Apakah Rupa Paras Persatuan Siswa Islam Sebenar?

Terbaru dalam ucapannya, Perdana Menteri Najib Razak berucap kepada mahasiswa di UiTM shah Alam ketika menutup Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Islam baru-baru ini.

Menurut laporan akhbar, Najib dilaporkan berkata, bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah pun berlalu. Namun, yang lebih penting katanya, tiada sesiapa pun yang boleh memonopoli kebenaran atau kebijaksanaan.

Najib juga menasihatkan agar siswa pandai menyaring maklumat agar tidak terpengaruh dengan dakyah pihak lain; sebuah madah klise yang sering dilaungkan politikus.

Najib mungkin punya seribu satu macam alasan dan sebab kenapa beliau berkata begitu. Antara yang terdekat dalam fikiran kita ialah, Najib sebagai ahli politikus mungkin ingin memberi nasihat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Lafaz kepartian dan jiwa seorang pimpinan kerajaan

Lazimnya kita boleh kenal lafaz yang bersifat kepartian atau lafaz bersifat pemimpin dan negarawan.

Najib tahu dan sangat menyedari bahawa mahasiswa hari ini telah terbiasa dengan wordpress, twitter, blogspot dan sebagainya.

Maka, bukannya Najib tidak tahu bahawa ada kalangan mahasiswa yang telah terbaca laporan mengenai Rosmah puaka yang disiarkan lewat laman portal YouTube itu.

Tiada akhbar aliran perdana yang menyiarkan laporan mengenainya. Adakah sebenarnya Najib ingin beritahu mahasiswa supaya tidak terpengaruh dengan laporan tersebut?

Dalam laporan Berita Harian (27 Julai, halaman dua), tajuk laporan akhbar itu ialah 'Jangan jadi pembudaya fitnah', 'Najib mahu mahasiswa halusi isu, guna kewarasan intelektual saring maklumat'.

Sebagai politikus, Najib seboleh-bolehnya kena terus membuat penjelasan mengenai apakah fitnah tersebut? Jangan main sebut sahaja. Cakap betul-betul, fitnah yang mana satu? Kena cakap jelas-jelas. Mahasiswa itu bukannya bodoh sangat.

Isu kematian (spekulasi bunuh diri atau pembunuhan) Beng Hock? Isu isteri beliau dikatakan 'berpuaka'? Yang mana satu ni Najib? Kita cuma mewakili suara hati mahasiswa itu sahaja.

Oleh kerana Najib berucap di Shah Alam, maka sekurang-kurangnya ada dua kes di Shah Alam yang mungkin terkait dengan ucapan Najib ketika beliau meminta siswa yang terpengaruh dengan fitnah dan mahasiswa perlu ada kejujuran intelektual untuk menyaring maklumat.

Seperti yang anda ketahui, kedua-dua kes di Shah Alam itu ialah kes Beng Hock dijumpai mati terhempas ke bawah dari Plaza Masalam dan kes siswa Unisel menolak kedudukan isteri Najib sebagai Naib Canselor Unisel kerana tiada kelulusan akademik yang meyakinkan mereka.

Hal itu tentu bertambah hangat dengan sebab timbulnya desas-desus berhubung video klip yang membuat pendedahan tentang hal ehwal kepawangan, kedukunan dan amalan ilmu hitam yang terpalit ke atas isterinya.

Tawaf Kaabah tiada erti.. Najib bertahajud jam 4 pagi?

Sebelum ini, ada disebutkan tentang Najib dan isteri bertawaf di Kaabah dan gambar mereka bertawaf itu turut disiarkan di akhbar aliran perdana. Apa ertinya tawaf di Kaabah sedangkan imej sebagai pengamal ilmu hitam masih belum bersih?

Saya peringatkan hal ini kepada Najib kerana 'orang kuat' Damai tinggal serumah, menyewa dengan saya. Bermati-matian dia membela Najib apabila saya mengkritik sang Presiden Umno itu.

"Abang pernah nampak Najib bangun solat tahajud jam 4 pagi depan mata abang sendiri," kata rakan serumah saya itu.

Kita diam saja sebab kita tak pernah nampak Najib bersolat tahajud jam 4 pagi. Jika demikian, tidakkah Najib terfikir mahu bersihkan dan menjernihkan watak isterinya?

Akhirnya, Damai yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri itu telah muncul sebagai sebuah kelab persatuan yang sah di dalam universiti. Pengerusi Damai Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kelab Damai itu boleh bertindak sebagai pemangkin untuk memperkasa persatuan Islam di IPTA masing-masing.

