Prinsip Syura: Kewajipan Melaksana dan Mentaatinya

Muqaddimah


‘Umar Ibnu Al-Khattab Radhiyallahu ‘anhu berkata:


“Orang ramai adalah pengikut kepada orang yang menegakkan urusan (syura) ini selama mereka bersepakat dan menyetujuinya, mereka wajib mengikuti keputusannya. Ini adalah kerana mereka pengikut. Bagi sesiapa (ahli syura) yang terlibat dengan urusan (syura) ini maka mereka hendaklah menurut dan mengikuti pendapat orang yang terbaik pandangannya di kalangan mereka dan mereka rela serta memperakukan kepintarannya dalam helah (taktik) peperangan. Ketika itu mereka (ahli syura) adalah pengikut orang tersebut. Wahai saudara-saudara sekalian, aku adalah seperti orang lain dari kalangan kamu. Aku tetap dengan keputusanku untuk keluar berperang sehingga keputusan dan pandanganku dihujah (dengan pandangan yang lebih baik) oleh ahlur-ra’yi (orang yang bijaksana) dari kalangan kamu.”


(Ditakhrijkan oleh Ibn Jarir dengan dua sanad yang kuat yang satu daripadanya ialah ‘Umar Ibn ‘Abdul ‘Aziz)



Syura di dalam Hizbullah adalah suatu pertanda semula jadi dan suatu sifat yang wajib, di mana tanpanya kumpulan Islam akan kehilangan keasliannya sebagaimana hilangnya solat. Firman Allah Subhanahu Wata’ala. Maksudnya:


“Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah keni’matan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal, dan orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah, mereka memberi ma’af. Dan orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikàn kepada mereka. Dan orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa mema’afkan dan berbuat baik maka pahalanya atas Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”


(Surah Asy Syura: Ayat 36-40)


Syura Dalam Sejarah Islam


Syura ialah suatu sifat keperibadian orang-orang mu’min yang semula jadi dan tidak mungkin ada suatu nas yang lain yang lebih tepat menyeru kepada Syura seperti nas di atas. Ayat ini memperingatkan bahawa tugas orang-orang mu’min ialah bermusyawarah sesama mereka, setiap persoalan menyentuh tentang orang mu’min secara menyeluruh, maka penyelesaiannya adalah bermusyawarah sesama mereka. Dalam Sirah An-Nabawiyyah dan sejarah Khulafa’ Ar-Rasyidin, syura seringkali digunakan dalam menentukan perkara-perkara penting. Hal ini menjadikan Syura itu kepunyaan dan hak orang yang berkeahlian dengannya. Perkara ini terbukti apabila:


1. Ahli majlis Saidina ‘Umar ialah golongan Qura’ (para ‘ulama’) yang tua dan muda.


2. Di hari Sayyidina ‘Umar membuat lawatan ke Syam, beliau telah mendengar mengenai penyakit taun di sana, oleh itu beliau telah bermusyawarah dengan golongan terpilih para Ansar dan mereka berbelah bahagi. Setelah itu beliau bermusyawarah dengan kaum terpilih Muhajirin pula, mereka juga berbelah bahagi. Setelah itu beliau mengumpul golongan tertua di kalangan mereka. Mereka dengan sebulat suara berpendapat supaya pulang ke Madinah, dengan itu mereka pun pulang.


Sabda Rasulullah Salllallahu ‘alaihi Wasallam:


Maksudnya: “Hendaklah kamu bersama-sama dengan golongan terbesar.”


Rasulullah mentafsirkan erti “Al-A’zam” daripada ayat;


“Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu dan apàbila engkau telah berazam maka bertawakallah pada Allah.”


(Surah Ali- ‘Imran : Ayat : 159)


*Sila rujuk Tafsir Ibnu Katsir


Rasulullah mengikut pendapat majoriti pada hari peperangan Uhud walaupun pada awalnya baginda bercadang untuk berkubu di kota Madinah. Namun, baginda menerima cadangan para sahabat yang ramai yang mahu berperang di luar kota Madinah bagi mengelakkan kerosakan kota Madinah akibat peperangan.


