Sampai Bila Kita Nak 'Merogol' Gadis Penan?




Senyap. Sepi. Sunyi. Tiada pembelaan. Tiada kelab penyokong. Tiada segalanya. Itu lah nasib para gadis Penan yang terlibat dalam penganiyaan oleh pembalak-pembalak di Sarawak. Agak melucukan kerana perkara sebegini seolah tiada harga di mata kita. Yang menghantar memorandum hanya 5-6 batang sahaja. Tidak seramai membantah ISA.

Kecoh. Bising. Meriah. Penuh pembelaan. Ada kelab penyokong. Ada segalanya. Itu lah tuah Kartika. Dihukum rotan kerana disabit kesalahan minum arak. Kecoh apabila si pejuang hak asasi manusia mempertikai jenis hukuman dan juga jantina pesalah.

Sangat beruntung si Kartika. Semua pihak mahu membela. Semua pihak mahu melawat. Macam pejuang Islam pula. Terbaru, sebuah persatuan mahasiswa melancarkan Kelab Penyokong Kartika. Apa kah tujuan sebenar ditubuhkan tak tahu lah. Mungkin tekanan akibat bahang “final exam” yang menghampiri.

Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia untuk gagal menilai keutamaan dalam kehidupan. Mahasiswa juga termasuk dalam golongan ini. Agak malang bagi kita golongan mahasiswa apabila sering kali tersilap letak di mana keutamaan yang sebenar.

Kita gila berpolitik, gila berhibur, gila belajar, gila segalanya. Hingga lupa dunia. Tidak salah berpolitik. Tak dilarang hendak berhibur. Bagus jika suka belajar. Tapi haruslah tahu susun atur keutamaannya.

Dalam konteks perjuangan membela rakyat, penulis agak kecewa dengan kesunyian dan kesepian dari pihak Gerakan Mahasiwa yang seakan gagal untuk memainkan peranan dalam membela nasib gadis Penan. Mungkin jika ditanya, ramai yang tak tahu apa sebenar isu gadis Penan ini. Semua sibuk dengan Bagan Pinang, Kartika, dan sebagainya.

Hendak dikatakan faktor geografi, mustahil kerana sekarang kita ada internet. Ada blog. Ada segalanya. Tapi, kita tetap gagal mengambil tahu tentang isu ini. Apatah lagi untuk memperjuangkan isu ini.

Kenapa isu ini lebih penting dari Kartika?

Isu Kartika hanyalah sebuah kontroversi murahan yang juga memalukan mahkamah Syariah di Negara kita. Isu sebat ini bukan baru. Sudah lama. Dulu dua beradik disebat kerana minum arak. Apa nak dikecohkan sangat?

Nun jauh di Sarawak isu lebih besar menanti untuk dihebohkan. Gadis Penan sudahlah majoritinya tidak berpendidikan, tiada kad pengenalan, tiada segalanya. Mereka ini yang sepatutnya dibela. Kita selaku mahasiswa seharusnya membantu mereka ini. Tidak perlu terbang ke Sarawak. Cukup dengan mengadakan tabung bantuan, unjuk rasa, sidang akhbar, tunjukkan bahawa kita perihatin kepada mereka.

Gadis Penan ini tidak bersalah. Mereka perlu dibela bukan kerana mereka dijatuhkan hukuman sebat kerana berzina. Mereka ini dirogol. Diulangi, mereka ini dirogol! Buta huruf, tiada pengenalan diri, miskin, ditambah pula dengan penganiyaan melampau, sedah cukup bagi kita untuk mengambil tindakan sewajarnya. Tapi, adakah apa-apa tindakan yang diambil?

Buat sayap puteri Gerakan Mahasiswa, tidak cukup kah penganiyaan ini? Tidak cukup hebatkah penganiyaan terhadap kaum wanita dalam kes Penan ini? Kenapa seakan sepi membisu? Bukan kah sayap puteri ditubuh untuk memainkan peranan penting dalam isu wanita? Tapi jika isu sebesar ini boleh dipandang sebelah mata, apa guna lagi sayap puteri?

Kita selalu menghentam puak-puak liberalis, kononnya mereka tidak menghormati mahkamah Syariah dalam isu Kartika. Tapi tahukah anda bahawa Joint Action Group (JAG) adalah antara mereka yang pertama menghulur bantuan buat gadis-gadis Penan? Kita menghentam mereka tapi nampaknya sekarang mereka membuktikan bahawa mereka lebih prihatin tentang isu penganiyaan terhadap wanita daripada kita.

Sekarang, layakkah kita menghentam JAG kerana mempersoal mahkamah Syariah? Kita marah mereka. Ya, itu betul kerana mereka ini tidak menghormati “Legal Pluralisme” yang diamalkan di Negara kita. Tapi, nampaknya sekarang kita sudah ketinggalan satu tapak di belakang mereka.

