Fiqh Al-Awlawiyyat : Kemudahan Dan Keringanan Mengatasi Memperberatkan


Di zaman manusia dilanda hebat dengan fitnah ini, kehidupan kaum Muslimin semakin ditekan dari setiap penjuru. Gelombang sekularisme dan juga anjakan hedonisme yang semakin hebat dari hari ke hari menyebabkan seseorang Muslim itu dicabar oleh kehendak survival dalam dirinya, dan pada masa yang sama ditambah pula dengan cabaran-cabaran yang datang dalam bentuk ujian yang cuba untuk menggugat keimanannya; di mana iman dan hawa nafsu sentiasa bertarung dalam dirinya.

Arus kehidupan zaman ini tersedia penuh dengan mehnah dan tribulasi untuk meragut iman dari jiwa seseorang Muslim itu. Bukan sahaja tertekan dengan trend kehidupan masa kini yang dijaja oleh Barat yang kian mempengaruhi kaum Muslimin sendiri untuk meragui aqidah pegangannya dan meninggalkan ajaran agamanya, malah kehidupan seorang Muslimin di zaman ini juga memerlukan dirinya untuk sentiasa terus berada dalam keadaan ekspress. Manakala, kehidupan di zaman ekspress ini pula menuntut kepada perlunya segala urusan kaum Muslimin itu dipermudahkan.

Dipermudahkan – bukanlah bermaksud memperingan-ringankan untuk tujuan memenuhi hawa nafsu, tetapi mempermudahkan kehidupannya agar hak ALLAH SWT dapat dipenuhi, tuntutan ALLAH ke atas dirinya dapat dilaksanakan pada masa yang sama dia mengejar masa dalam kehidupannya di zaman serba ekspress ini. Itulah hakikat masa kini, semuanya mahu serba pantas. Tidak hairanlah Dr Yusuf Qaradhawi sendiri menyebut zaman dewasa ini sebagai zaman ‘sandwich’ – zaman sandwich di mana setiap orang tidak mempunyai masa untuk makan di meja santapan dengan sempurna, sebaliknya lebih cenderung untuk makan berjalan.

Maka di sinilah menurut Dr Yusuf AbduLLAH Al-Qaradhawi di dalam bukunya, Fiqh Al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan : Keutamaan Tugas-tugas Kaum Muslimin) bahawa perlunya keutamaan dalam memberikan keringanan dan kemudahan ke atas sikap memperberatkan dan menyusahkan. Seruan ini ditujukan kepada semua yang membawa seruan Islam, baik penda’wah sehinggalah ke peringkat mufti. Beliau meletakkan tajuk ini di bawah bab “Keutamaan Dalam Bidang Fatwa dan Dakwah”.

Kenapa perlu kepada “kepermudahan” ini?


Sebab yang pertama : Dalil-dalil daripada al-Qur’an dan Sunnah RasuluLLAH S.A.W menunjukkan bahawa memberikan keringanan dan kemudahan adalah suatu amalan yang disukai oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Terdapat firman ALLAH SWT, di antaranya yang bermaksud:

“ALLAH mengkehendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..” (Surah al-Baqarah : 185)

“ALLAH hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah” (Surah an-Nisa’ : 28)

“ALLAH tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Ma’idah : 6)

Serta banyak hadith-hadith RasuluLLAH SAW, antara sabdaannya yang bermaksud :

“Sepaling baik (ajaran) agama kamu ialah yang paling mudah” Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari.

“Agama yang paling disukai ALLAH ialah agama yang lurus dan mudah” Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari.

“Sesungguhnya ALLAH Ta’ala menyukai mereka yang melakukan rukhsah-Nya (kemudahan); sepertimana Dia membenci mereka yang melakukan maksiat kepada-Nya” Hadith riwayat Imam Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Baihaqi.

Ummul Mu’minin Sayyidatina ‘Aisyah r.a pernah berkata:
“Apabila RasuluLLAH SAW diberikan dua perkara untuk dipilih, maka baginda akan memilih perkara yang lebih mudah selama ianya bukan perkara (yang membawa) dosa; dan apabila perkara tersebut membawa kepada dosa, maka bagindalah orang yang paling menjauhinya.” Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.

Baginda Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda :
“Permudahkanlah olehmu, janganlah mempersusah. Berilah khabar gembira dan janganlah membuat orang lari daripadamu (menjauhkan diri daripada Islam).”
Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.

Pada kesempatan lain, baginda bersabda:
“Hanyasanya kalian dibangkitkan untuk memberikan kemudahan (kepada manusia), bukan untuk menyebabkan kesusahan bagi mereka”. Dan sabdanya lagi, “Hanyasanya aku dibangkitkan dengan (membawa agama) yang lurus dan mudah”.

Anjuran daripada dalil-dalil yang telah dikemukakan tadi amat jelas membuktikan bahawa kemudahan perlulah diutamakan dalam kehidupan kaum Muslimin, mengatasi perbuatan memperberat apatah lagi menyulitkan urusan mereka. Mengambil rukhsah dan kemudahan menjadi semakin nyata dan amat dianjurkan apabila adanya suatu hajat dan keperluan kepadanya, samada kerana lemah, sakit, umur yang sangat tua ataupun kerana dalam keadaan yang sangat susah dan sulit serta yang seumpamanya.

Sebab yang kedua : Realiti zaman yang sedang kita hadapi ini di mana perkara-perkara kebendaan atau material sudah begitu pesat maju dan melangkah mendahului perkara kerohanian dan spiritual, perasaan individualistik dan hanya mementingkan urusan diri sendiri telah melupakan urusan dan kemusykilan yang dihadapi orang lain, sikap hanya mencari kepentingan dan manfaat duniawi lebih penting daripada nilai-nilai akhlak murni.

Begitu banyak ajakan, daya tarikan dan pelawaan untuk melakukan kejahatan dan dosa dengan berbagai cara dan halangan serta rintangan untuk melakukan kebaikan dan amal soleh. Sehinggakan sesiapa sahaja yang berusaha untuk berpegang teguh kepada ajaran agamanya bagaikan seseorang yang sedang mengenggam bara api, begitu susah dan begitu berat, kerana arus dan gelombang kekufuran, kezaliman, dosa dan maksiat menghentamnya dari berbagai penjuru dan sudut, cuba untuk menarik dirinya dari kekuatan dan ikatan iman, untuk dihanyutkan dalam lautan dosa dan kekufuran sehingga tidak akan kembali lagi ke pelukan iman.

Arus gelombang dan aliran kekufuran itu didokong dan dibantu oleh satu kekuatan yang sangat dahsyat di mana ianya mendapat bantuan kewangan, taktik, strategi dan bimbingan secara teratur untuk mencapai matlamatnya. Bagi sesiapa yang suka dan mengikuti arus seperti ini akan mendapat sokongan dan kemudahan untuk memenuhi semua nafsu syahwatnya, mungkin juga boleh cepat naik pangkat dan darjatnya.

Di sini dapat dibayangkan bagaimana keadaan seseorang individu muslim yang hidup dalam ruang lingkup kehidupan seperti ini. Sesungguhnya dia hidup dalam dugaan dan ujian yang sangat berat dan sentiasa berada dalam situasi peperangan jiwa dan mental antara mempertahankan keimanan dan akhlak di jiwa dengan dorongan hawa nafsu. Tidak ramai yang dapat membantu dan menolongnya, malah banyak yang menegah dan menghalang dirinya daripada terus berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam.