Setelah Sayyidina ‘Umar ditikam beliau memilih ahli Syura dari kalangan yang diredhai oleh Rasulullah sehinggalah beliau wafat. Bagi memberi jalan kepada golongan majoriti membuat keputusan atau hukum, dan seterusnya Sayyidina ‘Umar menyuruh supaya dibunuh sesiapa yang menentang mereka dan berkeras hati dengan sifat penentangan mereka. Dari apa yang diterangkan, kita dapati bahawa Syura itu ialah suatu kemestian, manakala pendapat majoriti pula ialah suatu yang mesti diterima oleh minoriti samada di dalam operasi pemilihan Amir, atau di dalam persoalan yang diminta pendapat oleh Amir. Ini ialah selepas Syura itu diberikan keistimewaannya kepada mereka yang berkeahlian.


Adapun mereka yang berhujah dengan peristiwa Sayyidina Abu Bakar di hari berlakunya riddah sahaja tidak perlu mengambil pendapat majoriti dan Syura itu merupakan suatu petunjuk kepada Amir dan bukan suatu yang dimestikan, golongan yang berpendapat begini adalah salah, Abu Bakar tidak menghiraukan pendapat majoriti kerana kedapatan nas.


Yang bermaksud:


“Aku diperintahkan supaya memerangi manusia dan mereka mengeluarkan zakat.”


Hadis ini tidak sempat habis Saiyyidina Abu Bakar membahaskannya, mereka semua sudahpun yakin dan berpuas hati.


Perlaksanaan Prinsip Syura


Sesungguhnya setiap peristiwa di dalam masa Khalifah Al-Rasyidin adalah mengikut pendapat majoriti. Memang boleh jadi majoriti mempunyai suatu pendapat kemudian ada seorang lain mengeluarkan suatu pendapat lain yang boleh diterima ramai, di antaranya Amirul Mukminin, maka pendapat ini diterima dan ini bukan suatu yang bertentangan dengan majoriti tetapi majoriti berpuas hati dengan pendapat terakhir ini.


Cara demikian bukanlah suatu cara demokrasi Barat kerana demokrasi Barat memberi kuasa mutlak kepada golongan majoriti untuk menghalal atau mengharamkan sesuatu kerana pada kita tidak ada erti pendapat-pendapat ramai, sekiranya pendapat itu bertentangan dengan nas. Syura pada kita ialah sesuatu yang tidak ada nas, bagi penghidupan seharian kaum Muslimin dan sebagainya. Oleh itu pendapat majoriti adalah suatu perkara yang biasa di dalam perkara-perkara yang sehubungan dengan Jamaah Islam (Hizbullah) di mana Syura itu sendiri diwujudkan mengikut lunas-lunas Jama’ah Islam secara ilzam (mesti). Ini ialah kerana beberapa faktor:


1. Selagi mana hasil keputusan yang menyentuh seluruh kumpulan Islam, maka adalah suatu perkara biasa bagi majoriti dari golongan ahli fikir untuk membuat keputusan.


2. Selagi mana pemilihan Amir diberi hak kepada majoriti dari golongan Ahlul-halli Wai-’Aqdi (golongan pemimpin) di dalam Jama’ah Islam (Hizbullah) maka ini adalah suatu perkana biasa kerana ini merupakan iktisas majoriti mereka.


3. Sesungguhnya struktur Jemaah Islam (Hizbullah) tidak akan kemas serasi dengan pimpinannya selagi mana Syura itu tidak hidup di dalamnya.


Adapun orang-orang yang mengatakan Syura ini hanya suatu pemberitahuan (Mu’alimah) dan bukan suatu kemestian (Mulzimah) sebenarnya mereka ini tidak menghiraukan sangat kesan-kesan yang akan timbul daripada percakapan mereka itu. Di antaranya timbul natijah-natijah yang tidak realistik selain dari percakapan mereka itu sendiri tidak disandarkan kepada nas-nas. Tidak seorang pun yang pernah menyebut bahawa salah seorang daripada Khalifah Al-Rasyidin di suatu ketika telah bermusyawarah dengan Ahlul-halli Wal-’Aqdi (golongan pimpinan). Kemudian pendapat mereka (yang memberi nasihat) itu diabaikan. Sesungguhnya umat Islam tidak akan sempurna urusannya sekiranya kuasa bertindak diserahkan kepada seorang secara mutlak.


Mana-mana tanzim yang berdasarkan kepada fikrah ini (iaitu Syura adalah pemberitahuan dan bukan kemestian) akan membawa kepada perpecahan demi perpecahan di kalangan anggotanya, kerana Amir di kala itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan untuk memaksa orang mematuhinya.


