Sarawak Oh Sarawak

“Di Sarawak ni, ada orang kata kat saya yang Islamnya kat sini ialah Islam sepertimana kita di zaman 60-an atau 70-an kat Semenanjung dahulu. Ada ustazah yang pakai tudung main ikat kat leher je, pakai kebaya ketat..”..

Itulah gambaran yang pernah diberikan kepada hadirin dalam suatu majlis berkaitan pergerakan da’wah di Sarawak ini, yang turut saya sertai dalam tahun 2006 yang lepas. Amat jelas kepada kita tentang gambaran bahawa kurangnya kesedaran serta kefahaman terhadap Islam di kalangan masyarakat Islam di Sarawak. Saya akui bahawa itulah hakikatnya yang berlaku di negeri tanah air tercinta, tempat kelahiran saya sendiri; Sarawak. Kedangkalan dari segi ilmu agama Islam serta penghayatannya dalam kehidupan. Di masjid-masjid atau di surau-surau, kebanyakan pengunjung setianya hanyalah dari kalangan warga emas.

Ketahuilah bahawa mentaliti di kalangan warga emas di sini melihat bahawa Islam itu adalah dari sudut ‘ibadah khusus sahaja khusus sahaja seperti solat, baca al-Quran, puasa, zakat dan haji, persoalan sekitar najis, air mutlak, berwudhu’, perkara membatalkan wudhu’ dan solat serta lain-lain, tanpa melihat kepada isu-isu besar seperti pengamalan riba dalam sistem perbankan, penipuan dalam urusniaga jualbeli, dan berkenaan perkara yang lebih besar lagi, iaitu pengamalan Islam dalam sistem politik di Malaysia, termasuklah perlaksanaan hukum qisos, jinayah, dan lain-lain. Maka, janganlah hairan kenapa orang Sarawak ni, walaupun kutuk kerajaan macam mana pun, kerajaan juga yang mereka undi. Ianya berkaitan dengan kesedaran….

Tidak semua sedar tentang kewajipan da’wah di sini…

Di Sarawak, kesedaran tentang kewajipan berda’wah tidak wujud di dalam pemikiran masyarakatnya. Kebangkitan gelombang da’wah di sini kebanyakannya hanya bermula di kalangan ahli akademik serta penjawat jawatan tertentu yang berkefahaman Islam dan juga para mahasiswa yang didedahkan dengan ilmu-ilmu sekitar da’wah ini. Apabila kita menyebut tentang menyampaikan ilmu-ilmu berkaitan da’wah dan disiplinnya ini kepada golongan-golongan ini, maka tiadalah platform lain yang dimaksudkan selain daripada sistem usrah yang dijalankan samada secara sirr/rahsia ataupun jahar/terang-terangan (seperti usrah yang dibawakan oleh sesetengah pihak) di institusi pengajian tinggi ataupun di rumah-rumah ahli usrah sendiri. Maka penyampainya atau orang yang mengendalikan usrah-usrah ini pula sudah tentu adalah dari kalangan orang-orang Semenanjung. Daripada usaha mereka inilah akhirnya berkembang ilmu-ilmu sekitar da’wah ini sehingga sistem usrah boleh dikendalikan sendiri oleh pendukung-pendukung da’wah di kalangan anak jati Sarawak sendiri.

Walau bagaimanapun, sebelum ilmu-ilmu dalam pergerakan da’wah ini diperturunkan kepada ahli-ahli usrah, mereka sebenarnya terlebih dahulu telah didedahkan dengan ilmu-ilmu asas berkaitan kefahaman Islam, agar mereka benar-benar faham tentang Islam dengan kefahaman yang sebenar-benarnya sebelum mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab da’wah ini. Maka, perkara yang lebih penting untuk diberikan tumpuan kepada masyarakat Islam di sini ialah kefahaman asas yang tulen dan benar terhadap Islam sebelum kita melangkah lebih jauh untuk berkempen siapa yang sepatutnya diundi…. Marilah kita mulakan dengan menyebarkan kefahaman yang benar…