Maka, dalam keadaan yang sedemikian rupalah mereka yang membawa suara Islam, terutamanya para ulama’ dan ahli fatwa diseru dan seharusnya memberikan kemudahan dan keringanan setakat yang mungkin, memberikan lebih banyak rukhsah (keringanan) daripada ‘azimah (hukum yang asal) dengan tujuan untuk mentarghib dan memberikan kecintaan baginya akan ajaran agama Islam dengan tujuan memperkukuh dan memperteguh pegangannya terhadap Islam.

Imam Nawawi r.a meriwayatkan kata-kata bijak yang disampaikan oleh salah seorang ulama’ yang warak, soleh dan tinggi ilmunya, iaitu Imam Sufyan At-Thauri r.a, katanya: “Sesungguhnya orang yang arif dalam fiqah itu ialah yang memberikan rukhsah (keringanan), sedangkan menetapkan hukum yang berat itu boleh dilakukan oleh setiap orang”

Maksudnya, orang yang faqih dan berilmu sebenar menurut pandangan Imam At-Thauri ialah orang yang sentiasa mengambil kira rukhsah ataupun keringanan dan kemudahan bagi hamba-hamba ALLAH SWT, dengan syarat beliau ialah seorang yang teguh dalam ilmu dan agamanya.

Begitu juga dengan sikap para sahabat Nabi dan generasi yang pernah belajar dari mereka selalu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada manusia.

Al-Hafiz Abu Fadl Ibn Tahir meriwayatkan dalam kitabnya, As-Sima’ dari Umar bin Ishaq, seorang dari kalangan generasi tabi’in, katanya : “Aku pernah berjumpa dengan lebih dua ratus sahabat Nabi Muhammad SAW, tidak pernah aku melihat perjalanan hidup manusia yang paling selari dengan hidayat ALLAH dan bersikap lemah lembut kepada manusia selain daripada mereka”.

Demikian hakikat sebenar sikap para ulama salaf. Apabila mengambil sikap keras, maka hanya ke atas diri mereka sendiri. Akan tetapi, sikap mereka terhadap orang lain ialah mereka selalu berusaha sedaya upaya untuk memberikan kemudahan dan keringanan.

Imam Al-Muzanni, sahabat kepada Imam Syafie r.a menggambarkan sikap para ulama’ salaf dengan memuji mereka, katanya: “Mereka (ulama’ salaf) adalah orang-orang yang paling mengambil sikap keras ke atas diri sendiri dalam kewarakan, dan memberikan kemudahan bagi orang lain.”

Begitu juga dengan Imam Muhammad Ibn Sirin r.a yang disifatkan sebagai “Seorang yang mengambil sikap keras dalam kewarakan dan perihal agama untuk dirinya sendiri, dan bersikap lemah lembut serta memberikan kemudahan untuk ummat Nabi Muhammad SAW”.

Demikian pegangan para ulama salaf dalam sikap mereka terhadap orang lain, memberikan perkara-perkara yang mudah dan senang walhal zaman mereka adalah zaman di mana orang sangat cinta dan sukakan ajaran agamanya, apatah lagi di zaman kita ini, di mana orang tidak cintakan ajaran agama bahkan lari meninggalkannya.

Sememangnya pada zaman ini, kehidupan manusia amat memerlukan kepada urusan mereka dipermudahkan – dalam keadaan iman mereka yang amat lemah dan mungkin akan lari apabila berhadapan dengan sesuatu yang bersifat syadid (keras) dan al-Ahwat (lebih berhati-hati). Arus pancaroba yang seolah-olah kian melenyapkan ataupun melunturkan semangat seseorang untuk terus komited terhadap agamanya menjadikan keadaan zaman ini sebagai salah satu sebab kenapa kita perlu bersikap memberikan rukhsah ataupun kemudahan kepada orang lain.

Bermulanya era taqlid dan tidak mahu mengkaji isi-isi Al-Quran dan Sunnah adalah pada zaman terkemudian, dan epidemik inilah yang telah banyak menular di zaman ini. Maka, bermulalah perspektif dan pandangan terhadap agama disempitkan, lebih-lebih lagi dalam hukum-hukum fiqh. Kecintaan terhadap isi-isi kitab lama (yang mana ada di antara isi-isinya mungkin tidak relevan pada masa sekarang) melebihi kecintaan terhadap dalil-dalil tsabit dari Al-Qur’an dan Sunnah yang tidak boleh disangkal lagi telah menyebabkan kebebalan sesetengah orang yang mendakwa membawa agama untuk membawa pendapat-pendapat yang keras dan memberatkan kaum Muslimin – justeru menyukarkan dan menyulitkan lagi keadaan orang yang mahu mengamalkan ajaran agamanya.


Mempermudah bukanlah bermakna menghalalkan sesuatu yang sememangnya haram, dan memberikan keringanan bukanlah bermaksud hendak mencari jalan yang membawa ke arah pertembungan dengan ajaran ALLAH SWT.

Masih lagi ragu-ragu? Masih lagi tidak yakin dan percaya? Jawapan saya, telaahlah semula isi Al-Qur’an, selaklah kembali kitab-kitab Hadith, nescaya kita temui jawapan yang bisa membuka mata kita.

Usah ditanya ataupun difikirkan mengenai minat seseorang yang bukan Islam untuk memeluk Islam jika orang Islam sendiri sudah lari meninggalkan agamanya kerana beban kesusahan yang dirasai oleh dirinya dalam usahanya untuk mentaati ajaran agama dan pada masa yang sama, cuba untuk hidup dalam dunia serba fitnah masa kini – hanya kerana disebabkan kecuaian kita untuk memupuk kecintaan dalam kaum Muslimin sendiri untuk lebih mencintai agamanya.

WaLLAHua’lam,

Al-Faqir ilaLLAH,
Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki
UPM Kampus Bintulu
19 November 2008, Rabu, 11.55 am

Rujukan:

1. Prof Dr Yusuf AbduLLAH Al-Qaradhawi : Fiqh Al-Awlawiyyat : Dirasah Jadidah fi Daw’i al-Qur’an wa as-Sunnah / Fiqh Keutamaan : Satu Kajian Baru Dari Perspektif Al-Qur’an dan As-Sunnah.

2. Prof Dr Yusuf AbduLLAH Al-Qaradhawi : Al-Fatwa bayn al-Indhibat wa at-Tasayyub”/ Fatwa : Antara Ketelitian dan Kecerobohan.

Air Mata Seorang Naqib

Kita sama-sama masih teringat ketika kita mula-mula bertemu. Tidak ada yang lebih berbahagia di dalam hati ini selain melihat wajah-wajah ceria pelajar-pelajar baru yang begitu bersih dapat menjejakkan kaki ke sebuah pusat pengajian. Memang ayah bonda menginginkan suatu yang terbaik buat mu. Mahukan kalian menjadi orang yang terpelajar dan berguna kepada mereka, kepada agama dan kepada negara.

Ketika hari pendaftaran, kami sama-sama turun padang untuk menolong kalian. Kalian adalah ibarat rahmat kepada kami kerana dari kaliannya kami mendapat ketenangan dan kesejukan hati. Bagaimana..? akan kami ceritakan segala-galanya nanti!

Kemudiannya kalian di heret ke sana kemari dengan minggu pengenalan. Kalian didedahkan dengan apa yang ada ditempat belajar yang baru ini. Moga kalian dapat berta’aruf dengan cepat di alam baru ini. Kalian bersolat jamaah bersama-sama. Kalian didudukkan di dalam LDK dan kalian akhirnya menjejakkan kaki ke malam terakhir pengenalan.

Kami masih mengintai-ngintai kalian. Bukan wajah dan gaya… tetapi watak dan budi. Manakah di antara kalian yang akan bersama kami? Manakah di kalangan kalian yang akan mewarisi jejak kami?

