Muqaddimah
‘Umar Ibnu Al-Khattab Radhiyallahu ‘anhu berkata:
“Orang ramai adalah pengikut kepada orang yang menegakkan urusan (syura) ini selama mereka bersepakat dan menyetujuinya, mereka wajib mengikuti keputusannya. Ini adalah kerana mereka pengikut. Bagi sesiapa (ahli syura) yang terlibat dengan urusan (syura) ini maka mereka hendaklah menurut dan mengikuti pendapat orang yang terbaik pandangannya di kalangan mereka dan mereka rela serta memperakukan kepintarannya dalam helah (taktik) peperangan. Ketika itu mereka (ahli syura) adalah pengikut orang tersebut. Wahai saudara-saudara sekalian, aku adalah seperti orang lain dari kalangan kamu. Aku tetap dengan keputusanku untuk keluar berperang sehingga keputusan dan pandanganku dihujah (dengan pandangan yang lebih baik) oleh ahlur-ra’yi (orang yang bijaksana) dari kalangan kamu.”
(Ditakhrijkan oleh Ibn Jarir dengan dua sanad yang kuat yang satu daripadanya ialah ‘Umar Ibn ‘Abdul ‘Aziz)
Syura di dalam Hizbullah adalah suatu pertanda semula jadi dan suatu sifat yang wajib, di mana tanpanya kumpulan Islam akan kehilangan keasliannya sebagaimana hilangnya solat. Firman Allah Subhanahu Wata’ala. Maksudnya:
“Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah keni’matan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal, dan orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah, mereka memberi ma’af. Dan orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikàn kepada mereka. Dan orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa mema’afkan dan berbuat baik maka pahalanya atas Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”
(Surah Asy Syura: Ayat 36-40)
Syura Dalam Sejarah Islam
Syura ialah suatu sifat keperibadian orang-orang mu’min yang semula jadi dan tidak mungkin ada suatu nas yang lain yang lebih tepat menyeru kepada Syura seperti nas di atas. Ayat ini memperingatkan bahawa tugas orang-orang mu’min ialah bermusyawarah sesama mereka, setiap persoalan menyentuh tentang orang mu’min secara menyeluruh, maka penyelesaiannya adalah bermusyawarah sesama mereka. Dalam Sirah An-Nabawiyyah dan sejarah Khulafa’ Ar-Rasyidin, syura seringkali digunakan dalam menentukan perkara-perkara penting. Hal ini menjadikan Syura itu kepunyaan dan hak orang yang berkeahlian dengannya. Perkara ini terbukti apabila:
1. Ahli majlis Saidina ‘Umar ialah golongan Qura’ (para ‘ulama’) yang tua dan muda.
2. Di hari Sayyidina ‘Umar membuat lawatan ke Syam, beliau telah mendengar mengenai penyakit taun di sana, oleh itu beliau telah bermusyawarah dengan golongan terpilih para Ansar dan mereka berbelah bahagi. Setelah itu beliau bermusyawarah dengan kaum terpilih Muhajirin pula, mereka juga berbelah bahagi. Setelah itu beliau mengumpul golongan tertua di kalangan mereka. Mereka dengan sebulat suara berpendapat supaya pulang ke Madinah, dengan itu mereka pun pulang.
Sabda Rasulullah Salllallahu ‘alaihi Wasallam:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bersama-sama dengan golongan terbesar.”
Rasulullah mentafsirkan erti “Al-A’zam” daripada ayat;
“Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu dan apàbila engkau telah berazam maka bertawakallah pada Allah.”
(Surah Ali- ‘Imran : Ayat : 159)
*Sila rujuk Tafsir Ibnu Katsir
Rasulullah mengikut pendapat majoriti pada hari peperangan Uhud walaupun pada awalnya baginda bercadang untuk berkubu di kota Madinah. Namun, baginda menerima cadangan para sahabat yang ramai yang mahu berperang di luar kota Madinah bagi mengelakkan kerosakan kota Madinah akibat peperangan.
