Tangisilah Iman Yang Kian Mati Itu!


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji kepada Al-Khaliq, Yang Maha Menciptakan ke atas segala-galanya,

Selawat dan salam isyarat kecintaan kepada HabibuLLAH Ar-Rasul SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.

“Al-Iman Yazid Wa Yankus”,

Kita biasa dengar penyataan yang satu ini. Maksudnya, iman itu hakikatnya mempunyai turun naiknya. Sihat dan bertumbuhnya iman itu adalah atas hasil ikhtiar empunya hati yang memiliki iman itu sendiri. Begitu juga apabila bercerita tentang jatuh merudumnya iman, ianya adalah natijah daripada pekerjaan manusia yang ‘asi, atas ikhtiar yang empunya hati itu sendiri.

Susahnya menjaga iman ini.

Susahnya menjaga iman kerana di zaman ini ada banyak macam benda yang mempu mencuri iman itu daripada hati manusia. Tidak perlu melihat ke dalam sudut yang lebih dalam ataupun di perspektif yang lebih jauh, cukuplah dengan memandang keadaan di sekeliling kita – itu sudah cukup untuk menjadi asbab agar iman kita itu dibawa lari.

Aurat yang tidak tertutup sepenuhnya mampu merampas iman dari dalam jiwa hati manusia. Hiburan tanpa mengenal batasan mampu juga merompak iman manusia. Memenuhi tuntutan hawa nafsu makan secara berlebihan juga mampu merombak iman manusia. Di zaman ini, seolah-olah selautan perkara, sebanyak macam benda boleh menjadi asbab kepada berkecainya iman di dalam hati manusia.

Bahayanya bahana iman yang tidak terjaga itu.

Bahayanya sekiranya tuan empunya hati yang menyimpan iman itu tidak menangisi realiti keteguhan iman yang semakin goyah, tercabar semakin hari. Tidak menjaga lidah dalam berbicara, tidak menutup telinga seraya seruan-seruan fahsya’ dan munkar memasuki ruang pendengaran, tidak mahu menoleh ke arah zon yang menyelamatkan iman apabila mata mula meliar mencari dosa-dosa, tidak mahu menarik tangan apabila tangan-tangannya itu ditawarkan dengan emas permata tipuan dunia, tidak mahu mengangkat kaki untuk berhijrah ke arah yang menghidupkan, masih mahu duduk di takuk dosanya yang lama.

Alangkah gelapnya terasa di dalam dunia orang yang tidak mahu menjaga iman itu.

Mahu sahaja datangnya cahaya iman ke dalam hatinya, dia hambat dan dia tutup tingkap hatinya daripada menerima sinaran iman itu. Dia tolak kehadiran cahaya itu. Dia seolah-olah lebih suka di dalam gelap gelita dunia kesesatannya sendiri!

Alangkah sedih melihat iman yang tidak dijaga,

Sedihnya melihat iman yang tidak dijaga, kerana tidak mengetahui ataupun telah menutup mata sendiri tentang hakikat iman yang tidak dapat dijual-beli serta diwarisi. Menangis dan merana jiwa yang hampa apabila melihat sewenang-wenangnya manusia yang pada mulanya beriman di dalam hatinya telah dihanyutkan oleh badai perosak iman.

Hari ini iman sudah mudah-mudah dijual-beli, sudah mudah-mudah digadai. Sedangkan nilai pajakannya itu apabila dibandingkan dengan harga iman, maka harga iman kurniaan Tuhan tiada ditandingi. Iman sudah boleh dijual dengan tawaran gaji yang tinggi, iman sudah boleh ditukar dengan pujukan suami ataupun isteri, iman sudah boleh dilelong dengan pangkat dan jawatan tertinggi, iman sudah boleh dilepaskan dari tambatan hati dengan menunaikan nafsu syahwat yang tidak dipagari.

Hari ini iman menjadi saksi,

Bahawa tanpa dirinya di dalam hati orang-orang yang memiliki hati, nyawa dengan mudah diragut sana-sini. Kekayaan duniawi menjadi sasaran utama sehingga manusia lupa akan tujuan ukhrawi. Pasangan yang belum bernikah sudah boleh jadi persis laki-bini. Amanah pangkat dan jawatan sudah tidak lagi dilihat sebagai ujian daripada Ilahi. Rasuah dan gelap duit semata-mata mahu kaya tanpa mengira keberkatan di dalam rezeki.

Hakikatnya, itulah dia natijahnya, banyak kemusnahan yang terjadi apabila iman yang mahal itu sudah ditolak ke tepi. Iman sudah jadi picisan bagi manusia yang tidak mengenang budi Tuhan hari ini!

Kasihanilah iman,

Kasihanilah ia bukan kerana lemahnya ia, tetapi kasihanilah ia kerana semakin nazak dan mungkin sudah matinya ia di dalam hati diri manusia. Iman tidak dapat dilihat, tetapi manusia yang mempunyai mata hati pasti sedar akan sakitnya iman di hujung zaman ini. Menangis ia. Meraung ia. Meronta-ronta ia. Meminta-minta ia untuk dilepaskan diri daripada dibelenggu nafsu manusia. Dibelenggu kemaksiatan manusia. Ia sudah tidak tahan dengan dosa-dosa kita! Ia mahu dibebaskan daripada penjara ‘melebihkan cinta dunia’!

