Pas Bukan Ancaman Pada BN Sarawak

KUCHING 5 Jun – Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak sedia menerima ‘kejutan’ yang ingin dibawa Pas pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Malah, mereka menyifatkan kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Md. Isa itu bukan bersifat ancaman kepada sokongan rakyat Sarawak terhadap pentadbiran kerajaan BN di negeri ini.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Fadillah Yusuf, Sarawak merupakan sebuah negeri yang mengamalkan prinsip demokrasi dan sedia menerima sebarang parti untuk bertanding di negeri ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, Pas bebas untuk membuat sebarang kenyataan dan kejutan yang diumumkan itu bukanlah satu ancaman yang besar.

Beliau berkata, PBB seperti parti politik lain akan terus menggerakkan jenteranya sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

‘‘Bagaimanapun, saya yakin rakyat Sarawak telah matang dan bijak untuk terus bersama kita bagi merealisasikan hasrat mereka untuk melihat lebih banyak kemajuan dan pembangunan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nasharuddin semasa ditemui pemberita semalam menyatakan Pas akan melaksanakan beberapa pendekatan sebagai ‘kejutan’ apabila bertanding dalam pilihan raya di Sarawak tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan pendekatan yang akan digunakan parti berkenaan untuk meraih sokongan rakyat negeri ini.

Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Peter Nyarok Entrie memberitahu, Pas sebagai sebuah parti yang berdasarkan agama bukan baru bagi parti politik yang pernah bertanding di negeri ini.

Ujarnya, kehadiran Pas sentiasa dialu-alukan untuk bertanding di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, Sarawak merupakan negeri yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama yang mempunyai fahaman masing-masing.

‘‘Berdasarkan rekod mereka sebelum ini telah menunjukkan bagaimana rakyat negeri ini menolak parti itu untuk menjadi pemimpin kepada mereka,’’ kata Menteri Muda Pertanian itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum berkata, kejutan yang ingin dibawa Pas bukanlah satu ancaman bagi BN Sarawak.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata, Pas bukan pertama kali bertanding di negeri ini dan bukannya baru bagi BN Sarawak.

‘‘Rakyat negeri ini telah bijak dan mereka tahu menilai Pas yang telah bertanding pada beberapa pilihan raya negeri yang lalu,” katanya.


Sumber: Utusan Malaysia Online

0 comments:

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.