Memulakan dengan yang asas…

Di Sarawak, kesedaran tentang kewajipan melaksanakan hukum Islam dalam undang-undang dan politik adalah sangat lemah dan masih lemah. Di Sarawak, ramai yang mengundi PAS bukanlah kerana faham tentang kewajipan menegakkan hukum-hukum Islam. Tetapi mereka lebih cenderung untuk bertaqlid dengan tindakan membangkang atas dasar tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang kadangkala nampak bersikap tidak adil dan menzalimi rakyat. Walau apa pun, saya tidak mengatakan tindakan mereka ini adalah merupakan suatu kesalahan. Ini kerana hujjah-hujjah mereka ini saya kira boleh diterima dari sudut demokrasi; rakyat berhak untuk memilih sesiapa yang mereka rasakan boleh mentadbir dengan baik. Cuma, saya rasa adalah lebih baik untuk kita mempersiapkan golongan ini dengan kefahaman Islam yang sebenar terutamanya dari segi konsep kesyumulan Islam..supaya mereka tahu bahawa sememangnya wujud dalil-dalil dan nas-nas yang mewajibkan penegakkan hukum-hukum Islam; supaya mereka bukan sahaja bertindak atas dasar demokrasi, tapi juga bertindak berdasarkan hujjah-hujjah yang lebih kukuh yang tidak dapat dipertikaikan lagi (kecuali bagi mereka yang berfahaman sekular dan hanya menurut hawa nafsu yang enggan tunduk kepada perintah ALLAH S.W.T dan Rasul-Nya).

Berbalik kepada perbincangan kita yang asal, berdasarkan kepada situasi yang saya ceritakan tadi menggambarkan bahawa betapa lemahnya kefahaman masyarakat Islam di Sarawak tentang konsep kesyumulan Islam, yang mana mereka berkefahaman bahawa Islam itu adalah solat, puasa, zakat dan haji; tidak lebih dari itu. Jika ada yang faham pun, bilangannya adalah sangat sedikit…Jelaslah bahawa kita memerlukan lebih ramai lagi orang yang berkefahaman…

Untuk memberikan kefahaman yang benar tentang Islam seperti yang saya sebutkan tadi, tidak lain, kita perlu mulakan daripada yang asas. Saya yakin, setiap daripada kita yang terlibat dalam usrah sudah pasti pernah melalui bab awal dalam silibus terawal usrah yang membincangkan tentang sifat-sifat khusus Islam/khasais Islam. Di sana, kita pernah menyebutkan tentang konsep kesyumulan Islam, Islam Itu Menyeluruh. Maka dari konsep itulah kita faham bahawa Islam itu adalah segala-galanya, termasuklah dalam hal politik. Maka kita tahu bahawa tidak sepatutnya mengenepikan soal politik apabila kita berkata Islam itu menyeluruh. Lihatlah, kita dahulu juga pun bermula dari sini juga, jadi untuk memberikan kefahaman yang jelas kepada yang lain, kita mulakan di sini juga untuk mereka…start from the scratch…kita mulakan dari yang asas. Dari kefahaman asas yang jitu yang boleh membentuk individu muslim/fardhu muslim yang sejati, sehingga pembentukan keluarga muslim/baitul muslim sehinggalah ke peringkat bernegara dan berpolitik….dari mengucap dua kalimah syahadah sehinggalah kepada mendirikan kerajaan Islam seperti yang diajar sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W…

Maka untuk melancarkan kefahaman Islam yang jitu ini, kita hendaklah memulakannya di setiap peringkat di mana kita mengambil kira setiap golongan sebagai sasaran. Dari peringkat remaja sekolah sehinggalah ke golongan warga emas. Di sini, kefahaman yang dimaksudkan ialah menjelaskan kepada masyarakat tentang sifat-sifat Islam yang umum, agar kefahaman mereka tentang Islam menjadi lebih meluas, bukan setakat membincangkan hukum-hukum fiqh ‘ibadah yang kemudiannya akan diulang-ulang sekitar persoalan yang sama.