Memang kami mengentahui dan menyedari.. kalian datang dengan keinginan yang berbeza. Ada yang ingin mendapat segulung sijil yang nantinya akan dipersembahkan kepada ibu dan ayah. Ada yang tertolak kerana ayah dan ibu menghendaki demikian. Kami faham itu semua… dan itu semua tidak langsung penting bagi kami.

Kalian didudukkan di dalam usrah-usrah akhirnya. Kita sama-sama saling mengenal, mendengar dan memberi. Bercerita dan membaca. Berbincang dan bermesra. Bukankah itu satu titik permulaan yang indah dalam pengalaman hidup kita?

Kita kemudian bertemu lagi dalam tamrin dan dauroh. Duduk dan mendengar.. makan dalam dulang bertemu kepala. Kemudiannya tidur di atas lantai tanpa hamparan. Kesemuanya menjadi detik manis dan kenangan yang mungkin sukar dilupakan.

Dari situlah kesemuanya bermula… Kami memerhati dan cuba mengenal. Siapakah dari kalangan kalian yang sudi untuk bersama lebih memahami apa yang sedang kami fikirkan?

Kami hanya ingin mengongsi beban yang sedang kami cuba pikulkan selama ini. Kami faham ianya begitu berat dan tidak mampu ditanggung oleh hanya dua tiga kerat manusia yang lemah seperti kami. Bebannya berat dan perjalanannya panjang. Hasilnya belum tentu diperolehi di masa terdekat.

Kami berfikir dan berfikir … bagaimanakah cara terbaik untuk mengenali siapa dari kalian yang berminat. Kami adakan usrah… kami adakah tamrin dan kami adakan dauroh.. kami adakan mukhayyam… dan entah apa lagi. Semuanya adalah kerana cuba mengenali kalian.. di samping untuk memberi sedikit sebanyak kesedaran dan ilmu.

Akhirnya … Kami telah dikurniakan Allah dengan kalian. Kalian menampilkan diri dengan semangat dan kesediaan untuk bersama. Kami begitu gembira. Kami tidak meminta kalian berbuat demikian. Sedikitpun tidak ingin memaksa. Kami hanya membuka jalan dan peluang setelah memberi kesedaran sedikit sebanyak. Alhamdulillah atas segala nikmat dan rahmatNya kepada kita.

Bermulalah satu episod baru alam hidup kita. Mungkin kita masih ingat kita mula menjejakkan kaki ke alam baru.. fikrah baru dan ikatan baru. Kalian telah berjaya memujuk hati kalian untuk bersama dalam gerombolan ini. Gerombolan yang ingin untuk melihat dunia berubah ke arah Islam.

Kita mula tangkas melayari perjalanan yang sengit ini. Kita cuba menumpaskan nafsu yang kadangkala mengganggu dengan cerita indahnya hidup relaks dan seronok. Tapi kalian telah berjaya menolak itu semua. Walaupun kawan dan teman lain telah lama dibuai mimpi, kalian kadangkala masih termangu di hadapan kami.. menadah buku dan sedikit risalah. Segalanya hanya untuk memahami Islam yang masih banyak yang perlu dipelajari. Kadangkala teman seronok dihadapan cerita TV dan VCD, tetapi kita menolaknya itu semua.. kerana masa amat berharga bagi kita untuk dibazirkan pada itu semua.

Kadangkala kawan-kawan enak tidur ditilam empuk asrama, tetapi kita terpaksa berjaga malam di mukhayyam hanya semata-mata untuk melatih diri bagaimana indahnya dapat berkorban untuk sahabat yang sedang tidur di lantai bumi.

Betapa banyaknya pengalaman yang kalian telah lalui bersama kami !

Kami cuba memberi apa yang kami terdaya. Segala-galanya adalah untuk menjadikan kalian orang yang bermanfaat untuk Islam. Kami merasa kasihan kepada Islam yang masih menagih cinta dan pengorbanan dari penganutnya. Islam masih terumbang ambing dicampak dan diheret oleh manusia liar. Islam yang sepatutnya tinggi masih digilis-gilis dan dipijak ganas untuk manusia zalim. Siapa yang ingin membelanya? Siapa yang akan meletakkannya ke tempat paling tinggi yang sepatutnya.

Inilah yang kami cuba lakukan. Alhamdulillah, kalian mula sedikit demi sedikit memahami apa yang kami ingin kongsikan. Walaupun kami kadangkala tidak dapat berehat sebagaimana orang lain… tetapi ketenangan mula menjenguk.. ketika melihat kalian mula faham dan mula melangkah. Denyut nadi perjuangan kalian yang mula bergerak-gerak sudah cukup menggembirakan kami… lebih gembira dari sang musafir yang terjumpa kembali untanya yang hilang di padang pasir !

Tentu kalian masih ingat itu semua. Kalian bagi kami adalah lebih mahal dari dunia dan isinya. Kalianlah sumber pahala kami di zaman ketandusan pahala dan bermaharajanya dosa dan maksiat. Bukankah ‘Allah memberi petunjuk seorang manusia dengan hasil usahamu adalah lebih baik dari dunia dan isinya’?. Kerana itu kalian semua lebih mahal bagi kami dari segala harta. Mungkin dari situlah kalian dapat faham, bagaimana susahnya kami kerana menjaga kalian. Betapa banyaknya harta yang kami curahkan kerana kalian. Betapa kami terpaksa melupakan masa rehat dan hujung minggu untuk kalian. Betapa kami sudah tidak mempunyai apa-apa lagi yang dapat kami berikan kepada kalian semua… semuanya telah diberikan. Mungkin sekarang kalian telah dapat fahami. Kerana kalian lebih berharga dari dunia dan isinya !

Sukar kami menceritakan ini semua… terpaksa dan semoga ianya menjadi pedoman untuk kalian juga. Bahawa hidup seorang yang tahu di mana Islam berada sekarang tidak memungkinkannya sempat membina istana dan mahligai. Tidak memungkinkannya bergembira di setiap hujung minggu dengan anak isteri. Tidak mungkin berpeluang untuk menikmati hari-hari pelancongan dan santai tanpa matlamat dakwah. Tidak mungkin berenak dengan kenderaan besar dan mewah. Bagaimana ia boleh berbuat demikian sedangkan Islam masih menunggu pendokong yang akan menyelamatkannya?

Kerana memahami itu semua, kami wakafkan diri kami untuk kalian. Biarlah manusia lain dengan dunianya.. namum kita tenang dan gembira dalam alam kita sendiri. Walaupun orang lain melihat kita dalam kesukaran dan kesusahan hidup, namum itulah kebahagian kita ! Matlamat kami.. melahirkan kader-kader yang akan bekerja untuk Islam. Keinginan kami.. apabila kalian telah melangkah keluar dari sini.. kalian telah menjadi manusia muslim baru yang membawa bersama-sama obor yang akan menyuluh tempat-tempat yang masih gelap di pelusuk sana. Itulah sahaja matlamat dan cita-cita kami.

Kami tidak mampu memberi kalian kerja yang bergaji mahal. Kami tidak sanggup menjanjikan jawatan selepas kalian keluar. Itu semua adalah suatu yang kerdil bagi kami. Ianya mampu dicari oleh sesiapa walau bagaimana keadaannya sekalipun. Yang lebih penting dari itu semua ialah kami tidak mahu kalian tenggelam di dalam kancah dunia yang sedang bergelumang dengan materialisma yang tidak mampu diharungi oleh manusia biasa. Kerana itulah kami cuba bekalkan kepada kalian dengan kekuatan dan kefahaman. Lebih dari itu, kami mahukan kalian menjadi manusia yang akan membawa manusia lain untuk bersama-sama dalam perjuangan kita yang masih panjang.