Setelah Sayyidina ‘Umar ditikam beliau memilih ahli Syura dari kalangan yang diredhai oleh Rasulullah sehinggalah beliau wafat. Bagi memberi jalan kepada golongan majoriti membuat keputusan atau hukum, dan seterusnya Sayyidina ‘Umar menyuruh supaya dibunuh sesiapa yang menentang mereka dan berkeras hati dengan sifat penentangan mereka. Dari apa yang diterangkan, kita dapati bahawa Syura itu ialah suatu kemestian, manakala pendapat majoriti pula ialah suatu yang mesti diterima oleh minoriti samada di dalam operasi pemilihan Amir, atau di dalam persoalan yang diminta pendapat oleh Amir. Ini ialah selepas Syura itu diberikan keistimewaannya kepada mereka yang berkeahlian.
Adapun mereka yang berhujah dengan peristiwa Sayyidina Abu Bakar di hari berlakunya riddah sahaja tidak perlu mengambil pendapat majoriti dan Syura itu merupakan suatu petunjuk kepada Amir dan bukan suatu yang dimestikan, golongan yang berpendapat begini adalah salah, Abu Bakar tidak menghiraukan pendapat majoriti kerana kedapatan nas.
Yang bermaksud:
“Aku diperintahkan supaya memerangi manusia dan mereka mengeluarkan zakat.”
Hadis ini tidak sempat habis Saiyyidina Abu Bakar membahaskannya, mereka semua sudahpun yakin dan berpuas hati.
Perlaksanaan Prinsip Syura
Sesungguhnya setiap peristiwa di dalam masa Khalifah Al-Rasyidin adalah mengikut pendapat majoriti. Memang boleh jadi majoriti mempunyai suatu pendapat kemudian ada seorang lain mengeluarkan suatu pendapat lain yang boleh diterima ramai, di antaranya Amirul Mukminin, maka pendapat ini diterima dan ini bukan suatu yang bertentangan dengan majoriti tetapi majoriti berpuas hati dengan pendapat terakhir ini.
Cara demikian bukanlah suatu cara demokrasi Barat kerana demokrasi Barat memberi kuasa mutlak kepada golongan majoriti untuk menghalal atau mengharamkan sesuatu kerana pada kita tidak ada erti pendapat-pendapat ramai, sekiranya pendapat itu bertentangan dengan nas. Syura pada kita ialah sesuatu yang tidak ada nas, bagi penghidupan seharian kaum Muslimin dan sebagainya. Oleh itu pendapat majoriti adalah suatu perkara yang biasa di dalam perkara-perkara yang sehubungan dengan Jamaah Islam (Hizbullah) di mana Syura itu sendiri diwujudkan mengikut lunas-lunas Jama’ah Islam secara ilzam (mesti). Ini ialah kerana beberapa faktor:
1. Selagi mana hasil keputusan yang menyentuh seluruh kumpulan Islam, maka adalah suatu perkara biasa bagi majoriti dari golongan ahli fikir untuk membuat keputusan.
2. Selagi mana pemilihan Amir diberi hak kepada majoriti dari golongan Ahlul-halli Wai-’Aqdi (golongan pemimpin) di dalam Jama’ah Islam (Hizbullah) maka ini adalah suatu perkana biasa kerana ini merupakan iktisas majoriti mereka.
3. Sesungguhnya struktur Jemaah Islam (Hizbullah) tidak akan kemas serasi dengan pimpinannya selagi mana Syura itu tidak hidup di dalamnya.
