duduk selesa di atas sofa menonton TV bersama keluarga! Katanya risau tapi masih mahukan kerehatan dan senang-lenang! Katanya risau tapi usrah pun tidak hadiri!

Saya mohon maaf dengan sebanyak-banyaknya andai terkasar dan berkasar bahasa dalam penulisan ini. Saya tidak bermaksud untuk memberontak bersikap kurang ajar terhadap golongan ustaz-ustaz Sarawak ini, malah saya hormati mereka. Dan saya juga tidak bermaksu untuk membuka pekung di dada orang Sarawak mahupun asatizah Sarawakian.

Cuma, saya mempertikaikan adakah sudah selesai segala kerja dan amal islami kita dengan hanya mengajar di sekolah menghabiskan silibus kemudian di hujung minggu duduk di sofa menonton ASTRO bersama keluarga, tanpa mempunyai inisiatif untuk mendekati masyarakat melalui program-program da’wah yang banyak merata?

Maka, saya menyeru kepada para pelajar sekolah agama, pelajar jurusan agama di IPT-IPT, serta graduan jurusan agama, isikanlah kekosongan ustaz-ustaz Sarawak bagi mengisi kekosongan jiwa di kalangan masyarakat yang sudah semestinya perlu diisi dengan ruh-ruh beragama!

Bangkitlah Asatizahku! Giatkanlah diri dalam pelbagai lapangan amal Islami dan gunakanlah peluang-peluang yang ada untuk da’wah dan Islam! Marilah sama-sama belajar berkorban untuk Islam!

Ayuh, orang Sarawak! Bangkitlah berjuang untuk Islam!

Wassalam,


Mujahid Muda

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

9.27am,

25 Mei 2009, Isnin,

Bintulu, Sarawak.

KPT Perlu Pertimbangkan Pendidikan Agama di IPT

Oleh: Arif Bin Mohamad*

Majlis Perwakilan Pelajar dari seluruh IPTA dan 3 IPTS telah berkampung selama 5 hari di UTHM. Delegasi UPSI seramai 22 orang turut serta dalam konvensyen yang dihadiri lebih dari 400 wakil MPP dari seluruh Malaysia.

Di akhir konvokesyen tersebut, perwakilan telah sebulat suara untuk menyampaikan resolusi kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan juga tindakan yang perlu dilaksanakan di peringkat universiti masing-masing. Resolusi dibuat berdasarkan 4 aspek utama berkait rapat dengan mahasiswa iaitu kepimpinan, sahsiah, akademik dan juga keusahawanan.

Antara resolusi yang paling penting pada saya adalah, menggesa pihak KPT melaksanakan subjek pendidikan agama secara bersepadu di universiti tanpa berorientasikan peperiksaan. Sesungguhnya telah wujud kesedaran yang tinggi di kalangan pemimpin mahasiswa bahawa masalah kebejatan sosial yang kian meruncing dan kritikal di negara kita perlu diselesaikan melalui pendidikan agama. Mahasiswa sedar bahawa sahsiah graduan yang merudum adalah kerana kelompangan sistem sistem pendidikan di IPT yang mengenepikan pendidikan agama khususnya Pendidikan Islam.

Bagi memastikan ia menjadi kenyataan, saya memohon kepada pimpinan mahasiswa yang terpilih ke Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bulan Jun nanti agar membentangkan ia dengan baik dan bertegas kepada para menteri dan ahli parlimen bahawa ia adalah satu keperluan yang sangat kritikal mutakhir ini. Pihak KPT perlu memandang serius permintaan ini dan tindakan segera perlu diambil.

Persoalan yang perlu dibahaskan oleh mahasiswa adalah, pendidikan agama (saya fokus kepada pendidikan Islam) yang bagaimana mereka inginkan? Bagi mahasiswa Islam, pendidikan yang dimaksudkan sudah tentu berbeza dengan apa yang telah dilalui selama 11 tahun di sekolah. Pendidikan Islam di IPT adalah pendidikan Islam lanjutan yang bersepadu dengan bidang pemfokusan masing-masing.