Kami cuba sedaya upaya untuk mengajak kalian memahami bahawa apa yang kita buat ini bukan kerana tempat belajar kita. Bukan kerana wajib atau ingin menjaga hubungan dengan pensyarah. Bukan kerana markah atau prestasi. Kami cuba memotong tali-tali yang mengikat kalian dengan itu semua. Kami membawa kalian ke luar sana… berjumpa dengan mereka yang telah mendahului kita di atas jalan ini. Melangkah ke luar negara.. berjumpa dan mengambil pengalaman mereka. Mereka semua adalah se jalan dengan kita.. berjuang menegakkan fikrah yang sama!

Perit letih kami tidak sia-sia. Kalian mula melangkah ke garisan-garisan akhir bersama kami dengan sabar dan tekun. Kalian langsung tidak menunjukkan rasa jemu dan bosan. Walaupun telah ada dikalangan kalian yang telah kecundang setelah beberapa lama, namum kalian masih thabat teguh. Kalian mula faham bahawa kerja kita perlukan disiplin yang tinggi. Kerja kita perlukan jamaah dan ketaatan. Kerja kita perlukan syura dan perbincangan dengan naqib/naqibah yang telah begitu lama memimpin tangan kita sejak kita masih bertatih-tatih di permulaan perjalanan. Kerja kita memerlukan kita tidak putus dan bersama dengan jamaah di mana saja kita berada.

Di saat berpisah, itulah harapan kami. Gembiranya hati kami melepaskan kalian menuju ke destinasi masing-masing. Betapa inginnya hati kami untuk mendengar deringan telefon dari kalian.. menceritakan

pengalaman baru kalian di kampung dan kawasan masing-masing. . setelah mendapat title baru bergelar ‘DA’I’. Betapa tak sabarnya kami ingin menatap tulisan dari kalian .. bercerita bagaimana kalian telah mula mengumpul mad’u-mad’u baru ditempat kalian. Betapa gembiranya kami nantinya mendengar kalian mula ke sana-kemari mengikuti program bersama ikhwah dan akhawat di tempat baru kalian. Kami tidak dapat bayangkan bagaimana gembiranya hati kami bila mendengar naqib/naqibah baru kalian begitu memuji kesungguhan dan semangat yang kalian tunjukkan. Ketika itulah kami akan mengurut dada gembira… airmata kami berlinangan kegembiraan. . betapa tanaman kami telah menghasilkan buah. Usaha kami selama 3 tahun kalian bersama tidak sia-sia !

Hari berganti hari.. kami di sini terus dengan kesibukkan melayan adik-adik kalian yang terus tiba semester demi semester dan cuba untuk menjadi pelapis kepada kalian. Mereka bersemangat untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh kalian. Mereka masih ingat ketika kalian bersama-sama mereka di usrah, tamrin, dauroh dan mukhayyam. Mereka masih ingat.. kalianlah yang mendidik mereka dan mengasuh mereka sedikit sebanyak. Kami terus membantu mereka sekadar kemampuan kami ini.. agar mereka menjadi seperti kakak-kakak dan abang yang telah tamat belajar.

Hari terus berganti… kami masih menunggu sepucuk warkah atau sedering telefon… atau sepatah salam dari musafir yang pulang. Namum bayangan masih kelam. Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Hati kami mula bimbang. Apakah yang telah terjadi kepada anak-anak kami yang telah pergi? Kami mula bertanya kepada musafir yang lalu… atau kepada ikhwah dan akhawat yang berjiran.. dimana anak-anak kami.. pernah terdengar ke si anu dan si anu? Jawapan negatif membimbangkan kami tentunya.

Kini beberapa bulan berlalu sepi tanpa berita. Bagi kami.. cukuplah tempoh yang bernama bulan untuk menghancurkan sedikit semangat dan pegangan kita. Hati kita sentiasa di intai syaitan. Tidak ada manusia yang boleh mendakwa dia akan kuat tanpa jamaah. Tidak akan ada kambing yang keseorangan yang tidak di makan serigala.. kerana memang serigala ada di mana-mana. Paling kurang kita akan mula hilang ketajaman sensitif terhadap matlamat kita. Kita sudah boleh mulai lupa tujuan dan halatuju hidup dan perjuangan kita. Suatu yang begitu membara di dalam hati kita ketika kita bersama dulu mula pudar dan tinggal dingin.

Satu demi satu berita kami terima mengenai hal kalian… jika ketika berpisah kami menjangkakan kami akan menitiskan airmata kegembiraan mendengar ketangkasan dan keaktifan kalian… tetapi … titisan sebaliknya mula mengalir..

Apa yang telah terjadi kepada kalian?

Apa yang telah kalian lakukan?

Kami mula sebak… ketika huruf-huruf ini disusun, kami tidak dapat menahan air mata lagi. Bersama baris-baris yang keluar… kami iringi dengan cucuran yang tidak dapat ditahan..!

Ianya bukan satu buatan. Ianya bukan rekaan satu cerita dan cerpen. Ia adalah satu kenyataan yang telah berlaku beberapa ketika lalu dan… air mata ini masih panas. Ianya adalah perasaan sayu kami bila harapan telah mulai berkecai. Satu demi satu harapan bangunan yang kami bina dan kami atur batu bata negara Islam dan khalifah yang kami inginkan berantapan jatuh di hadapan kami. Kalau dahulu kami harapkan kalian akan menjadi tangan-tangan yang akan bersama-sama mengangkat batu batu yang lebih berat dan menjadi pembina bangunan ini… kini segalanya hampa.

Tanpa kami sedari, ada di kalangan kalian yang mungkin terasa amat gembira terlepas dari alam kita. Ada yang merasakan dunia dakwah suatu yang menghimpitnya.. suatu yang mengurungnya. Barulah kami sedari rupanya selama ini, itu semua adalah sebuah lakonan. Ada antara kalian rupanya sudah tidak ingin lagi bertemu muka dengan kami. Rupanya dulu kami adalah penyibuk yang mengganggu hidupnya. Sekarang dia telah bebas.

Kami mula kecewa… kami mula berfikir.. apakah dosa kami. Kami hanya menghulurkan tangan untuk memimpin kalian mengenal sedikit tanggungjawab kita semua.. tanggungjawab dakwah dan amal Islam. Kami gembira kerana sebelum kalian keluar.. kalian telah memahami itu semua.. tetapi sekarang kenapa ini semua tiba-tiba berlaku?

Kalian datang ke sini… tetapi muka kamilah orang yang paling tidak ingin di lihat dan ditemui. Apakah kalian telah mencampakkan kasih sayang yang telah kami berikan selama ini. Apakah muka kami begitu buruk untuk dilihat? Apakah suara kami begitu menyakitkan untuk disapa?. Jika kalian datang dari jauh kerana sesuatu subjek dan untuk mengutip markah bagi sekeping sijil, apakah pelajaran-pelajaran yang sama-sama kita pelajari di usrah dan dauroh sudah tidak bernilai dan tidak berharga? Atau apakah kalian telah melayakkan diri untuk dipanggil anak derhaka?

Kalian segera berlepas pulang. Kami hanya mendengar si anu telah datang. Tanpa sepatah salam kami terima, mungkin ia terlalu mahal untuk dikirim. Tiada helaian kertas ditinggalkan.. mungkin dakwat pena terlalu berharga untuk dicoretkan.. Kami hanya mendengar dengan hiba dan air mata mengalir lagi.