Membela kaum tertindas itu sifat seorang Muslim. Tapi kenapa Gerakan Mahasiswa Islam gagal membela mereka? Kenapa khayal dalam isu Kartika semata? Hendak dikatakan tak sempat nak tengok, tidak masuk akal juga. Kerana Gerakan Mahasiswa Islam lah yang sering memukul canang mempromosi media alternatif. Isu ini hangat dimainkan di media alternatif. Tapi nampaknya kita masih ketinggalan. Mungkin, ini kerana Kartika itu model. Comel lote. Tapi gadis Penan? Comot…

Jika sudah ada tindakan dari gerakan mahasiswa, maka penulis ucapkan tahniah. Kerana anda buktikan anda tidak tidur dalam berjuang. Kepada yang belum bertindak, bangkitlah dari mimpi.

Oleh: Muhammad Fuad Syazwan bin Ramli*
Sumber: www.mahasiswakini.com

Baitul Muslim: Payahkah Beragama?



Mungkin kita selalu dengar rungutan orang tentang sukarnya beramal dengan Islam, banyak sangat pantang larang, haram itu ini, dan kadangkala kita juga hairan ada orang yang tidak melaksanakan tuntutan agama. Sehingga kadang-kadang kita tertanya-tanya, benarkah agama sampai sebegitu rupa sehinggakan orang rasa tidak mampu untuk beramal dengannya?

Saya yakin banyak faktor-faktor yang mendorong kepada corak pemikiran seperti ini.

Mungkin salah satunya seperti yang sentiasa disebut oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi bahawa kecenderungan orang yang berfatwa untuk memberikan fatwa yang bersifat Al-Ahwat yang agak memperberatkan berbanding fatwa bersifat Al-Aysar yang mudah dan amat menenangkan golongan yang mahukan agama dan golongan yang mahu berjinak-jinak dengan agama ataupun yang mahu bertaubat. Saya setuju.

Salah satu lagi faktor ialah kesalahan orang yang memegang kuasa kerana terlalu bertoleransi dengan banyak perkara-perkara yang menyanggahi ma’ruf dan syari’at. Contohnya, awal-awal lagi generasi ICT One-Malaysia zaman sekarang dilahirkan dalam keadaan pub dan arak sudah wujud di sekelilingnya, maka perkara itu nampak normal untuk diwujudkan. Maka tidak mustahil mungkin ada yang memandangnya seolah-olah perkara-perkara tersebut terwujud kerana maslahat manusia sedangkan ianya jauh daripada kebenaran. Saya juga setuju.

Manakala, ada satu lagi faktor yang mungkin kurang diberi perhatian iaitu peranan keluarga dalam mendidik anak-anak untuk hidup dengan agama. Maksud saya, hadith Nabi SAW sudah menjelaskan bahawa agama itu mudah dan tidak ada yang disusahkan oleh agama melainkan dia sendiri tidak faham agama lantas menyusahkan diri dalam perkara-perkara tertentu kerana menganggap itulah realiti Islam.

"Anak soleh penyejuk mata"

Sebab itu sesetengah orang merasakan agama ini payah. Itulah natijah apabila tidak dididik awal-awal dengan Islam, kemudian ditambah pula dengan keadaan fatwa yang kadangkala menyusahkan tanpa mengambil kira realiti kehidupan umat akhir zaman yang lemah iman, serta keadaan di mana haram jauh berlambak.

Maka di sinilah institusi Baitul Muslim (BM) memainkan peranannya. Kita didik anak-anak kita awal-awal lagi dengan agama, agar apabila dia sudah biasa hidup dengan melaksanakan tuntutan agama sedari kecil, tidak melampau untuk saya katakan bahawa anak itu nanti merasakan untuk melaksanakannya setakat hujung kuku dan tidak merasa leceh dan terbeban untuk melakukannya.

Sebab itu jangan hairan apabila orang dihadapkan dengan salah satu pendapat mazhab Syafie bahawa bacaan yang rosak dalam solat boleh membatalkan solat, dia terus rasa terbeban dan timbul was-was di dalam bacaannya. Maka terwujudlah rasa susah untuk membaca di dalam solat, kerana dia jarang membaca Al-Qur’an, kerana tidak dibiasakan dari kecil untuk mengamalkannya. Itu satu contoh kecil.

Contoh lain ialah puasa. Kita hairan ada yang ponteng puasa hanya kerana dakwaan gastrik yang murahan dan pening kepala, hanya kerana lapar dan dahaga tidak seberapa. Masalahnya ialah dia tidak dilatih dari kecil untuk puasa.

Begitu juga contoh-contoh lain. Solat terasa berat dan leceh, sedangkan ia mudah. Tutup aurat terutamanya muslimat akan terasa sangat memayahkan dan leceh sedangkan ianya mengandungi hikmah yang besar, dan tidak pula menyusahkan.

