KPT Perlu Pertimbangkan Pendidikan Agama di IPT

Oleh: Arif Bin Mohamad*

Majlis Perwakilan Pelajar dari seluruh IPTA dan 3 IPTS telah berkampung selama 5 hari di UTHM. Delegasi UPSI seramai 22 orang turut serta dalam konvensyen yang dihadiri lebih dari 400 wakil MPP dari seluruh Malaysia.

Di akhir konvokesyen tersebut, perwakilan telah sebulat suara untuk menyampaikan resolusi kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan juga tindakan yang perlu dilaksanakan di peringkat universiti masing-masing. Resolusi dibuat berdasarkan 4 aspek utama berkait rapat dengan mahasiswa iaitu kepimpinan, sahsiah, akademik dan juga keusahawanan.

Antara resolusi yang paling penting pada saya adalah, menggesa pihak KPT melaksanakan subjek pendidikan agama secara bersepadu di universiti tanpa berorientasikan peperiksaan. Sesungguhnya telah wujud kesedaran yang tinggi di kalangan pemimpin mahasiswa bahawa masalah kebejatan sosial yang kian meruncing dan kritikal di negara kita perlu diselesaikan melalui pendidikan agama. Mahasiswa sedar bahawa sahsiah graduan yang merudum adalah kerana kelompangan sistem sistem pendidikan di IPT yang mengenepikan pendidikan agama khususnya Pendidikan Islam.

Bagi memastikan ia menjadi kenyataan, saya memohon kepada pimpinan mahasiswa yang terpilih ke Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bulan Jun nanti agar membentangkan ia dengan baik dan bertegas kepada para menteri dan ahli parlimen bahawa ia adalah satu keperluan yang sangat kritikal mutakhir ini. Pihak KPT perlu memandang serius permintaan ini dan tindakan segera perlu diambil.

Persoalan yang perlu dibahaskan oleh mahasiswa adalah, pendidikan agama (saya fokus kepada pendidikan Islam) yang bagaimana mereka inginkan? Bagi mahasiswa Islam, pendidikan yang dimaksudkan sudah tentu berbeza dengan apa yang telah dilalui selama 11 tahun di sekolah. Pendidikan Islam di IPT adalah pendidikan Islam lanjutan yang bersepadu dengan bidang pemfokusan masing-masing.

Sebagai contoh, seorang pelajar perubatan perlu mendalami fiqh tentang perubatan secara mendalam kerana mereka akan mendepani keadaan tersebut apabila bergraduat nanti. Kita memerlukan doktor yang bukan hanya tahu mengubati pesakit, malah mampu mendidik pesakit tentang pentingnya menunaikan solat walaubagaimana sekalipun keadaannya, bagaimana menjamakkan solat jika terlibat dalam pembedahan melangkaui waktu solat. Malah kita mengharapkan, seorang doktor mampu membimbing pesakitnya dengan bimbingan rohani dan pergantungan kepada Illahi sebelum menjalani pembedahan yang kritikal. Begitu juga bagi mahasiswa di Universiti Pertahanan Malaysia, sudah tentu menjadi kewajipan bagi mereka untuk mempelajari segala fiqh dalam peperangan, masuk hutan dan jihad.

Begitulah seterusnya dalam bidang guaman, veterina, pendidikan, kejuruteraan dan sebagainya. Jika perkara asas itu juga masih tidak dapat dikuasai, mungkin ia juga perlu diulangi kembali pada tahun pertama pengajian.

Kesimpulannya, Pendidikan Islam di IPT yang diperlukan bukannya bersifat asas seperti disekolah, tetapi adalah lanjutan yang bersepadu dengan bidang masing-masing yang bersifat praktikal. Adalah satu kesilapan jika persoalan ini diserahkan bulat-bulat kepada ustaz-ustaz di pengajian Islam untuk merangka perlaksanaannya kerana mereka belum tentu memahami keperluan setiap bidang pengkhususan yang kita sendiri berada didalamnya. Diharapkan pimpinan mahasiswa dapat memperbahaskan ia dengan lebih mendalam dan terperinci agar pihak KPT benar-benar jelas apa yang kita perlukan.

———————–

*Exco Akademik Dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 08/09 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sumber: www.mahasiswakini.com

Tajuk Asal: KPT Perlu Segera Pertimbangkan Pendidikan Agama Berterusan Di IPT

0 comments:

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.