Maka wahai kaum yang memiliki hati,

"Indeed, it is with the remembrance of ALLAH that the hearts enter into a state of tranquility"

Usahakanlah dirimu untuk menjaga iman di dalam hati itu. Bajai hati yang beriman itu. Kuatkan dirimu untuk bersolat agar subur kembali ia. Sedekahkanlah zikruLLAH untuknya. Berwudhu’lah untuk mensucikan dirinya. Tadabburlah Al-Qur’an serta alam untuk menerangi ia kembali.

Usahalah kamu ke atas kehidupan iman kamu! Jangan biarkan dia menangis, kerana yang ditakuti dalam ia menangis, ia semakin sakit, sangat boleh jadi kemudian iman itu mati!

Oleh itu, pujuklah hati ini. Pujuklah hati untuk menangis memikirkan hakikat iman di akhir zaman ini!

Menangislah! Menangislah wahai manusia akhir zaman! Menangislah ke atas iman yang kian mati itu!


Wassalam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

10.40 pm,

18 Mei 2008, Isnin,

Bintulu, Sarawak.

SIS: Apabila Si Jahil Mula Bicara Soal Agama!



Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


Saya mulai bosan dengan puak yang satu ini.

Kalau dulu, satu dunia heboh dengan berita mengenai seorang wanita yang menjadi khatib dan Imam Solat Jumaat. Ahli jemaah lelaki pula tanpa segan silunya sanggup menjadi makmum kepada imam sesat ini. Inilah dia natijah yang berlaku di antara dua persimpangan; samada orang-orang ini tidak cukup ilmu ataupun terlebih ilmu lalu tidak mengenal sempadan ilmu yang sebenarnya sehinggakan liberalisasi dalam soal agama juga diterima!

Dr Aminah Wadud, perempuan yang seorang ini merupakan salah seorang daripada individu yang merupakan key player, menaungi pergerakan Sisters In Islam (SIS).

Siapa tidak kenal dengan SIS ini?

Saban hari ada saja isu yang dilontarkan yang kelihatan seolah-olah mahu merombak semula segala ijtihad para ulama’ yang berpasakkan nas dan dalil-dalil yang qat’I (jelas). Apa yang lebih menyedihkan, bukan sahaja perkataan ulama’ mahu dilakukan koreksi, malah perintah yang berbentuk direct order daripada Rasul SAW pun mahu dipersoalkan lagi. Nak kata macam mana, kalau nama pun sudah liberal, pendapat-pendapat dhaif dari kitab-kitab tidak muktabar pun sanggup dijaja untuk kepentingan ‘memperjuangkan hak wanita’, kononnya.

Tuan-tuan sekalian, kita tidak perlu hairan apabila ada golongan macam ini wujud di zaman ini. Sedangkan di zaman selepas kewafatan Nabi pun ada orang sanggup reka hadith-hadith palsu untuk kepentingan mereka sehinggakan ada yang mengaku Nabi, apatah lagi di zaman cacamarba karut-marut yang disebut zaman fitan penuh fitnah ini, makinlah terbuka luas untuk penyelewengan-penyelewengan terhadap agama.

Kalau semalam orang mahu cipta nas-nas palsu dalam agama, hari ini agendanya ialah memutarbelitkan nas-nas yang sudah qat’I dalam agama. Mungkin juga tidak sengaja mahu putarbelit dalil, tapi keinginan untuk bersama-sama terlibat dan mengkaji dalil-dalil dan juga ingin turut serta mentafsir tanpa berbekalkan ilmu dan kelayakan yang sepatutnya turut menyumbang ke arah pemesongan puak SIS ini.



Dalam laman web mereka, mereka begitu bersemangat mahukan reformasi ke atas muslim family law di Malaysia. Katanya, undang-undang yang dilaksanakan seolah-olah merendahkan martabat wanita daripada kaum lelaki serta membuka ruang kepada keganasan rumahtangga. Mereka juga mempersoalkan keadilan dari segi pembahagian sistem faraidh/pembahagian pusaka yang dilaksanakan, dengan hujjah pembahagian perlu disamaratakan. Jelas sekali ini menolak prinsip yang ditetapkan dalam Al-Qur’an! Ayat Al-Qur’an jelas menyatakan tentang perlaksanaannya dalam ayat-ayat berikut: An-Nisa’ ayat 155, An-Nisa’ ayat 12 dan An-Nisa’ ayat 176. Andai mereka mahu menuruti Al-Qur’an pun, mereka sudah tersasar darinya akibat salah tafsiran sendiri!

“Reform is possible—and eminently desirable—on several grounds. First, the Qur’an directly upholds principles of Islam that support relationships based on equality between men and women, and between husbands and wives. Furthermore, these laws are based on divine and immutable. The codified law is not the sacred Syariah itself, but the product of human engagement with the revealed text. Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi himself has supported the idea of reform, saying that ‘the renewal of Islamic thought must be an on-going process --- ensuring the universality of the message, its pluralism and diversity, and not be ossified and fossilised by blind imitation of traditional thought and opinion’.”