Datang usrah pun akan nampak susah dan payah. Padahal peringkat paling cabuk pun sekadar menadah telinga untuk mendengar diskusi masalah umat manusia zaman ini.

“Nak datang usrah? Err, ramai sangat yang alim-alim dan semuanya pakai tudung labuh. Rasa rimas pulak, lagipun sekarang cuaca panas, takut berpeluh pulak.” Itulah antara alasan pandir yang biasa didengar.

Semuanya akibat kurang praktis dari kecil.

Maka terzahirlah di mata manusia bahawa…

“susah untuk tinggalkan karaoke, sebab saya minat menyanyi. Susah nak tinggalkan seluar pendek, sebab saya biasa pakai seluar pendek. Time keluar je pakai seluar panjang. Saya bukan tak nak solat, tapi tak sampai seru lagi. Apa salahnya AF dan Mentor? Mereka hanya menyanyi, bukan berzina! Err, hukum hudud ko kate? Eii, susahla gitu. Ramai la yang kena potong tangan“. Inilah dia realiti yang menjangkiti hati baik rakyat biasa sampailah ke peringkat yang ada kuasa dan segala-galanya.

“Hudud belum lagi relevan, kita di Malaysia masyarakat majmuk”..Wal ‘iyya dza biLLAH. Saya berlepas diri daripada slogan seperti ini.

Maka untuk mengatasi masalah ini, sekurang-kurangnya untuk mengelakkan ia daripada menjangkiti generasi kita ialah dengan membiasakan anak-anak dengan amalan beragama sejak kecil lagi. Psikologi pendidikan anak-anak mengatakan bahawa peribadi seseorang itu mudah dibentuk semasa mudanya berbanding masa tuanya.

Sebelum seketul daging bernama hati itu berubah menjadi batu kerana tidak dibentuk sejak awal, lebih baik bermula dari awal.

Pepatah Bahasa Inggeris berbunyi “Old Habits Die Hard & You Can’t Teach Old Dog New Tricks”, Pepatah Melayu pula “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya”.

Maka, mulakanlah dari awal demi pembentukan generasi aulad yang cinta dan faham Islam!

Semoga kita, samada yang sudah ataupun bakal bergelar ibu bapa berjaya mendidik anak-anak kita nanti, AMIN.

WaLLAHuta’al a’lam,



Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
8.07pm,
Khamis, 1 Oktober 2009,
Kuching, Sarawak.

Fiqhus Siyam: "Saya Nak Ganti Puasa 9 Tahun Lepas, Tapi..."

Baru-baru ini, seorang teman telah bertanya kepada saya tentang niat qadha puasa untuk 9 tahun lepas, dan adakah perlu digandakan puasa tersebut.

Penerangan saya kepadanya:

Saya tidak berapa pasti tentang niat qadha puasa 9 tahun yang lepas, cuma berdasarkan kefahaman saya dan apa yang saya pelajari, cukup sekadar saudara menyatakan di dalam niat saudara untuk qadha puasa-puasa yang lepas, tambahan pula saudara sendiri lebih tahu bahawa puasa saudara itu saudara niatkan untuk qadha’ puasa 9 tahun yang lepas, maka itu sudah dikira sekali ke dalam niat saudara. Tidak ada lafaz yang spesifik untuk niat puasa seperti ini, dan tidak pernah diriwayatkan dalam mana-mana nas yang menyebut tentang niat yang spesifik untuk satu-satu ibadah, kecuali ibadah haji. Itupun masih lagi di dalam perbahasan ulama’. Kita tinggalkan bab niat haji itu di situ. Yang penting, niat saudara sudah ada untuk menggantikan puasa saudara itu.

Berkenaan dengan menggandakan bilangan puasa, perkara tersebut tidak pernah dijelaskan dalam mana-mana kitab fiqh. Adapun tentang soal fidyah, perkara itu memang ada.

Gandaan fidyah mengikut bilangan tahun puasa itu ditinggalkan adalah pendapat di dalam mazhab Syafi’e. Adapun menurut jumhur ulama’ selain mazhab Syafi’e iaitu menurut mazhab Maliki dan Hanbali, fidyah tersebut tidak perlu digandakan, tetapi boleh ditunaikan mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan, walaupun puasa tersebut adalah puasa 10 tahun lepas yang belum diganti.

Selain daripada dua pendapat yang masyhur ini, ada lagi pendapat yang lebih ringan iaitu pendapat mazhab Hanafi yang mengatakan cukup dengan hanya bertaubat / memohon ampun dan menggantikan puasa tersebut mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Inilah pendapat yang ditarjihkan (diperkuatkan) oleh Mufti Mesir sekarang ini, iaitu Dr Ali Jum’ah Muhammad.