Adapun orang-orang yang mengatakan Syura ini hanya suatu pemberitahuan (Mu’alimah) dan bukan suatu kemestian (Mulzimah) sebenarnya mereka ini tidak menghiraukan sangat kesan-kesan yang akan timbul daripada percakapan mereka itu. Di antaranya timbul natijah-natijah yang tidak realistik selain dari percakapan mereka itu sendiri tidak disandarkan kepada nas-nas. Tidak seorang pun yang pernah menyebut bahawa salah seorang daripada Khalifah Al-Rasyidin di suatu ketika telah bermusyawarah dengan Ahlul-halli Wal-’Aqdi (golongan pimpinan). Kemudian pendapat mereka (yang memberi nasihat) itu diabaikan. Sesungguhnya umat Islam tidak akan sempurna urusannya sekiranya kuasa bertindak diserahkan kepada seorang secara mutlak.
Mana-mana tanzim yang berdasarkan kepada fikrah ini (iaitu Syura adalah pemberitahuan dan bukan kemestian) akan membawa kepada perpecahan demi perpecahan di kalangan anggotanya, kerana Amir di kala itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan untuk memaksa orang mematuhinya.
Sesungguhnya Jama’ah itu lebih utama daripada kekuasaan dan perpaduan Jama’ah tidak dibina dengan kekuasaan dan kekerasan tetapi ianya disatukan oleh perasaan redha-meredhai di antara anggotanya. Dalam bekerja sekiranya Amir Jama’ah sendiri yang menolak pendapat Jama’ah, maka di ketika itu jama’ah tidak mungkin berjalan malah untuk meneruskan perjalanan biasa pun tidak mungkin apatah lagi untuk berkembang. Sesungguhnya kita, seluruh orang Islam berkewajipan untuk mewujudkan suatu corak Syura yang sesuai di peringkat tempatan, negeri dan peringkat antarabangsa demi untuk mewujudkan suatu daulah Islamiyyah yang akan datang, dengan izin Allah di mana daulah ini mempunyai seluruh tunggak-tunggak kejayaan. Tanpa kehadiran faktor di atas ini kita tidak mengetahui bagaimana sebuah negara kita boleh wujud dan bagaimana Amir kita mampu mengendalikan dunia Islam dari satu penjuru ke satu penjuru yang lain.
Bagi mereka yang berpendapat bahawa Syura pada masa ini sebagai pemberitahuan bukan suatu kemestian seolah-olah mereka memperkatakan mengenai umat Islam itu sebagai suatu keluarga kecil dan jahil bahawa di dalamnya terdapat pimpinan yang bijak dan agung. Kita berkewajipan menyerahkan hak keistimewaan Syura ini kepada mereka yang berkeahlian dan sekiranya telah pun kita berbuat demikian maka tidak harus keluar dari keputusan yang dicapai dalam Syura mereka atau keluar daripada pendapat majoriti yang telah pun membuat perbincangan, soal jawab dan berpuas hati dengan segala perbincangan itu. Seorang Amir mestilah berkemampuan untuk membawa majoriti menerima pandangannya yang sihat itu. Dan majoriti yang soleh tidak akan berpecah mengenai pendapat yang baik sekiranya majoriti itu dipilih dan yang baik dan ditarbiyahkan.
Maulana Al-Maududi mengatakan bahawa Amir hendaklah mengikut Syura secara ilzam (mesti) yang sebelum ini telah mengambil suatu arah yang lain. Boleh jadi di antara yang patut kita ambil di dalam perjalanan Syura kita ialah dengan berpegangkan kepada beberapa kaedah yang boleh sampai kepada suatu pendapat yang paling kemas dengan memberikan hak keistimewaan kepada Amir di dalam semua peringkat. Sekiranya Amir berselisih pendapat dengan majlis kepimpinan maka dengan tugasnya akan membawakan persoalan ini kepada kepimpinan yang lebih tinggi atau kepada barisan (hirarki) yang berwibawa
yang lebih luas.
