Setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah, dunia telah dikuasai oleh Barat dalam segenap aspek kehidupan. Penguasaan Barat ini tentunya menggunakan manhaj yang serba kekurangan kerana ia merupakan ciptaan manusia. Hal ini mengakibatkan dunia dilanda krisis yang cukup hebat yang menyerang dari pelbagai sudut yang meruntuhkan ketamadunan manusia.
KRISIS NILAI
Dalam soal nilai dan moral, krisis yang melanda menyebabkan masyarakat terpaksa menanggung bala yang besar yang menjahanamkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan. Acuan yang dipelopori oleh Barat menyebabkan perpecahan yang berlaku di sana sini. Sistem pendidikan yang dilaksanakan gagal mencorakkan masyarakat kea rah keharmonian sosial. Tiada lagi perpaduan walaupun kononnya slogan-slogan perpaduan begitu hebat diperjuangkan tetapi tetap menemui jalan buntu. Tiada lagi ikatan persaudaraan dan kekeluargaan. Tiada lagi nilai kasih sayang, keprihatinan dan belas kasihan. Yang ada hanyalah keruntuhan akhlaq yang berleluasa, permusuhan, sikap ananiyyah dan tiada harga diri.
KRISIS EKONOMI
Dalam bidang ekonomi, sistem ciptaan manusia seperti kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal mewujudkan syurga yang diidam-idamkan. Malah, manusia terpaksa menanggung kerugian yang besar disebabkan sistem ini dengan berlakunya kezaliman, penindasan, pertarungan kasta, monopoli, kemiskinan dan pengangguran yang menjerut keadilan ekonomi.
KRISIS POLITIK
Dunia politik tidak pernah tenang daripada gelora. Kuasa pemerintahan sering bertukar-tukar tangan melalui penggulingan kuasa secara ketenteraan, peperangan, revolusi mahupun demokrasi. Sistem military, demokrasi, republik, monarki bertanggungjawab ke atas kewujudan masalah penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa yang silih berganti, pemberontakan yang menggelapkan dunia hari ini.
KRISIS KEMANUSIAAN
Krisis kemanusiaan berlaku disebabkan oleh sistem ketenteraan yang banyak menanggung dosa dengan mengabaikan nasib ummat manusia. Polisi ketenteraan yang lemah mengakibatkan tiadanya pembelaan ke atas ummat Islam yang ditindas di serata dunia. Apa yang lebih menyedihkan ialah adanya negara ummat Islam yang sanggup mengkhianati saudara seagamanya untuk menjamin survival politik mereka. Sistem ini juga membunuh ruh jihad ummat Islam dan bertanggungjawab ke atas setiap titik keringat dan darah yang gugur di tanah air ummat Islam dalam perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada belenggu penjajahan.
ISLAM ADALAH PENYELESAIAN
Dalam kekalutan dunia hari ini, kita dapat lihat bahawa manusia telah hilang kepercayaan kepada sistem-sistem ciptaan manusia ini. Namun , mereka masih kabur dan meraba-raba dalam kegelapan mencari cahaya penyelamat mereka.
Justeru, gerakan-gerakan Islam di serata dunia semakin kuat melaungkan kalimah Tauhid mengajak manusia kembali kepada sistem Islam, menerima Islam sepenuhnya sebagai panduan hidup mereka.
MANHAJ ISLAM BERSIFAT RABBANI
Islam adalah satu-satunya sistem hidup yang menawarkan sifat rabbani. Sistem Islam adalah ditetapkan oleh Allah S.W.T. yang pastinya sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan mengatasi sistem-sistem ciptaan manusia yang serba kekurangan. Sistem Islam memberi jaminan kesejahteraan tanpa dibatasi sempadan geografi dan zaman. Firman Allah S.W.T.:
“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah Kami beribadat".
(Surah Al-Baqarah: 138)
MANHAJ ISLAM BERSIFAT UNIVERSAL (‘ALAMIYYAH)
Islam untuk semua. Manhaj Islam yang bersifat sejagat (‘alamiyyah) dapat memberikan sifat insaniyyah yang menyerlahkan ciri-ciri “infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung sifat keterbukaan itu sendiri. Ciri "infitah" ini melewati batas-batas iklim, mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Ciri ‘alamiyyah ini terpancar dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.
MANHAJ ISLAM BERSIFAT FLEKSIBEL (MURUNAH)
Manhaj hidup Islam yang bersifat anjal atau fleksibel memberikannya daya untuk mengatasi variasi dalam soal permasalahan hidup yang datang silih berganti. Sifat ini membuka jalan untuk berijtihad dalam mengeluarkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan dalil-dalil hukum syara’ yang lain.
MANHAJ ISLAM BERSIFAT MENYELURUH (SYUMULIYYAH)
Sifat manhaj Islam yang menyeluruh merangkumi seluruh aspek kehidupan membezakannya dengan sebarang manhaj duniawi dan sistem-sistem ciptaan manusia yang mempunyai matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala permasalahan manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhi keperluan manusia, sama ada sebagai individu, mahupun kelompok, sama ada dalam urusan kepimpinan, ekonomi, sosial mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.
KESIMPULAN
Pergolakan yang berlaku dalam dunia hari ini memancarkan sinar harapan bahawa Islam akan kembali semua memimpin dunia ke arah kesejahteraan. Kita dapat lihat pada hari ini, sokongan-sokongan kepada kelompok-kelompok yang ingin menegakkan Islam semakin kuat contohnya di negara Turki yang dahulunya mempelopori anutan sekular bagi negara ummat Islam. Inilah janji kemenangan dari Allah bahawa masa depan bersama Islam. Firman Allah S.W.T.:
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (kekuasaan). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.”
(Surah Al-Qasas: 5-6)
Al-Faqir Ilallah,
Wira Islam
0 comments:
Post a Comment