Ringkasannya:

Puasa yang ditinggalkan pada masa yang lalu, tiada khilaf di kalangan ulamak bahawa ia wajib diqadha; satu hari ditinggalkan diganti satu hari juga. Kecuali jika seseorang itu tidak mampu berpuasa, barulah digantikan dengan fidyah. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak. Yang ada khilaf ialah jika puasa yang dtinggalkan itu telah melepasi tahun (yakni telah memasuki Ramadhan baru) namun masih belum diqadha lagi; adakah diwajibkan qadha puasa sahaja atau diwajibkan juga fidyah bersama puasa. Ada dua pandangan ulama’;

Pertama: menurut mazhab Hanafi; memadai dengan qadha/ganti dan mohon ampun sahaja. Tidak ada sebarang denda dalam bentuk fidyah sekalipun telah menjangkau tahun kerana tidak ada nas al-Quran mahu pun as-Sunnah yang sahih menyebut tentang hal ini.

Kedua: menurut jumhur ulama’ (mazhab Imam Malik, Syafi'ie dan Ahmad); puasa yang masih belum diganti sedangkan telah masuk Ramadhan yang baru, hendaklah dibayar fidyah di samping qadha puasa. Bagi sehari puasa yang belum diganti, maka satu fidyah yang mesti dikeluarkan. Itu bagi orang yang sengaja melewat-lewatkan qadha puasanya tanpa sebarang keuzuran hingga tiba Ramadhan yang baru. Fidyah itu adalah sebagai kaffarah ke atas kelalaiannya. Adapun jika kerana keuzuran –seperti ia terlantar di hospital selama 11 bulan dan tidak mampu berpuasa sepanjang tempoh sakit itu-, tidaklah wajib atasnya membayar fidyah. Memadai dengan ia mengqadha puasa sahaja.


Menurut mazhab Syafi'ie; jumlah fidyah bertambah dengan bertambahnya tahun yang dijangkaui. Jika menjangkaui setahun sahaja, hanya satu fidyah yang perlu dikeluarkan bagi satu hari puasa yang belum diganti. Jika menjangkau tahun kedua, dua fidyah yang perlu dikeluarkan. Dan begitulah seterusnya. Adapun jumlah puasa yang perlu diqadha tidak bertambah. Sebagai contoh; seorang ada puasa yang ditinggalnya 10 tahun lalu selama 5 hari, lalu hari ini baru nak diqadhanya. Maka jumlah hari puasa yang perlu diqadha ialah 5 juga. Adapun fidyah, bagi satu hari perlu dikeluarkan 9 fidyah. Bagi keseluruhan 5 hari ialah 45 fidyah (5 x 9). Maksudnya, bilangan puasa yang perlu diganti ialah 5 hari dan pada masa yang sama membayar fidyah sebanyak 45 fidyah.

Namun menurut mazhab Imam Malik dan Ahmad; jumlah fidyah itu tidaklah bertambah. Hanya satu fidyah sahaja yang wajib dikeluarkan bagi satu hari puasa walaupun berbilang tahun telah dijangkaui.

Untuk lebih ringkas lagi:

Dalam mazhab Syafie: qadha puasa dan fidyah (berganda dengan tahun yang dijangkaui).

Dalam mazhab Maliki dan Hanbali: qadha puasa dan fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Dalam mazhab Hanafi: qadha puasa sahaja.

Dari segi kadar fidyah pula:

Kadar satu fidyah ialah secupak beras (menyamai ukuran hari ini; 650 gram beras). Menurut mazhab Hanafi; harus dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu. Malah beliau mengharuskan menunaikan fidyah itu dengan memberi makan orang miskin, yakni membuat makanan dan kemudian menjemput orang miskin menikmatinya.

Menurut mazhab Syafi'ie, kadar makanan itu ialah secupak beras untuk sehari puasa.

Menurut Mufti Mesir sekarang (Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah); fidyah bagi sehari yang ditinggalkan ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin sebanyak dua hidangan; satu hidangan berbuka dan satu hidangan sahur dengan makanan yang paling baik yang dimakan.

Menurut Syeikh 'Atiyah Saqar (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar); satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan pagi dan malam.

Di samping melakukan fidyah dan qadha puasa ini, seseorang itu hendaklah melakukan taubat yang bersungguh-sungguh dan menyesal akan perbuatannya meninggalkan ibadat puasa itu.

WaLLAHuta’ala a’lam.



Rujukan:

Kitab Fikah Mazhab Syafi’e Fiqh Manhaji Jilid 2 Bab Puasa m/s 444 susunan Dr Mustofa Al-Bugho, Dr Mustofa Al-Khin dan Ali As-Syarbaji.