Menurut bancian, kira-kira 50 buah persatuan Islam yang telah berdaftar di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan keahlian badan-badan ini mencecah sekitar 15,000 ahli.

Itu pun, masih ada lagi persatuan-persatuan Islam yang sebenarnya sah di luar universiti, malah telah bernaung dalam MBM (Majlis Belia Malaysia) tetapi dianggap sebagai haram, musuh atau seteru di universiti.

Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sendiri contohnya telah diiktiraf kedudukan mereka dalam MBM, tetapi tidak dapat bergerak dengan bebasnya dalam beberapa buah universiti tertentu.

Baru-baru ini saya berkesempatan masuk ke UiTM sehari sebelum Najib masuk merasmikan penutupan Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Islam (sekali gus membuat pelancaran penubuhan Kelab Dewan Amal Islam Hadhari (Damai).

GPMS di UiTM misalnya sudah melakukan perubahan dengan menggunakan istilah Muktamar sebagai gantian kepada AGM ataupun Perhimpunan Agung, Mesyuarat Agung Tahunan bagi mencari kepemimpinan mahasiswa.

Tema Muktamar GPMS itu lebih kurang bunyinya 'Ke arah jalinan ukhuwwah'. Ini sudah baik dan sekali imbas ada kesedaran beragama walaupun ada pihak mendakwa bahawa semua itu cuma kosmetik sahaja dengan tujuan menunjukkan wajah keislaman.

Rupa paras Islami

Apa yang penting di sini ialah, kita tak boleh menilai sesebuah persatuan dan individu itu berdasarkan rupa paras dan luarannya sahaja kerana Islam itu hadir dengan AMAL.

Beberapa buah pertubuhan pelajar Islam biasanya akan melakukan program-program tarbiyah, latihan kerohanian ke atas ahli-ahlinya. Inilah yang membezakan antara persatuan Islam dengan persatuan mendaki gunung dan kelab pencinta alam sekitar. Persatuan Islam menitikberatkan soal pembinaan rohani ahli-ahlinya.

Persatuan lain hanyalah lonjakan untuk mendapatkan 'pointer' PNGK dan CGPA. Selain itu, ia mungkin menjadi suatu alat tunggangan politik mahasiswa atau politikus luar dan ia menjadi perkakas untuk mendapatkan tajaan menyusun seminar.

Dalam banyak-banyak persatuan dan kelab di universiti, sememangnya persatuan Islam inilah yang paling aktif secara tak langsung dengan pelbagai kegiatan.

Mereka akan bermukhayyam, bertamrin, berusrah bagi meningkatkan potensi rohani dan akliah. Hal inilah yang tiada pada badan pertubuhan pelajar yang tidak berorientasikan keislaman.

Adakah Kelab Damai, GPMS yang mengguna kalimat 'Muktamar' (dahulunya AGM, Mesyuarat Agung Tahunan, Perhimpunan Agung) akan turut menggunakan pendekatan usrah, tamrin dan mukhayyam sebagai pengisian roh dalaman para ahlinya?

Atau, nama persatuan Islam itu dan penggunaan nama 'muktamar' itu cuma sekadar tempelan nama sahaja dan bukanlah wadah untuk memperbaiki kualiti rohani dan mutu fikrah para anggotanya?

Seperti orang Islam yang baik, bukan sahaja namanya Islam, tetapi mestilah ada pengisian AMAL seperti solat, berpuasa, menunaikan zakat dan menunaikan fardhu haji selain menunaikan solat Tahajud jam 4 pagi seperti Najib.

Juga, orang Islam sejati tidaklah cuma menunaikan amalan wajib dan sunat, malah mereka akan berusaha keras untuk tidak terjebak ke dalam dosa memuja nombor ekor, meletupkan wanita Mongolia hanya kerana isu tuntutan komisyen kapal selam, merompak menyamun Adun sehingga rebahnya Pakatan Rakyat di Perak termasuk berlaku syirik kerana mengamalkan ilmu hitam dan terjebak dengan amalan sihir yang jelas bertentangan dengan agama Islam.

Rupa paras pertubuhan pelajar Islam, dalam konteks universiti di Malaysia hari ini ialah tercetak pada AMAL organisasi seperti - usrah, tamrin dan mukhayyam sebagai mana AMAL umat Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Tiada ertinya keislaman seseorang yang hanya tinggal pada namanya saja Islam, tetapi tidak berAMAL solat, puasa, zakat dan haji. Dan rosak keislaman seseorang jika mereka membunuh, merompak, menyamun, melakukan penganiayaan ke atas orang lain dengan ilmu sihir mereka.