Saya tidak faham bagaimana SIS begitu bersemangat untuk melakukan reformasi terhadap Islamic Family Law, hanya berdasarkan kefahaman yang cetek terhadap makna Al-Qur’an serta berdalilkan kata-kata Pak Lah - ‘the renewal of Islamic thought must be an on-going process --- ensuring the universality of the message, its pluralism and diversity, and not be ossified and fossilised by blind imitation of traditional thought and opinion’.

Siapakah Dato’ Seri AbduLLAH Ahmad Badawi di mata mereka sehinggakan kata-kata seperti ini boleh dijadikan sandaran? Adakah dia seorang ulama’ ataupun umara’? Adakah dia pernah mengarang kitab-kitab besar? Adakah dia terlibat dengan dunia fatwa?

Maaf! Bukan Pak Lah yang saya condemn! Tapi perbuatan taklid terhadap kata-kata manusia yang saya sanggah, lebih-lebih yang tiada sandaran.

Ingatlah, setiap yang kita ikuti itu, kita akan dipersoalkan mengenainya di akhirat nanti! Maka SIS sepatutnya sudah bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang bakal ALLAH kemukakan di akhirat nanti selagi mereka tidak mahu mengubah cara mereka!



“Secondly, existing Islamic family laws in Malaysia contravene provisions of the Federal Constitution, such as Article 8(2), which specifically forbids discrimination on the basis of gender. As they stand, the individual family laws in each State also violate key aspects of our domestic policies, and contain provisions that have proven inequitable compared to civil laws governing the same matters for non-Muslims.

Malaysia must also institute legal reform if it is to fulfill its commitments to international human rights standards. Our country is a signatory to the UN Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women and the UN Convention on the Rights of the Child. In addition, Malaysia is morally—if not legally—bound to observe the Universal Declaration of Human Rights, which is generally recognised as international customary law, the Beijing Declaration and Platform for Action and the Non-Aligned Movement’s Putrajaya Declaration, which Malaysia strongly promoted in its role as host and chair of the meeting at which it was adopted.


Finally, our Islamic family laws must reflect the realities of modern life. As the Prime Minister said: ‘Ensuring the rights of women will require reform and renewal in Islamic thought… The problems that contemporary Muslim societies are confronted with today are not the problems of the sixth century, and the solutions we need today do not lie with the notion of a Syariah purportedly final and complete fourteen hundred years ago - particularly in the case of women.’ Our laws must, therefore, address the complexities and realities of modern life while accounting for the universal and eternal principles of justice and equality in Islam
.”

Memetik kata-kata di atas, apa yang SIS maksudkan dengan diskriminasi antara jantina? Adakah ada sistem kasta ataupun perhambaan terhadap golongan wanita yang diamalkan sekarang sehingga wujudnya statement batil seperti ini? Wanita menjadi ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat besar dan ada yang sudah sampai ke tahap memegang portfolio sebagai menteri, adakah itu tanda diskriminasi sedang berlaku?

“Finally, our Islamic family laws must reflect the realities of modern life.”……

Hoi SIS! Adakah kalian menafikan bahawa Islam itu merupakan sesuatu yang akan sentiasa bersifat applicable setiap masa? Saya pun hairan juga apa sebenarnya yang ingin dinafikan sangat oleh puak SIS ini?

Nak kata adanya pemerasan terhadap wanita, kebarangkalian yang ada bukanlah akibat implementasi Sistem yang diwarisi turun-temurun sejak 1400 tahun dahulu itu, tapi akibat kejahilan orang yang tidak mahu mengambil ilmu ataupun akibat nafsu serakah lelaki itu sendiri. Jangan disalah pada syari’at yang hakikatnya bersifat mengubat!

Orang-orang dalam SIS sibuk membicarakan dan mempersoalkan mengenai Muslim Family Law, pembahagian harta pusaka yang katanya bersifat seksisme, menyanggah kata-kata ulama’ dari segi kod pakaian yang dibenarkan di dalam Islam dan sebagainya, tapi kita lihat bagaimana pula mereka sendiri.

Amat menyedihkan, dung dang dung dang kononnya nakkan keadilan dari perspektif Islam, tapi ahli sendiri pun belum dapat menutup auratnya dengan sempurna. Itu baru perkara simple, itu pun tak boleh ikut! Saya tidak mahu kata siapa-siapa….



Saya tidak hairan kalau ada orang kata SIS ini semacam mahu bawa ajaran Islam Liberal di Malaysia. Lihatlah sahaja sikap seolah-olah enggan tunduk kepada hukum ALLAH Ta’ala.

Apa yang lebih teruk, NGO yang satu ini bersikap menentang perlaksanaan terhadap hukuman hudud ke atas pesalah murtad!

Hoi SIS!!! Bagaimana pula boleh berbicara tentang Islam kalau undang-undang paling besar dalam Islam pun kau tentang! Apakah kelayakanmu sehingga engkau boleh mentafsirkan Al-Qur’an berdasarkan akal fikiran manusia yang sedia jahil ini?!