Sebagai contoh, seorang pelajar perubatan perlu mendalami fiqh tentang perubatan secara mendalam kerana mereka akan mendepani keadaan tersebut apabila bergraduat nanti. Kita memerlukan doktor yang bukan hanya tahu mengubati pesakit, malah mampu mendidik pesakit tentang pentingnya menunaikan solat walaubagaimana sekalipun keadaannya, bagaimana menjamakkan solat jika terlibat dalam pembedahan melangkaui waktu solat. Malah kita mengharapkan, seorang doktor mampu membimbing pesakitnya dengan bimbingan rohani dan pergantungan kepada Illahi sebelum menjalani pembedahan yang kritikal. Begitu juga bagi mahasiswa di Universiti Pertahanan Malaysia, sudah tentu menjadi kewajipan bagi mereka untuk mempelajari segala fiqh dalam peperangan, masuk hutan dan jihad.

Begitulah seterusnya dalam bidang guaman, veterina, pendidikan, kejuruteraan dan sebagainya. Jika perkara asas itu juga masih tidak dapat dikuasai, mungkin ia juga perlu diulangi kembali pada tahun pertama pengajian.

Kesimpulannya, Pendidikan Islam di IPT yang diperlukan bukannya bersifat asas seperti disekolah, tetapi adalah lanjutan yang bersepadu dengan bidang masing-masing yang bersifat praktikal. Adalah satu kesilapan jika persoalan ini diserahkan bulat-bulat kepada ustaz-ustaz di pengajian Islam untuk merangka perlaksanaannya kerana mereka belum tentu memahami keperluan setiap bidang pengkhususan yang kita sendiri berada didalamnya. Diharapkan pimpinan mahasiswa dapat memperbahaskan ia dengan lebih mendalam dan terperinci agar pihak KPT benar-benar jelas apa yang kita perlukan.

———————–

*Exco Akademik Dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 08/09 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sumber: www.mahasiswakini.com

Tajuk Asal: KPT Perlu Segera Pertimbangkan Pendidikan Agama Berterusan Di IPT

Tangisilah Iman Yang Kian Mati Itu!


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji kepada Al-Khaliq, Yang Maha Menciptakan ke atas segala-galanya,

Selawat dan salam isyarat kecintaan kepada HabibuLLAH Ar-Rasul SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.

“Al-Iman Yazid Wa Yankus”,

Kita biasa dengar penyataan yang satu ini. Maksudnya, iman itu hakikatnya mempunyai turun naiknya. Sihat dan bertumbuhnya iman itu adalah atas hasil ikhtiar empunya hati yang memiliki iman itu sendiri. Begitu juga apabila bercerita tentang jatuh merudumnya iman, ianya adalah natijah daripada pekerjaan manusia yang ‘asi, atas ikhtiar yang empunya hati itu sendiri.

Susahnya menjaga iman ini.

Susahnya menjaga iman kerana di zaman ini ada banyak macam benda yang mempu mencuri iman itu daripada hati manusia. Tidak perlu melihat ke dalam sudut yang lebih dalam ataupun di perspektif yang lebih jauh, cukuplah dengan memandang keadaan di sekeliling kita – itu sudah cukup untuk menjadi asbab agar iman kita itu dibawa lari.

Aurat yang tidak tertutup sepenuhnya mampu merampas iman dari dalam jiwa hati manusia. Hiburan tanpa mengenal batasan mampu juga merompak iman manusia. Memenuhi tuntutan hawa nafsu makan secara berlebihan juga mampu merombak iman manusia. Di zaman ini, seolah-olah selautan perkara, sebanyak macam benda boleh menjadi asbab kepada berkecainya iman di dalam hati manusia.

Bahayanya bahana iman yang tidak terjaga itu.

Bahayanya sekiranya tuan empunya hati yang menyimpan iman itu tidak menangisi realiti keteguhan iman yang semakin goyah, tercabar semakin hari. Tidak menjaga lidah dalam berbicara, tidak menutup telinga seraya seruan-seruan fahsya’ dan munkar memasuki ruang pendengaran, tidak mahu menoleh ke arah zon yang menyelamatkan iman apabila mata mula meliar mencari dosa-dosa, tidak mahu menarik tangan apabila tangan-tangannya itu ditawarkan dengan emas permata tipuan dunia, tidak mahu mengangkat kaki untuk berhijrah ke arah yang menghidupkan, masih mahu duduk di takuk dosanya yang lama.