Masa berlalu… dan kami mula berfikir sendirian. Mereka terlalu sibuk. Mereka ada urusan sendiri. Mereka sedang masuk ke alam kerja. Walau ada di kalangan mereka kami bantu untuk meneruskan kehidupan mereka… mencarikan mereka kerja dan tempat pengalaman. Namum setelah berjaya.. sepatah perkataan pun tidak didengari. Mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan. Alhamdulillah. Kami sekali lagi menjadi hampas yang dicampakkan ke tong sampah!

Kami tidak inginkan pembalasan. Kami tidak minta pahala dari kalian. Cukuplah Allah sebaik-baik pembalas. Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan kekal. Kami akan tetap begini hingga ke akhir hayat.. selagi Allah masih memberikan kekuatan. Kerja kami ialah mengumpul tenaga-tenaga orang seperti kalian, memberi sedikit sebanyak ilmu dan kefahaman, mendidik apa yang terdaya agar ada tenaga baru untuk Islam.

Kami tidak inginkan harta kalian, tidak perlu kepada pujian dan sanjungan kalian. Tidak berhajat ingatan

dari kalian, tetapi kami hanya mahu mendengar kalian telah menyambung dan menjadikan kerja Islam sebagai sebesar-besar tugas. Kami hanya mahukan dari kalian menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang telah mati. Itulah tanda kesetiaan kalian terhadap kami. Sebenarnya itu adalah janji kalian kepada Allah bila kalian berjanji untuk bersama kami. Allahlah yang akan menuntut janjiNya dari kalian.

Ketika kami mendengar ada di antara kalian mula terlupa atau melupai tugas ini, maka kamilah orang yang mula-mula menangis. Kalian tentu faham bahawa tanda awal ialah bila kalian tidak lagi bersambung dengan jamaah. Bila ada antara kalian yang merasakan kalian mampu hidup sendiri, kalian sebenarnya kalian telah silap. Hidup sehari tanpa jamaah dan tanpa kerja Islam bermakna kalian telah meranapkan harapan kerja besar kita. Dan tanda awal putusnya kalian dengan jamaah ialah bila kalian sudah tidak mempunyai naqib dan usrah. Tanda awalnya apabila kalian telah mula membelakangkan naqib/naqibah dalam membuat keputusan dalam hidup kalian. Apakah kalian merelakan diri kalian untuk menjadi peranap kepada cita-cita Islam kita.? Apakah kalian tidak takut kepada balasan Allah bagi mereka yang meninggalkan tugas ini?

Biarlah kami berhempas pulas di sini.. berhujan berpanas dan berembun. Mengorbankan masa rehat dan wang ringgit kami demi melahirkan orang seperti kalian. Biarlah kami terus begini… walaupun kami tahu mereka semua juga mungkin akan menjadi seperti kalian. Biarlah kami terus berusaha .. melahirkan anak-anak yang akan menderhakai dakwah dan tanggungjawab Islam! Ingatlah.. kerja ini bukan hanya dengan angan-angan dan azam semata. Cukuplah kalian layak dipanggil anak derhaka bila dakwah dan amal Islam hanya menjadi angan dan azam. Betapa ramainya orang yang mampu berangan dan berazam seperti kalian ! Tapi dimana usaha dan curahan tenaga? Siapa yang akan ke medan, menarik tangan-tangan manusia yang sedang hanyut jika semua hanya berangan dan berazam untuk menarik? Alangkah mudah berangan dan berazam!

Bebanan perasaan yang kami pikul sebenarnya lebih berat dari bebanan tugas ke sana ke mari mengendali program dan mendidik kalian. Apa sangat berat berjaga malam, membelanjakan ringgit dan berceramah dan mendengar masalah kalian jika hati kami gembira melihat hasilnya. Apa sangat itu semua jika hati bahagia melihat kalian menjadi orang yang akan mewarisi kerja yang telah kami buat. Kesemua berat dan beban hilang dan tak mungkin terasa setelah melihat kalian telah menerangkan bumi yang gelap seluruh pelusuk bumi.

TETAPI…

Sekarang kami telah kehilangan segala-galanya. Ketenangan yang kami ingin cari melalui pengorbanan ini telah juga hancur. Bahkan ianya lebih berat dari bebanan fizikal dan material. Kami telah melalui beberapa generasi kalian. Pengalaman akhirnya menyimpulkan kepada kami bahawa kami hanyalah manusia tak berguna dan pengganggu dalam hidup kalian. Ketenangan hati yang kami ingin hirup dari usaha mentarbiyyah kalian hanya menambah luka yang telah ada… Apakah kalian sedar?

Kami iringi kalian dengan doa dan airmata. Pergilah kalian dengan sijil yang telah diperolehi dari sini untuk menjenguk dunia yang tiada bertepi. Harungilah hidup demi mencari ketenangan dan kebahagiaan melalui jalan yang kalian pilih sendiri. Kami tetap memilih ketenangan dan kebahagian melalui jalan kami sendiri. Walaupun kalian telah melukai hati kami… kami hanya akan menyalahkan diri kami sendiri. Mungkin kamilah yang menyebabkan kalian jadi begitu. Mungkin kami belum memberikan yang terbaik untuk kalian. Mungkin kami belum mengorbankan apa yang sepatutnya kami korbankan. Mungkin.. kami lah yang bersalah.!

Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Kami tidak mengharapkan kepada kalian lagi. Jika kalian mahu terus hidup sebagaimana manusia lain… teruskanlah. Bahkan jika kalian mahu menjadi manusia yang jauh berlainan dari kami… teruskan. Moga Allah mengampunkan kami dan kalian. TAPI ingat ! Dakwah tidak memerlukan kalian untuk hidup. Dakwah adalah satu yang kuat dan kukuh kerana ia berhubung dengan Allah Yang Maha Perkasa. Kitalah yang memerlukan dakwah. Dakwah boleh bersama orang lain jika kita enggan. Tatapi apa ertinya hidup kita tanpa dakwah? Dakwah adalah nyawa dan roh kita. Jika kita berpisah darinya…. Kita sebenarnya telah mati ! Kita akan terkulai layu ibarat bunga yang telah dipetik dari pokoknya !

Tinggalkanlah kami menangisi anak-anak yang telah pergi. Anak-anak yang telah mencampakkan kasih sayang yang cuba kami hulurkan. Mungkin cinta kami tidak seindah dunia yang menunggu diluar sana. Biarlah cinta itu dikutip oleh manusia lain yang tahu menilainya.

Apakah kalian tidak mengerti ini semua… apakah cinta kami tidak bermakna untuk kalian. Adakah ianya terlalu murah. Kami berkorban untuk kalian lebih dari anak dan saudara kami sendiri, kerana bagi kami tali akidah dan fikrah lebih kukuh dan erat dari tali kekeluargaan. Kalian lebih kami sayangi dari saudara sedarah daging dengan kami. Kami berikan apa yang terbaik apa yang kami ada. Kerana kami tahu.. kalian adalah penerus generasi da’I yang hampir pupus. Apakah kalian tidak merasainya?

Memang kami tidak memberikan makanan yang mahal-mahal untuk kalian. Kami tidak membelikan pakaian indah untuk kalian. Tetapi apa erti makanan dan pakaian jika kalian hanyut di alam sesat jahiliyyah.. ?

Hayatilah kata-kata Imam al-Syafie: "manusia sebenarnya ialah yang merasai kecintaan yang diberikan kepadanya walaupun sebentar". Berapa lamakah kecintaan yang telah kami berikan kepada kalian… apakah kalian tidak merasainya?