Sebenarnya, kalau mahu dibuka pekung SIS ini, masih banyak lagi barang perkara yang menjadi isu. Tidak menyokong hukuman hudud, hak wanita sebagai imam solat Jumaat, penafsiran yang terpesong terhadap ayat Al-Qur’an dan bermacam-macam lagi.

Nak didedahkan semuanya pun, saya yakin lebih banyak lagi blog-blog di luar sana yang telah mendedahkan kesesatan mereka.

Maka di sini, saya ingin berpesan kepada muslimat-muslimat sekalian, lebih-lebih lagi yang baru mahu berjinak-jinak dengan Islam, berhati-hatilah dalam memilih wasilah sebagai platform untuk pengislahan diri dan menyertai perjuangan.

Saya dengan tegas menyatakan, SIS BUKANLAH GERAKAN ISLAM YANG SEBENAR, TETAPI IANYA ADALAH PENDOKONG ISLAM LIBERAL YANG NYATA KESESATANNYA! Semoga ALLAH SWT melindungi kita daripada golongan ini, dan semoga ALLAH SWT memberikan hidayah kepada mereka sebelum segala-galanya terlambat!

WaLLAHuta’ala a’lam,


Bacaan Tambahan:

Siapakah Sisters In Islam? Part 1 di sini

Siapakah Sisters In Islam? Part 2 di sini

Siapakah Sisters In Islam? Part 3 di sini

Siapakah Sisters In Islam? Part 4 - FInal Analysis di sini


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

4.50 pm,

Isnin, 4 Mei 2009,

Bintulu, Sarawak.

Prinsip Syura: Kewajipan Melaksana dan Mentaatinya

Muqaddimah


‘Umar Ibnu Al-Khattab Radhiyallahu ‘anhu berkata:


“Orang ramai adalah pengikut kepada orang yang menegakkan urusan (syura) ini selama mereka bersepakat dan menyetujuinya, mereka wajib mengikuti keputusannya. Ini adalah kerana mereka pengikut. Bagi sesiapa (ahli syura) yang terlibat dengan urusan (syura) ini maka mereka hendaklah menurut dan mengikuti pendapat orang yang terbaik pandangannya di kalangan mereka dan mereka rela serta memperakukan kepintarannya dalam helah (taktik) peperangan. Ketika itu mereka (ahli syura) adalah pengikut orang tersebut. Wahai saudara-saudara sekalian, aku adalah seperti orang lain dari kalangan kamu. Aku tetap dengan keputusanku untuk keluar berperang sehingga keputusan dan pandanganku dihujah (dengan pandangan yang lebih baik) oleh ahlur-ra’yi (orang yang bijaksana) dari kalangan kamu.”


(Ditakhrijkan oleh Ibn Jarir dengan dua sanad yang kuat yang satu daripadanya ialah ‘Umar Ibn ‘Abdul ‘Aziz)



Syura di dalam Hizbullah adalah suatu pertanda semula jadi dan suatu sifat yang wajib, di mana tanpanya kumpulan Islam akan kehilangan keasliannya sebagaimana hilangnya solat. Firman Allah Subhanahu Wata’ala. Maksudnya:


“Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah keni’matan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal, dan orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah, mereka memberi ma’af. Dan orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikàn kepada mereka. Dan orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa mema’afkan dan berbuat baik maka pahalanya atas Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”


(Surah Asy Syura: Ayat 36-40)


Syura Dalam Sejarah Islam


Syura ialah suatu sifat keperibadian orang-orang mu’min yang semula jadi dan tidak mungkin ada suatu nas yang lain yang lebih tepat menyeru kepada Syura seperti nas di atas. Ayat ini memperingatkan bahawa tugas orang-orang mu’min ialah bermusyawarah sesama mereka, setiap persoalan menyentuh tentang orang mu’min secara menyeluruh, maka penyelesaiannya adalah bermusyawarah sesama mereka. Dalam Sirah An-Nabawiyyah dan sejarah Khulafa’ Ar-Rasyidin, syura seringkali digunakan dalam menentukan perkara-perkara penting. Hal ini menjadikan Syura itu kepunyaan dan hak orang yang berkeahlian dengannya. Perkara ini terbukti apabila:


1. Ahli majlis Saidina ‘Umar ialah golongan Qura’ (para ‘ulama’) yang tua dan muda.


2. Di hari Sayyidina ‘Umar membuat lawatan ke Syam, beliau telah mendengar mengenai penyakit taun di sana, oleh itu beliau telah bermusyawarah dengan golongan terpilih para Ansar dan mereka berbelah bahagi. Setelah itu beliau bermusyawarah dengan kaum terpilih Muhajirin pula, mereka juga berbelah bahagi. Setelah itu beliau mengumpul golongan tertua di kalangan mereka. Mereka dengan sebulat suara berpendapat supaya pulang ke Madinah, dengan itu mereka pun pulang.


Sabda Rasulullah Salllallahu ‘alaihi Wasallam:


Maksudnya: “Hendaklah kamu bersama-sama dengan golongan terbesar.”


Rasulullah mentafsirkan erti “Al-A’zam” daripada ayat;


“Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu dan apàbila engkau telah berazam maka bertawakallah pada Allah.”