Blog Ustaz Ahmad Adnan Fadzil


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
8.43am,
Sabtu, 12 September 2009,
Kuching, Sarawak.

Fiqhus Siyam: Jangan Risau! Anda Belum Batal Puasa...

Dalam entri kali ini, saya masih lagi membicarakan tentang Fiqhus Siyam/ Fiqh Puasa. Apabila menyebut tentang puasa ini, saya yakin persoalan yang banyak ‘menghantui’ minda kebanyakan daripada kita ialah perkara-perkara yang membatalkan puasa. Bulan Ramadhan yang sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk merangkul trofi emas bergelar taqwa itu tidak sepatutnya menyebabkan fokus kita lari daripada amalan-amalan yang lebih berfaedah daripada terlalu memikirkan tentang perkara yang membatalkan puasa.


Sedangkan apabila ditemukan dan dihimpunkan semua pendapat tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dari setiap kalangan mazhab, kita dapat simpulkan bahawa hanya TIGA perkara sahaja yang mencapai ijma’antara semua mazhab di dalam perkara yang membatalkan puasa; bersetubuh di siang bulan Ramadhan, makan dan minum. Di dalam ketiga-tiganya pun masih ada lagi ruang lingkup furu’ / cabang yang diperdebatkan. Maka janganlah risau akan status puasa anda itu. Selagi tidak makan, minum, mengeluarkan mani dan berjimak, insyaALLAH puasa anda masih sah dan anda boleh fokus kepada perkara yang lebih bermanfaat. Islam tidak pernah menyempitkan urusan umatnya!

Salah satu faktor yang saya lihat, yang membawa kepada salah faham tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa ini ialah apabila penerangan yang sebenar-benarnya yang menepati maksud di dalam nas-nas tidak disampaikan kepada para pelajar, baik yang bersekolah rendah mahupun menengah.


Saya masih ingat, salah satu daripada perkara yang pernah diajarkan kepada saya ketika di sekolah rendah dulu ialah korek hidung dan telinga boleh membatalkan puasa. Maka natijahnya, dari pagi sampai ke waktu berbuka menahan gatal di dalam hidung dan telinga, kerana ingin menjaga puasa.


Satu lagi perkara, satu soalan yang pernah diajukan kepada saya tentang keluar mani akibat mimpi. Kebanyakan (walhal dua-tiga orang sahaja yang pernah bertanya kepada saya tentang bab ini)bertanya samada puasa mereka batal ataupun tidak kerana terkeluar mani semasa tidur selepas Subuh.

Saya tanya, apa yang menyebabkan awak rasa ianya membatalkan?

Kata mereka, sebab di dalam mimpi itu kita sengaja bersetubuh ataupun mengeluarkan mani kita.

Semua ini perlukan pencerahan semula.


Selain daripada terlalu banyak salah faham terhadap puasa serta perkara-perkara yang membatalkan puasa ini, saya berpendapat bahawa ‘kita’ yang mengajar fiqh kepada orang ramai terutamanya dalam bab puasa ini, kita terlalu banyak mengutarakan masalah furu’pantang larang dalam puasa yang kadangkala tidak pernah berlaku, malah apabila diutarakan untuk dijadikan pegangan, pendapat itu boleh jadi semakin menyusahkan dan menyempitkan orang ramai.

Mungkin bagi sesetengah yang perasan, mereka akan kata saya seolah-olah sealam dengan Dr Asri Zainul Abidin dalam masalah ini. Saya khuatir juga kalau ada yang mula melabel “Ini tak lain, kaki-kaki wahabi lah ni!”.

Walaupun mungkin ada yang berpendapat demikian, saya sememangnya lebih selesa dengan prinsip yang dinyatakan oleh Dr Asri itu. Fitrah agama ialah mudah, jadi mengapa perlu disempitkan dengan masalah-masalah yang kadangkala belum berlaku. Maka, jadikanlah puasa sebagai medan pasaraya untuk membeli pahala sebanyak-banyaknya, apatah lagi dengan kad-kad diskaun yang ALLAH telah berikan, ditambah pula dengan nilai rebate yang lumayan. Puasa bukannya masa untuk banyak memikirkan soal batal puasa.

Inilah juga yang ditekankan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi apabila membicarakan bab puasa ini. beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar ada dalil sandarannya berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah dan ijma’ ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama-ulama silam, yang menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah tindakan yang kurang sesuai. Apabila ijtihad dalam bab ini bercambah, orang ramai akan semakin sukar untuk menjalani ibadah puasa ini dengan tenang.