Satu perkara yang amat melapangkan dada ialah apabila saya melihat bahawa sudah wujud pihak-pihak yang sudi menggerakkan usrah ataupun sekurang-kurangnya program Islamik yang umum seperti mengadakan aktiviti-aktiviti santai yang Islamik, mengadakan ziarah mingguan ke sekolah-sekolah berasrama, mengadakan kelas tuisyen percuma, dan lain-lain lagi kepada pelajar-pelajar sekolah. Tidak kurang juga pihak-pihak tertentu yang bergerak di bawah badan-badan sukarela bagi membantu melakukan kerja-kerja amal untuk masyarakat kampung di Sarawak, contohnya Yayasan Amal dan HIKMAH. Ini sudah pasti membuktikan konsep Islam yang ternyata menunjukkan Islam bukan sekadar solat berjemaah di masjid, mendengar kuliah dan ceramah, tetapi lebih dari itu. Penglibatan badan-badan Islam sukarela juga memberikan kelebihan kepada da’wah Islamiah di mana ahli-ahlinya dapat mendekatkan diri kepada masyarakat, dan kelebihan ini akan digunakan sebagai kesempatan secara tidak langsung untuk menyebarkan da’wah di kalangan masyarakat kampung. Inilah yang saya maksudkan dengan bermula dari yang asas…

Bekerjasama dan mengelakkan perselisihan…

Bagi ahli-ahli yang bergerak dalam sistem usrah, kita sudah pasti tidak asing lagi dengan nama-nama gerakan Islam seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), ISMA, Jamaah Tabligh dan lain-lain lagi gerakan Islam yang wujud di Malaysia. Di Sarawak juga tidak ketinggalan di mana setiap mahasiswa yang menyertai sesi usrah pasti akan bertembung dengan nama-nama ini. Apa tidaknya, hampir di seluruh IPT tidak kira swasta ataupun awam mempunyai usrah-usrah yang dikendalikan oleh individu-individu dalam gerakan ini.

Walaupun kita dapat lihat gerakan-gerakan ini mempunyai nama yang berbeza-beza dan golongan yang membawa gerakan ini juga berbeza pangkatnya, namun kita tetap pasti bahawa matlamat gerakan-gerakan ini hanyalah satu; untuk menjalankan kewajipan da’wah Islamiyyah, menyebarkan kefahaman Islam yang sebenarnya, dan bergerak ke arah menegakkan agama ALLAH S.W.T.

Namun, satu fenomena yang tidak sedap didengar ialah apabila ada sesetengah pihak yang terlibat dalam gerakan-gerakan ini sendiri yang menuding jari menunjukkan kelemahan-kelemahan yang ada pada jemaah yang lain. Jemaah di sebelah ini menunjukkan kelemahan jemaah yang ada di sebelah sana, dan begitulah sebaliknya. Saya tidak mahu menerangkan dan memberi contoh-contoh dakwaan yang dilontarkan oleh jemaah masing-masing kepada jemaah lain. Padahal, kesemuanya menuju ke arah matlamat yang sama. Sama-sama bercita-cita mahu menegakkan Islam, sama-sama mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat, sama-sama membenci thaghut….maka kenapa masing-masing mahu membuka pekung di dada saudara seIslam sendiri yang sebenarnya bergerak menuju matlamat yang sama, dan pada yang sama, membiarkan musuh Islam menyelinap masuk memasukkan jarum-jarum menghancurkan agama di masa kita masih sibuk berbalah sesama sendiri?

Kenapakah kita tidak boleh melupakan sahaja perselisihan yang tidak bermakna itu dan menjadikan matlamat kita sebagai fokus utama. Kenapa tidak bersatu sahaja, daripada berpecah dan membentuk jemaah yang baru? Bukankah ia akan memburukkan lagi keadaan?