(Surah Ali- ‘Imran : Ayat : 159)


*Sila rujuk Tafsir Ibnu Katsir


Rasulullah mengikut pendapat majoriti pada hari peperangan Uhud walaupun pada awalnya baginda bercadang untuk berkubu di kota Madinah. Namun, baginda menerima cadangan para sahabat yang ramai yang mahu berperang di luar kota Madinah bagi mengelakkan kerosakan kota Madinah akibat peperangan.


Setelah Sayyidina ‘Umar ditikam beliau memilih ahli Syura dari kalangan yang diredhai oleh Rasulullah sehinggalah beliau wafat. Bagi memberi jalan kepada golongan majoriti membuat keputusan atau hukum, dan seterusnya Sayyidina ‘Umar menyuruh supaya dibunuh sesiapa yang menentang mereka dan berkeras hati dengan sifat penentangan mereka. Dari apa yang diterangkan, kita dapati bahawa Syura itu ialah suatu kemestian, manakala pendapat majoriti pula ialah suatu yang mesti diterima oleh minoriti samada di dalam operasi pemilihan Amir, atau di dalam persoalan yang diminta pendapat oleh Amir. Ini ialah selepas Syura itu diberikan keistimewaannya kepada mereka yang berkeahlian.


Adapun mereka yang berhujah dengan peristiwa Sayyidina Abu Bakar di hari berlakunya riddah sahaja tidak perlu mengambil pendapat majoriti dan Syura itu merupakan suatu petunjuk kepada Amir dan bukan suatu yang dimestikan, golongan yang berpendapat begini adalah salah, Abu Bakar tidak menghiraukan pendapat majoriti kerana kedapatan nas.


Yang bermaksud:


“Aku diperintahkan supaya memerangi manusia dan mereka mengeluarkan zakat.”


Hadis ini tidak sempat habis Saiyyidina Abu Bakar membahaskannya, mereka semua sudahpun yakin dan berpuas hati.


Perlaksanaan Prinsip Syura


Sesungguhnya setiap peristiwa di dalam masa Khalifah Al-Rasyidin adalah mengikut pendapat majoriti. Memang boleh jadi majoriti mempunyai suatu pendapat kemudian ada seorang lain mengeluarkan suatu pendapat lain yang boleh diterima ramai, di antaranya Amirul Mukminin, maka pendapat ini diterima dan ini bukan suatu yang bertentangan dengan majoriti tetapi majoriti berpuas hati dengan pendapat terakhir ini.


Cara demikian bukanlah suatu cara demokrasi Barat kerana demokrasi Barat memberi kuasa mutlak kepada golongan majoriti untuk menghalal atau mengharamkan sesuatu kerana pada kita tidak ada erti pendapat-pendapat ramai, sekiranya pendapat itu bertentangan dengan nas. Syura pada kita ialah sesuatu yang tidak ada nas, bagi penghidupan seharian kaum Muslimin dan sebagainya. Oleh itu pendapat majoriti adalah suatu perkara yang biasa di dalam perkara-perkara yang sehubungan dengan Jamaah Islam (Hizbullah) di mana Syura itu sendiri diwujudkan mengikut lunas-lunas Jama’ah Islam secara ilzam (mesti). Ini ialah kerana beberapa faktor:


1. Selagi mana hasil keputusan yang menyentuh seluruh kumpulan Islam, maka adalah suatu perkara biasa bagi majoriti dari golongan ahli fikir untuk membuat keputusan.


2. Selagi mana pemilihan Amir diberi hak kepada majoriti dari golongan Ahlul-halli Wai-’Aqdi (golongan pemimpin) di dalam Jama’ah Islam (Hizbullah) maka ini adalah suatu perkana biasa kerana ini merupakan iktisas majoriti mereka.


3. Sesungguhnya struktur Jemaah Islam (Hizbullah) tidak akan kemas serasi dengan pimpinannya selagi mana Syura itu tidak hidup di dalamnya.


Adapun orang-orang yang mengatakan Syura ini hanya suatu pemberitahuan (Mu’alimah) dan bukan suatu kemestian (Mulzimah) sebenarnya mereka ini tidak menghiraukan sangat kesan-kesan yang akan timbul daripada percakapan mereka itu. Di antaranya timbul natijah-natijah yang tidak realistik selain dari percakapan mereka itu sendiri tidak disandarkan kepada nas-nas. Tidak seorang pun yang pernah menyebut bahawa salah seorang daripada Khalifah Al-Rasyidin di suatu ketika telah bermusyawarah dengan Ahlul-halli Wal-’Aqdi (golongan pimpinan). Kemudian pendapat mereka (yang memberi nasihat) itu diabaikan. Sesungguhnya umat Islam tidak akan sempurna urusannya sekiranya kuasa bertindak diserahkan kepada seorang secara mutlak.


Mana-mana tanzim yang berdasarkan kepada fikrah ini (iaitu Syura adalah pemberitahuan dan bukan kemestian) akan membawa kepada perpecahan demi perpecahan di kalangan anggotanya, kerana Amir di kala itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan untuk memaksa orang mematuhinya.