Syaikhuna Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

Maka di sini, saya dapat simpulkan sekurang-kurangnya tiga perkara di dalam menghadapi isu-isu perkara yang membatalkan puasa ini:

1. Bagi yang telah lama tidak menadah kitab ataupun mendengar kuliah agama, ataupun yang telah lama meninggalkan bangku sekolah, suatu perkara yang baik untuk dilakukan ialah sentiasa update ilmu-ilmu yang pernah dipelajari. Barangkali 10-20 tahun yang lepas, kita berpegang dengan ‘korek hidung dan telinga membatalkan puasa’ sedangkan apabila kita dengar kuliah Ustaz Azhar Idrus ataupun baca kitab fiqh baru-baru ini, rupa-rupanya boleh melombong emas dan galian semasa puasa, cuma makruh hukumnya kalau dilakukan atas alasan yang sia-sia. Korek yang membatalkan ialah apabila melebihi had batin seperti tulang hidung, gegendang telinga, ada ulama’ mengatakan sampai ke otak dan perut.

2. Sebaik-baik ilmu yang diajarkan itu ialah ada sandarannya, serta menepati maksud-maksud nas. Pendetailan juga perlu dikemukakan agar pelajar tidak tersilap dalam memahami apa yang disampaikan. Keluar mani yang membatalkan puasa ialah yang disengajakan pada siang hari bulan Ramadhan, dan tidak batal akibat mimpi walaupun di dalam mimpi itu kita berikhtiar untuk melakukan perkara tersebut.

3. Skop furu’ yang membatalkan puasa, jika tidak perlu dikemukakan untuk pegangan orang ramai, lebih baik dielakkan. Apabila orang mendengar 10 perkara yang membatalkan puasa pun sudah merasakan sedikit keberatan, apatah lagi mendengar 57 perkara yang boleh membatalkan puasa, lebih sempit dada untuk menjalani urusan agama.


‘Alaa kulli haal, apa yang tercatat di sini adalah lebih kepada pandangan peribadi. Saya tidak berniat untuk mengomentar atau mengkritik berlebihan terhadap guru-guru agama ataupun ulama’, malah saya menghormati mereka, dan saya juga berpegang dengan ijtihad-ijtihad mereka, maka siapalah saya untuk condemn para ilmuwan ini.

Cuma di peringkat kita, mungkin ada baiknya fokus kita lebih tertumpu kepada cita-cita untuk menggunakan peluang Ramadhan sebaik-baiknya dan mengurangkan serba sedikit kerisauan yang berakar dari perasaan takut batal puasa kita.


Selamat Menjalani ‘Ibadah Puasa.


WaLLAHuta’ala a’lam.

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

10.50pm,

Jumaat, 4 September 2009,

Kuching, Sarawak.

Jangan Gopoh Laksana Hukuman Sebat - Presiden PAS


KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno sehingga memberi gambaran salah terhadap syariat Islam.

"Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.

"Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam," kata beliau dalam kenyataannya.

Dalam masa yang sama "kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun," kata beliau.

Abdul Hadi mengulas isu hukuman rotan enam kali ke atas Kartika, model sambilan yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel oleh Mahkamah Tinggi Shariah, Kuantan.

Ia kini menjadi perdebatan umum dan menarik perhatian termasuk wartawan dari luar negara.

"Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam," katanya.

ImageMengikut Islam sebatan ini, perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga, menurut beliau, tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

"Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

"Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan," katanya.

Bagi beliau, hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

"Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat," katanya.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40, 80 rotan jumlahnya, kata beliau.

Haramnya arak ini, katanya, adalah tidak mengira tempat, samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Bagi beliau juga, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya, adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!

Sumber: HarakahDaily.Net

Taqarrub IlaLLAH: Iktikaf Alternatif Penzuhudan Jiwa!

Semakin hampir kita dengan Ramadhan ini, saya yakin banyak persediaan yang dilakukan. Bagi yang pernah tertinggal puasa maka inilah masanya untuk berkejar menggantikan kembali puasa-puasa yang pernah tertinggal selama ini. Ramadhan juga mengingatkan kepada kita bahawa inilah masanya yang paling baik untuk mempertingkatkan ketaqwaan serta ketaatan kita kepada ALLAH SWT, dengan kuatnya signal ALLAH SWT terhadap hambaNya, di samping ganjaran-ganjaran yang tidak kita temui di bulan-bulan lain. banyak sekali bentuk amalan yang disyorkan untuk dilakukan pada bulan Ramadhan, dan salah satu daripada amalan yang mampu mendekatkan diri kita kepada ALLAH SWT ialah amalan beriktikaf.

Takrifan Iktikaf

Dari sudut bahasa: Tinggal dan melazimi sesuatu perkara.
Dari sudut syara’: Berada dalam masjid dengan niat yang khusus.

Dalil Pensyariatan Iktikaf

Firman ALLAH SWT yang bermaksud
“Dan janganlah kamu setubuhi mereka ketika kamu sedang beriktikaf di masjid”
(Al-Baqarah ayat 187)

Imam Al-Bukhari dan Muslim juga meriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah r.a
“Nabi SAW telah beriktikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadhan. Kemudian isteri-isteri Baginda beriktikaf selepasa kewafatannya.”