Kita menulis begini kerana Pengerusi - Pengasas Damai adalah Ahmad Zahid Hamid manakala Kelab Damai itu akan dipegang di bawah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah.

Baik Ahmad Zahid Hamidi dan Saifuddin Abdullah, kedua-duanya adalah bekas pimpinan pelajar Islam terulung di Malaysia. Ahmad Zahid tetaplah mantan PMI UM dan pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak tetaplah tak akan mengurangi kehebatannya atau membatalkan kedudukannya sebagai pemimpin mahasiswa Islam di UM pada suatu masa dahulu.

Ahmad Zahid adalah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, manakala Saifuddin Abdullah; pimpinan tertinggi PKPIM pada suatu masa yang lalu.

Pertemuan Ahmad Zahid dengan Ehud Barak tidak seperti kedudukan Iman, Islam seorang yang bersolat tahajud tetapi tetap membunuh dan menyamun Adun dan mungkin tidak merosakkan Iman, Islam seseorang Muslim yang menggunakan ilmu hitam.

Untunglah baru-baru ini, Saifuddin Abdullah meluncurkan sebuah buku-e (buku elektronik) bertajuk Kalau Saya Mahasiswa yang mengundang sedikit keyakinan di hati ini.

Sengajalah kita bertanya - apakah dengan menempel ungkapan Muktamar GPMS itu akan menjelaskan kepada kita bahawa badan pelajar itu sudah menghalakan kegiatannya kepada usrah dan tamrin dan adakah Kelab Damai di bawah kelolaan Ahmad Zahid dan Saifuddin itu akan benar-benar mengadun kegiatannya dengan ramuan usrah dan tamrin?

Kita bertanya soalan begini (apakah Kelab Damai itu memiliki rupa paras persatuan siswa Islam sebenar kerana akan ada usrah dan tamrin) kerana Ahmad Zahid dan Saifuddin adalah antara mantan pimpinan persatuan mahasiswa Islam.

Kita tak tanya soalan ini kepada Najib kerana kita pun tahu ketika Najib mengungkap ayat ini lewat ucapannya..

"..cara membimbing pemimpin adalah selaras dengan kaedah anjuran Rasulullah s.a.w yang menitikberatkan tarbiah dan disiplin dalam membentuk pengikutnya seperti ketika baginda membimbing sahabatnya termasuk Usamah, Muaz dan Mus'ab.." (sedutan petikan ucapan Najib Razak)

.. satu Malaya Merdeka pun tahu bahawa Najib sedang membaca teks ucapan yang ditulis oleh siapa entah. Jadi, masakan Najib yang tidak mengucapkan lafaz tersebut daripada hatinya sendiri, boleh menjawab soalan kita - adakah Kelab Damai akan berAMAL dengan usrah dan tamrin?

Najib hidup bergelumang dengan kalimah-kalimah komisyen, duit ringgit, dollar, Mongolia. Usrah dan tamrin tiada dalam pengetahuan dan kamus pengalaman hidupnya.

Kita bertanya begini kerana kununnya, jumlah keanggotaan ahli persatuan pelajar Islam yang berdaftar di bawah HEP itu ramai sekali; 15,000 jumlah keahliannya. Ini adalah sejumlah batalion besar yang boleh membuat perubahan dalaman Umno jika semuanya hadir dalam usrah dan tamrin. Kunun-kununnya begitulah.. secara idealnya.

Syahadan, kita bertanya begini, adakah Kelab Damai akan berAMAL dengan usrah dan tamrin kerana nama kelab itu sendiri - Kelab Damai, iaitu kependekan daripada Dewan AMAL Islam Hadhari (Damai).

Ini kerana AMAL usrah dan tamrin inilah antara titik tolak kepada jatuh bangunnya kepimpinan mahasiswa Islam hari ini dulu dan mungkin selama-lamanya.

Jika ada rancangan untuk 'mentamrinkan' dan 'mengusrahkan' mereka di dalam UiTM Shah Alam sendiri, maka apakah bentuk dan corak pengisiannya? Adakah Naib Canselor UiTM Ibrahim Abu Shah akan memberikan keizinannya untuk pelajar berusrah dan bertamrin kelak?

4:28 p.m, 27 Julai

Sekolah Pemikiran Kg Baru

[Jika Ahmad Zahid Hamidi dan Saifuddin Abdullah tidak dapat menjawab soalan ini, maka mana-mana wakil mereka pun boleh juga menjawab soalan ini bagi pihak kedua-dua mantan pimpinan pertubuhan pelajar Islam ini. Jawapan boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ]


(dipetik daripada HarakahDaily.Net)

0 comments:

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.