Sesungguhnya Jama’ah itu lebih utama daripada kekuasaan dan perpaduan Jama’ah tidak dibina dengan kekuasaan dan kekerasan tetapi ianya disatukan oleh perasaan redha-meredhai di antara anggotanya. Dalam bekerja sekiranya Amir Jama’ah sendiri yang menolak pendapat Jama’ah, maka di ketika itu jama’ah tidak mungkin berjalan malah untuk meneruskan perjalanan biasa pun tidak mungkin apatah lagi untuk berkembang. Sesungguhnya kita, seluruh orang Islam berkewajipan untuk mewujudkan suatu corak Syura yang sesuai di peringkat tempatan, negeri dan peringkat antarabangsa demi untuk mewujudkan suatu daulah Islamiyyah yang akan datang, dengan izin Allah di mana daulah ini mempunyai seluruh tunggak-tunggak kejayaan. Tanpa kehadiran faktor di atas ini kita tidak mengetahui bagaimana sebuah negara kita boleh wujud dan bagaimana Amir kita mampu mengendalikan dunia Islam dari satu penjuru ke satu penjuru yang lain.


Bagi mereka yang berpendapat bahawa Syura pada masa ini sebagai pemberitahuan bukan suatu kemestian seolah-olah mereka memperkatakan mengenai umat Islam itu sebagai suatu keluarga kecil dan jahil bahawa di dalamnya terdapat pimpinan yang bijak dan agung. Kita berkewajipan menyerahkan hak keistimewaan Syura ini kepada mereka yang berkeahlian dan sekiranya telah pun kita berbuat demikian maka tidak harus keluar dari keputusan yang dicapai dalam Syura mereka atau keluar daripada pendapat majoriti yang telah pun membuat perbincangan, soal jawab dan berpuas hati dengan segala perbincangan itu. Seorang Amir mestilah berkemampuan untuk membawa majoriti menerima pandangannya yang sihat itu. Dan majoriti yang soleh tidak akan berpecah mengenai pendapat yang baik sekiranya majoriti itu dipilih dan yang baik dan ditarbiyahkan.


Maulana Al-Maududi mengatakan bahawa Amir hendaklah mengikut Syura secara ilzam (mesti) yang sebelum ini telah mengambil suatu arah yang lain. Boleh jadi di antara yang patut kita ambil di dalam perjalanan Syura kita ialah dengan berpegangkan kepada beberapa kaedah yang boleh sampai kepada suatu pendapat yang paling kemas dengan memberikan hak keistimewaan kepada Amir di dalam semua peringkat. Sekiranya Amir berselisih pendapat dengan majlis kepimpinan maka dengan tugasnya akan membawakan persoalan ini kepada kepimpinan yang lebih tinggi atau kepada barisan (hirarki) yang berwibawa

yang lebih luas.


Tidak akan sempurna perjalanan umat Islam kecuali dengan Syura. Dan mereka tidak akan dapat bergerak ke hadapan kecuali dengan Syura. Dan kita sebagai Jama’ah juga tidak akan sempurna kecuali dengan Syura. Jama’ah tidak mungkin tertegak tanpa Syura. Apabila kita gagal melaksanakan Syura secara praktik, maka Jama’ah ini akan terkeluar daripada sifatnya sebagai Jama’ah Islamiyyah. Dan ianya tidak lagi terpilih untuk mengendalikan perjalanan ummah ini. Sebagai memulakan perjalanan yang terpimpin, dengan syuralah kita akan mencapai persetujuan untuk mengambil sesuatu kaedah yang boleh kita bicara dengannya. Dengan syuralah kita boleh memansuhkan suatu kaedah baru sekiranya ternyata yang lama itu salah. Dengan syuralah dapat kita mengatasi masalah bersama. Dengan syuralah kita bersetuju untuk berjalan dan membuat keputusan. Tidak seorangpun mampu di dunia ini dan tidak seorang pun seharusnya berjalan dengan Jama’ah tanpa Syura. Oleh itu tidak dapat tidak kita mesti mempunyai kaedah di dalam Syura. Bilakah ianya mesti dan bilakah ianya tidak.


1. Syura di dalam Jama’ah mestilah diserahkan kepada ahlinya. Bila mana Syura telah pun diserah kepada ahlinya, maka pendapat majoriti adalah suatu kemestian kecuali jika majoriti ingin menyerahkan persoalan kepada kuasa yang lebih tinggi atau kepada suatu kekuasaan yang lebih luas tetapi lebih rendah daripada haknya yang semesti samada yang itu ataupun yang ini. Tetapi majoriti hendaklah mempunyai hak untuk membuat keputusan.


2. Dari kata-kata Imam Hassan Al-Banna, bolehlah difahamkan di mana Al-Akh Al-Amil atau Al-Akh Al-Mujahid kewajipannya mematuhi sepenuhnya dari segi prinsip di mana hak Syura itu adalah kepunyaan orang yang lebih tinggi daripada A1-Akh Al-Mujahid, dalam istilah Ustadh Al-Banna dikenal sebagai Al-Naqib atau Al-Akh Al-Na’ib dan yang lebih tinggi.