Tidak akan sempurna perjalanan umat Islam kecuali dengan Syura. Dan mereka tidak akan dapat bergerak ke hadapan kecuali dengan Syura. Dan kita sebagai Jama’ah juga tidak akan sempurna kecuali dengan Syura. Jama’ah tidak mungkin tertegak tanpa Syura. Apabila kita gagal melaksanakan Syura secara praktik, maka Jama’ah ini akan terkeluar daripada sifatnya sebagai Jama’ah Islamiyyah. Dan ianya tidak lagi terpilih untuk mengendalikan perjalanan ummah ini. Sebagai memulakan perjalanan yang terpimpin, dengan syuralah kita akan mencapai persetujuan untuk mengambil sesuatu kaedah yang boleh kita bicara dengannya. Dengan syuralah kita boleh memansuhkan suatu kaedah baru sekiranya ternyata yang lama itu salah. Dengan syuralah dapat kita mengatasi masalah bersama. Dengan syuralah kita bersetuju untuk berjalan dan membuat keputusan. Tidak seorangpun mampu di dunia ini dan tidak seorang pun seharusnya berjalan dengan Jama’ah tanpa Syura. Oleh itu tidak dapat tidak kita mesti mempunyai kaedah di dalam Syura. Bilakah ianya mesti dan bilakah ianya tidak.
1. Syura di dalam Jama’ah mestilah diserahkan kepada ahlinya. Bila mana Syura telah pun diserah kepada ahlinya, maka pendapat majoriti adalah suatu kemestian kecuali jika majoriti ingin menyerahkan persoalan kepada kuasa yang lebih tinggi atau kepada suatu kekuasaan yang lebih luas tetapi lebih rendah daripada haknya yang semesti samada yang itu ataupun yang ini. Tetapi majoriti hendaklah mempunyai hak untuk membuat keputusan.
2. Dari kata-kata Imam Hassan Al-Banna, bolehlah difahamkan di mana Al-Akh Al-Amil atau Al-Akh Al-Mujahid kewajipannya mematuhi sepenuhnya dari segi prinsip di mana hak Syura itu adalah kepunyaan orang yang lebih tinggi daripada A1-Akh Al-Mujahid, dalam istilah Ustadh Al-Banna dikenal sebagai Al-Naqib atau Al-Akh Al-Na’ib dan yang lebih tinggi.
3. Namun demikian pimpinan berhak memperluaskan bidang Syura sekiranya bidang ini diperluaskan maka keputusan hendaklah diberi kepada majoriti skop tadi. Malah kalau pimpinan ingin memperluaskan lagi skop Syura dalam suatu persoalan kepada ikhwah-ikhwah Amil pun boleh dilakukan berpandukan dengan cermat kepada peristiwa Uhud.
4. Namum demikian setiap persoalan yang sudah pun diputuskan oleh kuasa tertinggi dalam Jama’ah, maka tidak seharusnya dibawa turun kepada kekuasaan yang lebih rendah untuk disyurakan. Tetapi dia masih mempunyai hak untuk membuat pandangan terhadap kesan-kesan negatif, atau berhak membincangkannya. Ini boleh diukur dengan cermat dengan apa yang telah dilakukan oleh Sayyidina ‘Umar radiyallahu’anhu di hari Sayyidina Abu Bakar mencanggahi sebahagian mereka di mana ‘Umar telah mengoyak kertas keputusan dan terus ke hadapan Abu Bakar membincangkannya.
5. Hendaklah Syura itu dikekalkan sebagai sebahagian dari kaedah-kaedah yang dipersetujui sehinggalah kaedah itu dibatalkan atau dipinda. Sekiranya terdapat kaedah kaedah yang dipersetujui oleh sebuah negeri dengan beberapa negeri yang lain atau di antara suatu markas di dalam sesebuah negeri atau di antara (rakyat umum) dan pimpinan sesuatu markas, maka kaedah inilah yang mesti dikuatkuasakan sehingga dimansuhkan. Ini dapat dicontohi dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pada hari Badar di mana baginda telah mengemukakan dalam bentuk Syura malah berulangkali baginda mengemukakan dengan tujuan untuk mendapatkan pendapat kaum Ansar kerana dicurigai kalau-kalau mereka fahamkan bahawa bai’ah pertama mereka dengan Al-Rasul Sallallahu ‘alaihi Wasallam di hari bai’ah Aqabah di mana mereka hanya bertanggungjawab mempertahankan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam atau membantunya sekiranya baginda diserang di dalam Madinah. Tetapi bilamana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam diberi sokongan maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pun memutuskan supaya berperang.