Kalian melihat kami tersenyum… ye.. senyuman yang kami buat-buat untuk mengubat rindu kepada kedamaian semalam yang telah tiada lagi. Senyuman untuk menandakan kami masih mampu berlakon dengan hati yang telah disiat-siat. Berilah senyuman kepada kami, hulurkan tangan kalian untuk kami salami…. Tetapi hati ini tidak mungkin terubat tanpa penghayatan dan penunaian janji yang telah sama-sama kita buat semasa kita di sini!

Cukuplah… kami hanya akan bersama dengan yang memahami dan merasai cinta kami. Bagi mereka yang mempunyai kekasih lain… pergilah.. semoga kekasihnya akan memberi kebahagian dan ketenangan untuknya. Bagi kami… di jalan dakwahlah kasih awal dan akhir kami.

Jika kami sendiri futur akibat apa yang telah kalian lakukan, maka bersedia kalian untuk menerima sahamnya. Kalian telah mengecewakan kami sedikit sebanyak. Kalian telah menyebabkan kami tidak percaya lagi kepada manusia… hingga sampai satu ketika.. kami merasakan sudah tidak wujud lagi harapan di dunia ini. Apa tidaknya.. keseluruhan anak-anak kami tidak dapat meneruskan usaha kami? Jika itu yang berlaku kepada yang awal… maka bukankah sama pada yang akhirnya?

Tolong … jangan jadikan kami futur.. berilah harapan. Moga adik-adik kita di sini dan di luar sana dapat menghirup sedikit dari limpahan cahaya Ilahi yang kita sama-sama tidak ingin padam. Ameen.

Kursus khas sabah sarawak di APIUM nilampuri di pindahkan ke USIM??





1) askm,usim dlm proses utk ambk alih pengambilan pelajar intensif sabah sarawak,pengarah APIUM (prof.hidayat) cadangkan program ini ditutup dpn pengurusan tertinggi (NC dan TNC UM) pada bulan 6.atas alasan student x bermutu.apa respon shbt2 sabah dan sarawak?faisal_PMAPIUM

2) SALAM..
BUAT KESEKIAN KALINYA.. HUJUNG JARI INI MENAIP LAGI BUAT TATAPAN SEMUA.. RASA KECEWA YANG TERAMAT SANGAT SEKEMBALINYA DARI PEJABAT PENTADBIRAN TADI..BETAPA TIDAK.. INTENSIF TAHUN DEPAN AKAN BERPINDAH DI USIM.. TENTU SEMUA EX INTENSIF UM AKAN TERKEJUT,, TAPI HAKIKATNYA BEGITU.. TADI, MEREKA MENGATAKAN BAHAWA SURAT PENGESAHAN TELAH TIBA, DAN HANYA MENUNGGU MASA DARI PIHAK USIM UNTUK MENGAMBIL SILIBUS INTENSIF DI SINI..NAMUN, DOA DARI LUBUK HATI INI.. JANGANLAH PENCARIAN ILMU ITU TERUS TERPUTUS.. ISLAM ADA DIMANA2, TERPULANG KEPADA KITA.. MAHU ATAU TIDAK.. SEMOGA ADIK2 YANG BAKAL BERADA DI USIM PADA SESI 2009/2010 AKAN TERUS BERSEMANGAT UNTUK MENIMBA ILMU.. INGAT, KITA MASIH DIPERLUKAN DI SANA..

DARI HATI YANG SEDIKIT KECEWA..
www.ceriterasahabat.blogspot.com

Assalamualaikum semua,
Kenyataan yang pertama ialah mesej yang saya terima daripada ust.wan azman yang meminta respon berkaitan isu ini,kenyataan yang kedua ialah luahan hati adik di nilampuri yang ditulis di dalam blognya..isunya PERPINDAHAN PELAJAR INTENSIF SABAH SARAWAK di apium,Nilam puri ke USIM.

Sedikit review sejarah dan bagaimana sebenarnya keadaan sebenar KURSUS KHAS Sabah Sarawak di apium,np.saya merupakan salah seorang ex-intensif nilampuri batch yang ke 9 atau 10 (tak pasti).

KURSUS ini merupakan inisiatif Bahagian Pendidikan Islam Negeri Sabah (SPIM) dgn kerjasama Yayasan Sabah&Sarawak untuk memperbanyakkan USTAZ dan USTAZAH yang berkhidmat dinegeri Sabah dan Sarawak.setiap tahun dari Sabah akan ada 25-30 orang pelajar akan di ambil, dari sarawak dalam 20 orang setahun.Tempoh pengajian kami di apium Nilampuri adalah 3 tahun (1 tahun-kursus khas intensif B.arab dan 2 tahun-matrikulasi).Setelah habis 3 tahun,akan terus menyambung 4 tahun pula di Universiti Malaya,KL dalam bidang PENDIDIKAN ISLAM. 7 TAHUN merupakan tempoh yang sememangnya lama untuk kami bergelar PENDIDIK..tapi cukup berbaloi.

realitinya,pada mulanya kursus ini berjalan lancar..aman damai selama beberapa generasi menuntut di apium,Np. kelas intensif merupakan kenangan paling manis sepanjang menuntut disana..dengan keprihatinan para pensyarah yang begitu komited mengajar kami.Time intensif lah kami rasakan menjadi 'anak emas' dan di ambil perhatian oleh para pensyarah ketika itu.dan sememangnya kursus intensif ini sangat membantu anak-anak sbh sarawak lebih faham dan lebih mahir berbahasa Arab..sekaligus lebih terdedah dan terdidik dengan kefahaman ISLAM di bumi tarbiyah Nilampuri.al maklumlah,sebelum masuk ke nilampuri..kebiasaannya tahap penguasaan Bahasa Arab dan juga tahap kefahaman agama budak-budak sabah sarawak agak kurang berbanding pelajar semenanjung.tetapi dengan Bi'ah,suasana ilmu di bumi Nilampuri Kelantan ini..sangat membantu kami untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa Arab dan memahami Islam dengan lebih baik.

Walaupun,hakikatnya ada juga masalah-masalah yang ditimbulkan oleh pelajar2 borneo sendiri..sehingga timbul gelaran yang tidak sedap di dengar..'perosak tarbiyah'..namun,itu hakikat yang perlu diterima.dalam setandan pisang..tidak semuanya elok..ada juga sebiji-dua yang rosak.masalah sebegini tetap ada dalam setiap generasi,tetapi ini bukan alasan untuk menafikan kepentingan kursus intensif di nilampuri,ini kerana hakikatnya Kursus inilah menjadi peluang untuk mendidik dan mentarbiyah generasi borneo di nilampuri untuk lebih memahami Islam itu sendiri..di samping keberkesanannya dalam membantu anak2 sabah sarawak mendalami dan menjadi mahir dalam Bahasa Arab juga tidak boleh dinafikan.

dan beberapa tahun kebelakangan inilah..banyak ura2 berkaitan pembubaran kelas intensif ini.dan tahun 2008 ini TIADA pengambilan INTENSIF. dan baru saja semasa turun ke nilampuri Julai lalu,saya mendengar dari adik-adik bahawa pihak SPIM-ustz nuriman telah berusaha juga utk DEAL dengan UM berkaitan dengan pengambilan semula intensif..ketika itu,agak lega sedikit.dan kini,harapan tinggal harapan..DI PINDAHKAN KE USIM pula..

apakah yang berlaku sebenarnya?kemelut ini tidak habis-habis dan yang menjadi mangsa ialah generasi seterusnya yang sepatutnya memiliki peluang utk memasuki kursus Khas Sabah Sarawak utk menjadi pendidik.