3. Namun demikian pimpinan berhak memperluaskan bidang Syura sekiranya bidang ini diperluaskan maka keputusan hendaklah diberi kepada majoriti skop tadi. Malah kalau pimpinan ingin memperluaskan lagi skop Syura dalam suatu persoalan kepada ikhwah-ikhwah Amil pun boleh dilakukan berpandukan dengan cermat kepada peristiwa Uhud.


4. Namum demikian setiap persoalan yang sudah pun diputuskan oleh kuasa tertinggi dalam Jama’ah, maka tidak seharusnya dibawa turun kepada kekuasaan yang lebih rendah untuk disyurakan. Tetapi dia masih mempunyai hak untuk membuat pandangan terhadap kesan-kesan negatif, atau berhak membincangkannya. Ini boleh diukur dengan cermat dengan apa yang telah dilakukan oleh Sayyidina ‘Umar radiyallahu’anhu di hari Sayyidina Abu Bakar mencanggahi sebahagian mereka di mana ‘Umar telah mengoyak kertas keputusan dan terus ke hadapan Abu Bakar membincangkannya.


5. Hendaklah Syura itu dikekalkan sebagai sebahagian dari kaedah-kaedah yang dipersetujui sehinggalah kaedah itu dibatalkan atau dipinda. Sekiranya terdapat kaedah kaedah yang dipersetujui oleh sebuah negeri dengan beberapa negeri yang lain atau di antara suatu markas di dalam sesebuah negeri atau di antara (rakyat umum) dan pimpinan sesuatu markas, maka kaedah inilah yang mesti dikuatkuasakan sehingga dimansuhkan. Ini dapat dicontohi dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pada hari Badar di mana baginda telah mengemukakan dalam bentuk Syura malah berulangkali baginda mengemukakan dengan tujuan untuk mendapatkan pendapat kaum Ansar kerana dicurigai kalau-kalau mereka fahamkan bahawa bai’ah pertama mereka dengan Al-Rasul Sallallahu ‘alaihi Wasallam di hari bai’ah Aqabah di mana mereka hanya bertanggungjawab mempertahankan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam atau membantunya sekiranya baginda diserang di dalam Madinah. Tetapi bilamana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam diberi sokongan maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pun memutuskan supaya berperang.


Kesimpulan


Banyak di kalangan kita yang dipilih untuk membimbing menuntut agar dita’ati sedangkan mereka tidak tahu hak-tak keistimewaan orang itu untuk menyertai Syura. Mereka tidak berjaya di dalam memimpin ummah Islamiyyah dan mereka tidak berjaya dalam mana-mana bahagian pentadbiran dalam ummah ini.


Kepada golongan seumpama ini, ingin kita perkatakan: Sesungguhnya kamu tidak akan bertemu di dalam perjalanan kamu selain dari satu natijah sahaja, iaitu setiap orang yang menyertai kamu berniat untuk mufarraqah kamu. Sekiranya para fuqaha’ mazhab Syafi’e membolehkan seseorang itu mufarraqah dengan imam dalam sembahyangnya kerana beberapa hal tertentu apakah saudara nampak orang Muslim itu boleh bersabar dengan pimpinan kamu yang keras, menindas dan berpura-pura dalam suatu masa yang panjang tanpa berniat untuk mufarraqah? Apakah seorang Muslim itu mengendalikan perjalanan syura sejak dari awal lagi? Fikiran yang seumpama ini adalah fikiran yang salah awal awal lagi. Sekiranya Syura mesti dihidupkan dan demikian juga keta’atan, maka bagaimanakah kedua-duanya boleh dipertemukan?


Kita menegaskan: Sesungguhnya seorang Amir yang menta’ati Syura dari dalam Jama’ah, akan lahirkan keta’atan setiap anggota dari dalam kepadanya secara automatik. Sesungguhnya keta’atan anggota Jama’ah ialah ketaatan Syura dan di mana kepimpinan itu tunduk kepada Syura relah dipertanggungjawabkan kepada anggota-anggota yang berkeahlian. Setiap ahli Syura tunduk kepada Syura itu sendiri dan kaedah-kaedahnya yang dicetuskan oleh Syura itu sendiri.


Maka tercantumlah dua persoalan iaitu Syura dan keta’atan. Syura tunduk kepada pimpinan manakala saf-saf yang dipimpin tunduk kepada pimpinan yang merupakan perlaksanaan keputusan Syura. Kesemua ini sebenarnya adalah tuntutan hukum syara’ dan perlaksanaannya. Perkara ini mempunyai disiplin yang tersendiri yang diketahui ramai di dalam agama kita dan di dalam da’wah kita. Suatu perkara yang mesti jelas kepada kita ialah barisan mujahiddin dan pekerja Islam berkewajipan menta’ati kerana perlaksanaannya memerlukan kepada keta’atan, kecuali bilamana terdapat kemudharatannya.


Sepertimana yang dinaskan oleh para fuqaha’ Hanafi yang berkata bahawa menta’ati Amir tentera adalah wajib kecualilah bila pendapat ramai melihat kemudharatannya, maka ketika itu diambil pendapat ramai. Suatu perkara yang penting di mana jama’ah tidak dapat tidak, mestilah menyesuaikan di antara keta’atan yang mutlak dan bijak dengan Syura yang tidak mengenepikannya atau menolaknya, dan tidak seharusnya agama Allah ini digendalakan. Sekiranya jama’ah tidak berjaya berbuat demikian maka kegagalanlah yang akan diperolehinya. Khususnya dalam peringkat pembinaan ini.