Kesimpulan
Banyak di kalangan kita yang dipilih untuk membimbing menuntut agar dita’ati sedangkan mereka tidak tahu hak-tak keistimewaan orang itu untuk menyertai Syura. Mereka tidak berjaya di dalam memimpin ummah Islamiyyah dan mereka tidak berjaya dalam mana-mana bahagian pentadbiran dalam ummah ini.
Kepada golongan seumpama ini, ingin kita perkatakan: Sesungguhnya kamu tidak akan bertemu di dalam perjalanan kamu selain dari satu natijah sahaja, iaitu setiap orang yang menyertai kamu berniat untuk mufarraqah kamu. Sekiranya para fuqaha’ mazhab Syafi’e membolehkan seseorang itu mufarraqah dengan imam dalam sembahyangnya kerana beberapa hal tertentu apakah saudara nampak orang Muslim itu boleh bersabar dengan pimpinan kamu yang keras, menindas dan berpura-pura dalam suatu masa yang panjang tanpa berniat untuk mufarraqah? Apakah seorang Muslim itu mengendalikan perjalanan syura sejak dari awal lagi? Fikiran yang seumpama ini adalah fikiran yang salah awal awal lagi. Sekiranya Syura mesti dihidupkan dan demikian juga keta’atan, maka bagaimanakah kedua-duanya boleh dipertemukan?
Kita menegaskan: Sesungguhnya seorang Amir yang menta’ati Syura dari dalam Jama’ah, akan lahirkan keta’atan setiap anggota dari dalam kepadanya secara automatik. Sesungguhnya keta’atan anggota Jama’ah ialah ketaatan Syura dan di mana kepimpinan itu tunduk kepada Syura relah dipertanggungjawabkan kepada anggota-anggota yang berkeahlian. Setiap ahli Syura tunduk kepada Syura itu sendiri dan kaedah-kaedahnya yang dicetuskan oleh Syura itu sendiri.
Maka tercantumlah dua persoalan iaitu Syura dan keta’atan. Syura tunduk kepada pimpinan manakala saf-saf yang dipimpin tunduk kepada pimpinan yang merupakan perlaksanaan keputusan Syura. Kesemua ini sebenarnya adalah tuntutan hukum syara’ dan perlaksanaannya. Perkara ini mempunyai disiplin yang tersendiri yang diketahui ramai di dalam agama kita dan di dalam da’wah kita. Suatu perkara yang mesti jelas kepada kita ialah barisan mujahiddin dan pekerja Islam berkewajipan menta’ati kerana perlaksanaannya memerlukan kepada keta’atan, kecuali bilamana terdapat kemudharatannya.
Sepertimana yang dinaskan oleh para fuqaha’ Hanafi yang berkata bahawa menta’ati Amir tentera adalah wajib kecualilah bila pendapat ramai melihat kemudharatannya, maka ketika itu diambil pendapat ramai. Suatu perkara yang penting di mana jama’ah tidak dapat tidak, mestilah menyesuaikan di antara keta’atan yang mutlak dan bijak dengan Syura yang tidak mengenepikannya atau menolaknya, dan tidak seharusnya agama Allah ini digendalakan. Sekiranya jama’ah tidak berjaya berbuat demikian maka kegagalanlah yang akan diperolehinya. Khususnya dalam peringkat pembinaan ini.
Wallahu a’lam.
Wira Islam
Bintulu, Sarawak.
Diolah daripada buku:
Sa’id Hawwa; Memahami Prinsip-prinsip Amal Islami; Dewan Pustaka Fajar; 2006
0 comments:
Post a Comment