Bersyukur juga sekurang2nya ada alternatif selain UM apabila USIM hendak mengambil alih kursus khas ini..namun,dengan segala kemudahan sedia ada di APIUM,dengan proses pembelajaran ini yang telah tersusun..bukankah sebaik-baiknya diteruskan sahaja kursus ini di APIUM,NP?

apakah polemik yang berlaku sebenarnya?

apapun yang terjadi selepas ini..hakikatnya itulah yang TERBAIK buat kita.ALLAH merancang dan menentukan yang terbaik untuk kita..jika benar Perpindahan ke USIM ini. Kita mendoakan agar transisi perpindahan ke USIM kali ini mencorakkan generasi ISLAM borneo yang lebih baik dari sekarang.InsyaALLAH.



sumber: MARSIS

Tarbiyyah Ruhiyyah Tangisan Kerana Takut Kepada Allah: Satu Penilaian Terhadap Persoalan Hati

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Pendahuluan
Fenomena tangisan di kalangan manusia hari ini mempunyai maksud yang tersendiri, ini kerana ada yang menangis sebab ditinggalkan orang yang amat dikasihi, sama ada seorang kekasih, ibu, bapa, anak-anak, jiran, sanak saudara terdekat dan seumpamanya.

Terdapat juga yang menangis kerana terlalu gembira sebab bertemu semula dengan orang yang terpisah sejak sekian lama, ada juga di kalangan mereka yang terlalu mudah untuk mengalirkan air mata apabila menonton sebuah cerita yang berkonsepkan kesedihan dengan pelbagai karenah dan watak dalam filem tertentu.

Apapun amat sukar hari ini untuk mendapatkan jenis manusia yang menangis kerana takutkan Allah sebab ia amat terbatas, ini kerana jiwa serta hati mereka tidak terikat melalui hubungan dengan Allah selaku Pencipta, atau dengan kata lain hati mereka tidak melalui proses tarbiyyah seperti yang dialami oleh generasi silam.

Hati manusia hari ini tidak selembut mereka yang terdahulu daripada kita, malah tidak berusaha untuk mencari jalan bagaimana hati tersebut dapat dilunak dan dijinakkan melalui hubungan dengan Allah SWT.

Pendek kata, faktor yang menyebabkan manusia hari ini tidak mementingkan persoalan pensucian hati dan jiwa adalah disebabkan mereka tidak menggarap ilmu agama dengan sepatutnya, mereka membiarkan hati tersebut kosong dan akhirnya terjebak dalam kancah yang amat dikutuk oleh Allah SWT.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w ada memberi wasiat kepada Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud : “Wahai Ali, jika sekiranya berlalu 40 hari di kalangan orang-orang Islam dan mereka tidak duduk (secara langsung) dengan para alim ulama’ (menadah kitab, maka mereka akan ditimpakan oleh Allah dengan dua implikasi, pertama hati mereka menjadi keras dan kedua mereka berani pula (terjebak) melakukan dosa-dosa besar.”

Jelas daripada wasiat baginda s.a.w di atas menunjukkan kepada kita, bahawa apabila seseorang muslim itu yang tidak bersedia untuk duduk bersama alim ulama’ untuk belajar daripada mereka, maka dia akan ditimpakan dua perkara, hati keras yang tidak memungkinkan dia mendapat petunjuk daripada Allah malah berani pula melakukan dosa-dosa besar seperti meninggalkan solat, membunuh, meragut, memfitnah Islam, membenci ulama’, menderhaka kepada kedua ibu bapa, melanggar perintah Allah, menghina hukum-hukum Islam, meletupkan mangsa yang dibunuh dan banyak lagi yang dianggap sebagai jenayah di sisi Allah SWT.

Pendekatan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad mengenai nilai air mata

Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra’ yang bermaksud : “Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyu.”

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Mereka juga tidak berusaha merebut peluang untuk dimasukkan dalam salah satu daripada tujuh kategori manusia yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat, seperti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah (r.a), bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : “Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat (di padang Mahsyar), di mana tidak ada naungan melainkan naungan Allah :- Pemerintah yang adil, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah, remaja yang membentuk dirinya untuk beribadat kepada Allah, seorang lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang rupawan, hartawan dan mempunyai kedudukan, lalu dia berkata, sesungguhnya aku takut kepada Allah (atau sebaliknya), seorang yang mendermakan dengan tangan kanannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui (kerana ikhlas) dan seseorang itu yang mengingati Allah (dengan mengenangkan segala dosa yang dibuat) hingga mengalirkan air mata (kerana takut kepada Allah).” - Hadis Sohih.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda : “Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah.” - Hadis riwayat at-Tirmizi.

Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya : “Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.”

Kesan air mata positif yang melayakkan masuk syurga Allah

Para ulama’ telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT : 1- Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri. 2- Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya. 3- Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu. 4- Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah. 5- Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.

Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT.

A Point of Greed & Timing

Salams.

Keif hal?

Hope you're in the great condition. My writing today is going to be simple, touch-n-go n dis is da 1st one, InsyaAllah.


Currently, I just finished reading Sidney Sheldon's If Tomorrow Comes, dated 1985. It elated me when I read this book of suspense. It taught us how to be a thief, and the perfect theft skills. Although the book was not up-to-date in the scenario and tech (eg. no handphone, laptop and lack of modern tech), it was such a little-simple kit for the one who's finding something to feel the world of reality.

Human is greedy. It's natural. The point of greed was used to plan everything. From greed, people lost their money, lost their mind, lost their families, lost everything. Just for following the starved-greedy pleasure. The Dog and Bone story, really meant alot to me, precisely for now, as I've felt the world Sidney Sheldon brought me to. Well, I think, for now in my perception, psychology is the most important thing of wisdom, to discover. If I was to put in priority, I would put it on the first.

I think, a real daie cannot be greedy. But sometimes he could be. If daie was greedy, it would lead to a big disaster. Well, greed is not always put on money, even it's where it's usually-to-be, but it will also fit in powers, fame, glamourous and etc. But in daie perception, it has nothing to do without all those things. But with mad'u, it has.

It meant alot to a daie, if many people go to him, asking his advice, following his guide, respecting him in a sense of a murabbi, trying to live the way he lives, finding the truth of life with him, and everything of him-his-self. It does really mean a lot. But, also, it means alot to arouse the silent-killing sense of greed.

They said ; in politics, timing is everything. But I would say ; in dakwah, it's one real big thing to consider, but not everything. I could see the connection between the dakwah and politics. It has something to do with people.

For twenty-one years I've lived, I've learnt something very useful to deal with people. It's just, give some more time to them. We cannot give or teach people everything from us, but people will learn everything from time, where they are living in. It's just because, we work for maybe 7-10 hours a day, but time is working non-stop, 24/7. And time is the best teacher in the world.

In Abu Ammar's Al-Muntalaq (in the last chapter ; Tarkiiz la Takathur (Quality, Not Quantity), it is said that it's people we are dealing with, not machines, not animals. From time to time, animals and machines won't change, but people would. And in Hassan Al-Banna's Majmu'at Rasail, it is said that the skill a daie must know is the timing is one of the medication. The point is, just avoid your greed in dakwah or tajmi'.
For all du'at outside there, just don't let the sense of greed arouse you. Because there are too many kind of people you are dealing with. If you just follow the steps, give some more time, you would see whom is better to choose, for it just takes some more time and skills to differentiate between the original and artificial.

Wallahua'lam.
A point in the morning.
-SCHML n IMJ's fikrahs...