Wallahu a’lam.



Wira Islam

www.wiraislam.blogspot.com

Bintulu, Sarawak.


Diolah daripada buku:

Sa’id Hawwa; Memahami Prinsip-prinsip Amal Islami; Dewan Pustaka Fajar; 2006

.::Daie itu::.


Salam.

Kif hal ?..sehat2 kah semua?

dah doakn utk saudara2 kita diluar sana?

uhibbukum fillah~

Lama dah tak post kat sini. Tapi petang ini terasa mahu meletakkan satu lontaran hati yang sedang cuba men-dakwie-kan diri serta men-tarbawi-kan peribadi. Ia mungkin berkait rapat dengan isu semasa yang berlaku di dalam dunia penulis, ketika ini.

Daie itu,

Walau di manapun dia berada, pasti akan terus bekerja. Tidak perlukan ruang yang tersedia atau wang yang terjana, atau sokongan yang berjela, atau medan yang telah terbina lama atau kuasa yang mampu buat segalanya, atau keturunan turun-temurun yang perkasa atau sebagainya yang indah-indah dan hebat-hebat belaka. Dirinya adalah dakwah yang sentiasa mulia dengan pengiktirafan Tuhan yang punyai akhirat dan dunia.

Daie itu,

Hidup dan matinya adalah akhlak mulia. Kata-katanya hanyalah berkisar Yang Maha Kuasa. Jasadnya adalah ISLAM yang tercerna. Misinya tidak lain hanyalah kebahagiaan selamanya. Fokusnya jelas terpandu dek sirah nabawiyah yang harum padu.

Daie itu,

Pandangannya tajam bak mata pedang. Fikirannya ligat memikirkan umat. Jiwanya sedih mengimbau luka umat yang pedih. Tangannya sentiasa terangkat, mendoakan umat yang telah tenat. Hatinya terpaut dengan rumah Allah yang sentiasa bergema memaut. Kakinya melangkah cepat menuju tujuan, tanpa teragak-agak dengan tipudaya syaitan.

Daie itu,

Ibarat air yang mengalir. Setitis air yang mampu memmelekukkan batu yang keras dek usaha yang berpanjangan tanpa kenal penat lelah. Airnya memberi minum orang yang kehausan dan ketandusan iman. Duit poketnya habis hanya kerana dia adalah penyelamat. Jiwanya memberi sinar kepada sang pejalan yang sesat, sinarnya itu sangat kuat hingga menyebabkan semua orang terpikat. Yang terpikat kagum akan terikat, yang terpikat dengki akan terus menyuburkan hasad.

Daie itu,

Senyumannya memberikan sinar harapan. Tangisannya menandakan kesungguhan. Rintihannya hanya diketahui Tuhan. Kesakitannya hanya dirasai teman seperjuangan. Kebahagiaannya zahir ketika tasbih dan khalwat. Keluh-kesahnya diubati dengan wudhu' dan Al-Quran. Sejarah salafusoleh sebagai panduan dan penghayatan dalam kehidupan.

Daie itu,

erti Hidupnya adalah pada memberi. Ruhnya hanya terikat pada kemuliaan syariat dan ketinggian martabat. Dakwahnya murni bak susu yang suci tanpa meminta sebarang ganjaran. Perjuangannya jelas menuju pasti hanya Satu matlamat. Jalannya luas dan panjang, tapi sayangnya ramai yang tersesat.

Daie itu,

Mulutnya dijaga ketat agar tidak tersilap tempat. Kalamnya dikawal rapi agar tidak ternyala api. Hubungannya dengan manusia amat dipentingkan agar tidak dapat kemarahan Tuhan. Celaan dan hinaan langsung bukan agenda dalam perjuangan. Yang dilihat hanyalah Firdaus di sisi Rabbul Izzat. Yang dimotivasi hanyalah keredhaan Yang Maha Tinggi.

Daie itu,

Hebatnya dia kekal sepanjang zaman. Kamus dakwah hanya mencatat nama yang tsabat atas jalan. Sejarah dakwahnya diambil sebagai sumber tamadun mencipta kegemilangan. Rohnya walaupun sudah terangkat, akan sentiasa terpahat di jiwa umat.

Daie itu,

Ketiadaannya adalah malapetaka. Kehilangannya adalah bencana. Mencelanya bererti mencela ketetapan kejadian Ilahi. Dirinya rabbani ibarat sang mentari, yang memancar bumi pada waktu siang hari. Alangkah malangnya sesiapa yang tidak menyedari, hakikat bahawa daie itu satu-satunya faktor penyelamat diri.

---

7-10 April 2009, Tanta n Boreo Island.

Khas ditulis untuk sahabat-sahabat seperjuangan.

Semoga kekal di atas jalan perjuangan.

سيجعل الله بعد عسر يسرا

Allah akan menjadikan selepas kesusahan, kesenangan - Surah At-Talaq

Salam sayang utk semua~..

khalifah_IMJ & kanzen_ASME

1432

~undergroundscientist~

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.