Amalan iktikaf ini juga terdapat di dalam syariat-syariat terdahulu. Ia telah dikenali sebelum Islam berdasarkan firman ALLAH SWT:

“Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): Bersihkanlah Rumah-Ku (dari apa yang diharamkan) untuk orang-orang yang bertawaf dan yang beriktikaf serta yang ruku’ dan sujud (padanya).”
(Al-Baqarah ayat 125)


Hikmah Di Sebalik Pensyariatan Iktikaf

Perbuatan mengekang hawa nafsu terhadap perkara yang diharuskan merupakan tanggungjawab seorang Muslim dari masa ke semasa. Ini bertujuan agar perintah ALLAH dapat ditaati dan menyediakan waktu yang khusus untuk beribadah kepadaNya, agar dia dapat membiasakan diri mencintai ALLAH SWT, mengutamakan keredhaanNya dengan meninggalkan perkara haram yang ingin dilakukan dan memudharatkan hawa nafsunya. Nafsu sentiasa mengajak tuannya melakukan perkara-perkara yang buruk dan mengheretnya ke lembah kemaksiatan.

Firman ALLAH SWT:

“Kerana sesungguhnya nafsu itu benar-benar menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu)” Surah Yusuf ayat 53.

Tenggelam di dalam nikmat keduniaan akan menambahkan lagi kecintaan kepada dunia dan usaha untuk mendapatkan dunia. Maka inilah faktor munculnya penyakit hati yang banyak menimpa kaum Muslimin, iaitu penyakit cintakan dunia. Jauh sekali dapat menghalang atau menjauhkannya daripada mencintai dunia, kecuali jika dia sentiasa dididik dalam suasana terasing (berkhalwat/mengasingkan diri - melalui iktikaf) untuk mencintai ALLAH SWT dan menjauhi perkara yang diharamkan.

Maka, iktikaf disyariatkan untuk menjadi usaha bagi mengumpul segala niat yang baik dan menyucikan hati, juga mendidik jiwa supaya zuhud terhadap syahwat (keinginan) yang dibenarkan dan menjauhkan diri daripada melakukan sebarang perlanggaran dan dosa.

Hukum Iktikaf

Hukumnya adalah sunat dilakukan pada setiap masa. Ianya lebih disunatkan lagi apabila di bulan Ramadhan. Hukumnya akan menjadi sunat muakkad (sunat yang dituntut untuk melakukannya)apabila berada di dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Bagi yang bernazar melakukannya, ianya menjadi wajib. Dengan itu, hukum iktikaf terbahagi kepada 3:

1. Sunat iaitu sepanjang masa.

2. Sunat Muakkad iaitu pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan. Hikamhnya di sini ialah sebagai usaha untuk memperolehi Lailatul Qadar, sebaik-baik malam dalam satu tahun berdasarkan firmanuLLAHu Ta’ala

“Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan”
(Al-Qadr ayat 3)

Jumhur ulama’ (Sepakat ulama’) menyatakan bahawa Lailatul Qadar jatuh pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan.

3. Wajib di dalam keadaan ia dinazarkan.

Syarat Sah Iktikaf

Sepertimana ibadat-ibadat lain yang dilakukan sebagai jalan taqarrub ilaLLAH, iktikaf mempunyai beberapa syarat tertentu. Dua syarat asasinya ialah:

1. Niat

Dilakukan pada permulaan iktikaf. Ini bermakna orang yang berada di dalam masjid dalam tempoh masa tertentu hendaklah berniat iktikaf untuk melakukan ibadat. Ini dilakukan sebagai memenuhi perkara yang disunatkan. Sekiranya dia masuk ke masjid dengan tujuan keduniaan ataupun tidak terlintas apa-apa niat yang boleh dianggap sebagai niat iktikaf, maka dia berada dalam masjid pada waktu itu tidak dianggap sebagai iktikaf yang disyariatkan.

2. Berada di dalam masjid

Dia hendaklah berada secara berterusan dalam masjid sehingga ke suatu tempoh yang pada adatnya dinamakan sebagai iktikaf.

Syarat ini merangkumi syarat-syarat berada di dalam masjid iaitu mestilah bersih pakaian dan tubuh badan daripada najis yang mungkin mengotorkan masjid, serta suci daripada junub, haid dan nifas.

Sekiranya dia keluar dari masjid tanpa keuzuran, maka iktikafnya terputus atau batal. Sekiranya dia keluar kerana keperluan, maka iktikafnya tidak terputus dan ia termasuk ke dalam hukum iktikaf yang berterusan.