~sumwere in da BORNEO~

Muslimat Dan Perjuangan

Sudah menjadi sunnah dalam berjuang menegakkan Islam, memang akan sentiasa ada pertarungan antara yang haq dan yang bathil. Dalam pertarungan ini, pasti akan ada para pejuang yang terseksa. Ini dapat kita saksikan di mana-mana sahaja, dan negara kita juga tidak terkecuali. Di antara para pejuang ini, terdapat juga pendokong yang terdiri daripada muslimat-muslimat yang kuat iman dan semangatnya. Mereka juga turut terseksa dalam menegakkan al-haq. Jika dibandingkan dengan kesusahan pejuang-pejuang Islam di tanah air kita, muslimat yang mendokong perjuangan Islam di luar negara seperti di Mesir contohnya, menghadapi tekanan dan seksaan yang jauh lebih teruk lagi.

Kita dapat lihat dalam kenyataan sejarah bagaimana Muslimat Mesir yang berjuang bersama-sama dengan Ikhwanul Muslimin menghadapi penyeksaan dalam penjara.

Seorang pemimpin muslimat Mesir, Zainab al-Ghazali pernah diseksa di dalam penjara sehingga wajahnya dilihat seperti seorang yang berusia sembilan puluh tahun sedangkan umurnya baru sahaja dalam lingkungan empat puluhan. Bagaimanakah seksaan yang dihadapinya?

Zainab al-Ghazali diseksa di dalam bilik kurungan yang dipanaskan udaranya dan pada waktu musim dingin sewaktu di tengah malam, dipasangkan penyaman udara dan diletakkan di atas air batu serta dilepaskan anjing ganas untuk menyerangnya. Dalam keadaan seperti ini, beliau tidak meletakkan harapan lain selain daripada iman kepada ALLAH SWT. Beliau meletakkan harapan dan membulatkan hatinya hanya kepada ALLAH SWT. Anjing ganas yang lapar dibiarkan terlepas dalam bilik kurungannya dan anjing itu cuba menerkam dengan ganas Zainab al-Ghazali. Tetapi, dalam keadaan seperti itu, anjing yang ganas tadi tidak pula menerkamnya, sebaliknya selama beberapa jam anjing itu menjilat tubuh Zainab dan dilihat pakaian putih yang dipakainya sedikit pun tidak terkoyak dan tiada kesan gigitan anjing pun yang terdapat pada tubuhnya.

Dalam keadaan diseksa sedemikian, Zainab al-Ghazali sempat berda’wah sehingga seorang pemuda yang terlatih yang ditugaskan untuk menyeksa para pejuang Islam telah kembali ke jalan ALLAH SWT setelah dia melihat ketabahan dan kesabaran Zainab al-Ghazali. Pemuda itu berkata kepada Zainab, “Wahai ibuku, selama ini aku tidak pernah sujud kepada ALLAH SWT tetapi selama engkau berada di dalam tahanan ini, aku ditugaskan untuk menyeksa engkau. Sepanjang yang aku perhatikan terdapat perkara-perkara yang luar biasa yang tidak pernah aku lihat. Oleh itu, ajarkanlah aku bagaimana aku hendak mengenali ALLAH SWT dan bagaimana aku hendak mendirikan solat serta tunduk kepada ALLAH SWT.” Zainab al-Ghazali semasa diseksa sebegitu hebat dengan izin ALLAH SWT telah menyelamatkan seorang pemuda yang sesat dan hanyut oleh sistem jahiliyah, sekularisme, dan sebagainya.

Bagaimanakah pula penyeksaan yang dialami oleh dua orang adik perempuan Sayyid Qutb (iaitu Hamidah Qutb dan Aminah Qutb)?

Mereka ditahan bersama-sama di dalam sebuah penjara tentera seperti yang dialami oleh Zainab al-Ghazali. As-syahid Sayyid Qutb RahimahuLLAH sebelum digantung mati sebagai syahid telah sempat menulis surat kepada adik perempuannya dan berkata kepada adik perempuannya itu, “Wahai adikku, barangkali sekarang ini kau sedang melihat dengan gerun tali gantung yang akan menjerut leherku ini. Kita akan merasai perjuangan kita ini sempit dan kita yang akan mengakhiri perjuangan kita ini; tetapi apabila kita memikirkan bahawa perjuangan kita ini bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang menamatkannya, maka ketika itulah kita rasakan bagaimana luasnya perjuangan kita, bagaimana luasnya keluarga kita kerana keluarga kita bukan keluarga yang diikat oleh keturunan darah tetapi keturunan kita diikat oleh kesatuan ‘aqidah La Ilaha IllaLLAH Muhammad al-RasuluLLAH.”

Contoh yang paling tinggi yang pernah ditunjukkan oleh Sahabiyyatul Rasul (Muslimat) bersama RasuluLLAH SAW, ialah kisah seorang muslimat yang bernama Nasibah binti Ka’ab al-Ansoriyyah.

Ketika dalam peperangan Uhud, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya telah gugur syahid di medan perang. Dia kematian ayah,anak dan saudara tetapi Nasibah tidak mempedulikan hal itu, malah apa yang ditanya ialah bagaimanakah keadaan RasuluLLAH SAW. Apabila sahabat-sahabat memberitahu bahawa Rasul SAW selamat, Nasibah lantas menjawab,”Segala penderitaan dan musibah yang menimpaku, setelah ku tahu selamatnya Rasul SAW maka segala kesusahan itu tidak lagi memberi apa-apa erti kepadaku”. Ertinya, bagaimana kita melihat semangat dan keimanan sehingga meletakkan kasih dan kecintaan mereka kepada ALLAH dan Rasul melebihi kasih kepada yang lain.

Perbuatan Nasibah ini menepati intipati hadith RasuluLLAH SAW, yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, yang bermaksud:

“Tiga perkara yang apabila seseorang itu ada padanya maka dia telah mendapat kemanisan iman. Pertama: ALLAH dan RasulNya lebih dikasihi daripada yang lain. Kedua: Dia hendaklah kasihkan seseorang Islam dan tidak kasihkan seseorang itu melainkan kerana ALLAH SWT. Ketiga: Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kufur seperti dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”

Hal ini juga pernah diucapkan dan dibuktikan oleh seorang Muslimah yang baik, yang tinggi akhlaqnya, yang ta’at kepada ALLAH SWT, iaitu Rabi’atul Adawiyah dalam satu ucapan sya’irnya, di mana beliau berkata:

“Wahai Tuhanku, apabila sah aku mendapat kasihMu, maka segala-galanya di dunia ini tidak ada erti lagi.

Kerana apa yang ada di atas tanah ini adalah fana’”.

Emas dan perak yang menjadi kebanggaan kaum wanita pada hakikatnya berasal dari tanah yang kemudiannya dibakar hangus lalu jadilah ia emas dan perak yang dipuja, tetapi pada hakikatnya adalah tanah maka sebab itulah Rabi’atul Adawiyah menolak seluruh kesenangan dan keseronokan hidupnya untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada ALLAH SWT.

Semangat seperti inilah yang dapat kita lihat sekarang ini di kalangan muslimat kita, di mana mereka sanggup melekangkan gelang emasnya apabila diminta pengorbanan untuk meneruskan nadi perjuangan Islam ini. Ada muslimat kita yang pernah mengorbankan harta kesayangannya berupa kalung permata apabila diminta untuk tujuan ini. Ini adalah contoh bagaimana semangat seperti ini harus dijadikan teladan.

Kita lihat bagaimana semangat perjuangan dan pengorbanan itu terus hidup di kalangan muslimat kita dan kita yakin bahawa selama ada semangat dan pengorbanan seperti ini maka InsyaALLAH gerakan Islam akan terus bergerak dan perjuangan Islam akan bertambah hebat, AMIN Ya Rabbal ‘Alamin.

Rumusan dari buku "Aqidah dan Perjuangan' tulisan ALLAHyarham Ustaz Fadhil Noor.

Ibn ‘AbdiLLAH as-Sarawaki
 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.