Baru-baru ini, seorang sahabat yang sama-sama terlibat dalam gerakan Islam ada menyatakan pendapatnya terhadap satu jemaah (yang mana saya sendiri merupakan ahli jemaah yang dia maksudkan), “Setahu saya, bukankah jemaah ini ..itu ini, itu ini….?” dan kemudian dia menyatakan pendapatnya kepada saya, yang mana salah satunya berbunyi “Bagi saya, salah satu daripada faktor yang penting dalam memilih jemaah / kejayaan da’wah ialah uslub da’wah itu sendiri. Kalau uslub da’wah itu tidak dapat diterima oleh masyarakat, maka bagaimana nak berjaya?”.

Jawapan saya kepadanya “Oleh sebab itu, kita kena bersatu. Di mana ada platform yang mudah diterima masyarakat, dan platform mana yang mampu membawa kita dekat kepada masyarakat, platform itu yang kita gunakan. Jika masyarakat boleh terima HIKMAH, kita bantu kuatkan HIKMAH.

Bagi saya, saya memilih jemaah yang nyata menunjukkan kesyumulan Islam dalam pergerakannya. Jemaah yang merangkumi dari golongan petani, nelayan, penoreh getah, kepada golongan korporat sehinggalah kepada golongan ulama’. Dan saya meyakini jemaah yang pemimpinnya adalah ulama’. Jemaah yang merasai sendiri keperitan dan penindasan daripada golongan yang menyeleweng dan bukan hanya duduk di bawah penghawa dingin, tetapi jemaah yang turun ke padang untuk membantu masyarakat. Ianya bukanlah jemaah hanya untuk jurutera-jurutera sahaja, tetapi untuk semua. Dan anda juga mempunyai pilihan dan pendapat anda sendiri.

Masih jauh lagi perjalanan untuk menyedarkan jumlah besar masyarakat di Sarawak tentang perlunya kerajaan Islam yang menegakkan hukum-hukum ALLAH S.W.T.

Saya sendiri yakin jika ada sesetengah pihak yang kurang faham, maka mereka akan memandang jelek terhadap tulisan ini kerana membawakan isu politik. Mulakan dengan da’wah umum. Apabila asas sudah kuat, barulah kesedaran akan timbul. Barulah masyarakat akan faham. Barulah masyarakat boleh terima.

Inilah mesej utama dalam tulisan saya ini sebenarnya. Saya ingin berpesan kepada semua ahli dari semua jemaah yang mendakwa membawa Islam, agar bersatu untuk mencapai matlamat yang sebenar. Mari kita menggembleng tenaga dan mengumpul lebih banyak idea yang boleh kita gunakan untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar ke dalam masyarakat. Kita mulakan dengan yang asas, dan apabila telah sempurna tapak yang kukuh, barulah kita teruskan langkah yang seterusnya. InsyaALLAH, Islam akan menang. Kita bekerja untuk Islam, tidak kira kita berjaya atau tidak, ALLAH tidak melihat kepada keputusan, tapi ALLAH melihat kepada proses dan usaha kita dalam membela agamaNya. ALLAH telah menjanjikan kemenangan Islam, jika bukan masa kita—mungkin di waktu anak cucu kita nanti.

Tuan Guru Haji Fadzil Mohd. Noor pernah menyebut dalam bukunya yang bertajuk ‘Aqidah dan Perjuangan, yang berbunyi “Kebenaran (haq) itu walaupun dalam keadaan lemah tetapi akhirnya ia akan menang.”

Sayyid Qutb dalam surat terakhir beliau kepada adiknya telah menulis sebelum beliau syahid di tali gantung : “Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini. Tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Adikku, usahlah engkau gerun dengan tali gantung yang akan menjerut leherku ini.”

Janganlah kita berbalah memikirkan soal jemaah mana yang lebih hebat, yang mana satu adalah paling baik, yang mana satu lebih ideal. Sedarlah, jemaah yang paling ideal, paling sempurna hanyalah pada jemaah Nabi Muhammad S.A.W. dahulu. Jalan kejayaan hanya ada pada kesatuan di zaman ini. Hayatilah makna pepatah Melayu “Bersatu teguh, bercerai roboh”.

Wallahua'lam.

Ghulam as-Sarawaki

12 Januari 2008 / 3 Muharram 1429H

0 comments:

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.