Untuk mendapatkan sunat iktikaf, tidak disyaratkan berpuasa. Tetapi disunatkan ia disertakan dengan puasa. Dalilnya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Hakim (1/439) daripada Ibn Abbas r.a bahawa

Nabi SAW bersabda:

“Orang yang beriktikaf tidak wajib berpuasa melainkan apabila ia telah mewajibkan ke atas dirinya”.

Iktikaf Yang Dinazarkan

Jika seseorang bernazar untuk beriktikaf dalam tempoh tertentu secara berturut-turut, maka dia tidak boleh keluar dari masjid kecuali dengan tujuan tertentu seperti untuk membuang air, berwudhu’, dan seumpamanya. Sekiranya dia keluar kerana perkara ini, ia tidak diharamkan dan iktikafnya dikira masih bersambung.

Sekiranya dia keluar tanpa keuzuran seperti sekadar berjalan-jalan atau untuk memenuhi perkara yang bukan dharuri, maka hukumnya haram dan iktikafnya dikira terputus. Dia wajib memulakan semula iktikafnya.

Sekiranya dia bernazar untuk beriktikaf dalam keadaan berpuasa, maka dia mesti melakukannya kerana inilah iktikaf yang paling baik. Apabila dia mewajibkan dirinya melakukannya (beriktikaf dalam keadaan berpuasa), maka dia wajib melakukannya.

Sekiranya orang yang bernazar itu menentukan masjid tertentu untuk beriktikaf, hukumnya dia tidak wajib beriktikaf di masjid yang dimaksudkan itu. Sah baginya beriktikaf di mana-mana masjid walaupun masjid yang ditentukannya itu lebih utama daripada selainnya, kecuali Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Ini kerana apabila dia telah menentukan salah satu daripada masjid ini, maka dia wajib pergi ke masjid tersebut kerana keutamaannya dan ganjaran yang berlipat kali ganda padanya. Dalam masalah ini, Masjidil Haram boleh menggantikan tempat kedua-dua masjid tadi tetapi tidak boleh pula sebaliknya. Manakala, Masjid Madinah boleh menggantikan tempat Masjid Al-Aqsa tetapi tidak boleh sebaliknya.

Adab Iktikaf

1. Orang yang beriktikaf disunatkan memenuhkan masanya dengan melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT seperti berdzikir, membaca Al-Quran dan perbincangan ilmu kerana semua ini akan mencapai maksud iktikaf.

2. Berpuasa kerana iktikaf sambil berpuasa adalah lebih afdhal dan lebih mampu mematahkan syahwat jiwa dan mendatangkan kebersihan hati dan perasaan.

3. Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid jamik iaitu masjid yang dilakukan solat Jumaat padanya.

4. Tidak bercakap melainkan perkara yang baik, tidak mencela, tidak mengumpat, tidak memfitnah dan tidak bercakap kosong.

Perkara Makruh Ketika Iktikaf

1. Berbekam, apabila perbuatan ini tidak mengotorkan masjid. Sekiranya ia mengotorkan masjid maka diharamkan.

2. Terlalu banyak melakukan pekerjaan lain seperti menenun bulu, menjahit dan sebagainya. begitu juga jual beli walaupun sedikit.

Perkara Yang Merosakkan Iktikaf

1. Berjimak (bersetubuh) dengan sengaja walaupun tidak keluar air mani. Ini berdasarkan firman ALLAH SWT : Dan janganlah kamu setubuhi mereka ketika kamu sedang beriktikaf di masjid” (Al-Baqarah ayat 187)

Adapun pergaulan tanpa jimak seperti sentuhan dan ciuman maka ia tidak membatalkan iktikaf kecuali apabila keluar air mani.

2. Keluar daripada masjid dengan sengaja tanpa hajat.

3. Murtad, mabuk atau gila.

4. Keluar haid atau nifas kerana perkara-perkara ini menghalang seseorang itu daripada berada di dalam masjid.

Orang yang beriktikaf dibolehkan untuk menghentikan iktikafnya dan keluar dari masjid apabila dia mahu. Apabila dia mahu masuk semula ke dalam masjid, dia hendaklah memperbaharui niat iktikafnya.

Semoga dengan perkongsian ilmu ini, perspektif kita terhadap amalan beriktikaf ini dapat diubah. Semoga iktikaf ini mampu kita sama-sama selitkan di dalam diari amalan harian terutamanya menjelang Ramadhan yang bakal tiba nanti. Rebutlah peluang keemasan yang ada!

WaLLAHuta’ala a’lam.


Rujukan:

Kitab Fiqh Mazhab Syafie: Fiqhul Manhaji Jilid 2. Bab Iktikaf, M/S 460-465. Susunan Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugha dan Ali As-Syarbaji. Cetakan Pustaka Salam 2005.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
11.07pm,
Jumaat, 14 Ogos 2009,
Kuching, Sarawak.
 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.