Alangkah gelapnya terasa di dalam dunia orang yang tidak mahu menjaga iman itu.

Mahu sahaja datangnya cahaya iman ke dalam hatinya, dia hambat dan dia tutup tingkap hatinya daripada menerima sinaran iman itu. Dia tolak kehadiran cahaya itu. Dia seolah-olah lebih suka di dalam gelap gelita dunia kesesatannya sendiri!

Alangkah sedih melihat iman yang tidak dijaga,

Sedihnya melihat iman yang tidak dijaga, kerana tidak mengetahui ataupun telah menutup mata sendiri tentang hakikat iman yang tidak dapat dijual-beli serta diwarisi. Menangis dan merana jiwa yang hampa apabila melihat sewenang-wenangnya manusia yang pada mulanya beriman di dalam hatinya telah dihanyutkan oleh badai perosak iman.

Hari ini iman sudah mudah-mudah dijual-beli, sudah mudah-mudah digadai. Sedangkan nilai pajakannya itu apabila dibandingkan dengan harga iman, maka harga iman kurniaan Tuhan tiada ditandingi. Iman sudah boleh dijual dengan tawaran gaji yang tinggi, iman sudah boleh ditukar dengan pujukan suami ataupun isteri, iman sudah boleh dilelong dengan pangkat dan jawatan tertinggi, iman sudah boleh dilepaskan dari tambatan hati dengan menunaikan nafsu syahwat yang tidak dipagari.

Hari ini iman menjadi saksi,

Bahawa tanpa dirinya di dalam hati orang-orang yang memiliki hati, nyawa dengan mudah diragut sana-sini. Kekayaan duniawi menjadi sasaran utama sehingga manusia lupa akan tujuan ukhrawi. Pasangan yang belum bernikah sudah boleh jadi persis laki-bini. Amanah pangkat dan jawatan sudah tidak lagi dilihat sebagai ujian daripada Ilahi. Rasuah dan gelap duit semata-mata mahu kaya tanpa mengira keberkatan di dalam rezeki.

Hakikatnya, itulah dia natijahnya, banyak kemusnahan yang terjadi apabila iman yang mahal itu sudah ditolak ke tepi. Iman sudah jadi picisan bagi manusia yang tidak mengenang budi Tuhan hari ini!

Kasihanilah iman,

Kasihanilah ia bukan kerana lemahnya ia, tetapi kasihanilah ia kerana semakin nazak dan mungkin sudah matinya ia di dalam hati diri manusia. Iman tidak dapat dilihat, tetapi manusia yang mempunyai mata hati pasti sedar akan sakitnya iman di hujung zaman ini. Menangis ia. Meraung ia. Meronta-ronta ia. Meminta-minta ia untuk dilepaskan diri daripada dibelenggu nafsu manusia. Dibelenggu kemaksiatan manusia. Ia sudah tidak tahan dengan dosa-dosa kita! Ia mahu dibebaskan daripada penjara ‘melebihkan cinta dunia’!

Maka wahai kaum yang memiliki hati,

"Indeed, it is with the remembrance of ALLAH that the hearts enter into a state of tranquility"

Usahakanlah dirimu untuk menjaga iman di dalam hati itu. Bajai hati yang beriman itu. Kuatkan dirimu untuk bersolat agar subur kembali ia. Sedekahkanlah zikruLLAH untuknya. Berwudhu’lah untuk mensucikan dirinya. Tadabburlah Al-Qur’an serta alam untuk menerangi ia kembali.

Usahalah kamu ke atas kehidupan iman kamu! Jangan biarkan dia menangis, kerana yang ditakuti dalam ia menangis, ia semakin sakit, sangat boleh jadi kemudian iman itu mati!

Oleh itu, pujuklah hati ini. Pujuklah hati untuk menangis memikirkan hakikat iman di akhir zaman ini!

Menangislah! Menangislah wahai manusia akhir zaman! Menangislah ke atas iman yang kian mati itu!


Wassalam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

10.40 pm,

18 Mei 2008, Isnin,

Bintulu, Sarawak.

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.