Sesungguhnya Jama’ah itu lebih utama daripada kekuasaan dan perpaduan Jama’ah tidak dibina dengan kekuasaan dan kekerasan tetapi ianya disatukan oleh perasaan redha-meredhai di antara anggotanya. Dalam bekerja sekiranya Amir Jama’ah sendiri yang menolak pendapat Jama’ah, maka di ketika itu jama’ah tidak mungkin berjalan malah untuk meneruskan perjalanan biasa pun tidak mungkin apatah lagi untuk berkembang. Sesungguhnya kita, seluruh orang Islam berkewajipan untuk mewujudkan suatu corak Syura yang sesuai di peringkat tempatan, negeri dan peringkat antarabangsa demi untuk mewujudkan suatu daulah Islamiyyah yang akan datang, dengan izin Allah di mana daulah ini mempunyai seluruh tunggak-tunggak kejayaan. Tanpa kehadiran faktor di atas ini kita tidak mengetahui bagaimana sebuah negara kita boleh wujud dan bagaimana Amir kita mampu mengendalikan dunia Islam dari satu penjuru ke satu penjuru yang lain.


Bagi mereka yang berpendapat bahawa Syura pada masa ini sebagai pemberitahuan bukan suatu kemestian seolah-olah mereka memperkatakan mengenai umat Islam itu sebagai suatu keluarga kecil dan jahil bahawa di dalamnya terdapat pimpinan yang bijak dan agung. Kita berkewajipan menyerahkan hak keistimewaan Syura ini kepada mereka yang berkeahlian dan sekiranya telah pun kita berbuat demikian maka tidak harus keluar dari keputusan yang dicapai dalam Syura mereka atau keluar daripada pendapat majoriti yang telah pun membuat perbincangan, soal jawab dan berpuas hati dengan segala perbincangan itu. Seorang Amir mestilah berkemampuan untuk membawa majoriti menerima pandangannya yang sihat itu. Dan majoriti yang soleh tidak akan berpecah mengenai pendapat yang baik sekiranya majoriti itu dipilih dan yang baik dan ditarbiyahkan.


Maulana Al-Maududi mengatakan bahawa Amir hendaklah mengikut Syura secara ilzam (mesti) yang sebelum ini telah mengambil suatu arah yang lain. Boleh jadi di antara yang patut kita ambil di dalam perjalanan Syura kita ialah dengan berpegangkan kepada beberapa kaedah yang boleh sampai kepada suatu pendapat yang paling kemas dengan memberikan hak keistimewaan kepada Amir di dalam semua peringkat. Sekiranya Amir berselisih pendapat dengan majlis kepimpinan maka dengan tugasnya akan membawakan persoalan ini kepada kepimpinan yang lebih tinggi atau kepada barisan (hirarki) yang berwibawa

yang lebih luas.


Tidak akan sempurna perjalanan umat Islam kecuali dengan Syura. Dan mereka tidak akan dapat bergerak ke hadapan kecuali dengan Syura. Dan kita sebagai Jama’ah juga tidak akan sempurna kecuali dengan Syura. Jama’ah tidak mungkin tertegak tanpa Syura. Apabila kita gagal melaksanakan Syura secara praktik, maka Jama’ah ini akan terkeluar daripada sifatnya sebagai Jama’ah Islamiyyah. Dan ianya tidak lagi terpilih untuk mengendalikan perjalanan ummah ini. Sebagai memulakan perjalanan yang terpimpin, dengan syuralah kita akan mencapai persetujuan untuk mengambil sesuatu kaedah yang boleh kita bicara dengannya. Dengan syuralah kita boleh memansuhkan suatu kaedah baru sekiranya ternyata yang lama itu salah. Dengan syuralah dapat kita mengatasi masalah bersama. Dengan syuralah kita bersetuju untuk berjalan dan membuat keputusan. Tidak seorangpun mampu di dunia ini dan tidak seorang pun seharusnya berjalan dengan Jama’ah tanpa Syura. Oleh itu tidak dapat tidak kita mesti mempunyai kaedah di dalam Syura. Bilakah ianya mesti dan bilakah ianya tidak.


1. Syura di dalam Jama’ah mestilah diserahkan kepada ahlinya. Bila mana Syura telah pun diserah kepada ahlinya, maka pendapat majoriti adalah suatu kemestian kecuali jika majoriti ingin menyerahkan persoalan kepada kuasa yang lebih tinggi atau kepada suatu kekuasaan yang lebih luas tetapi lebih rendah daripada haknya yang semesti samada yang itu ataupun yang ini. Tetapi majoriti hendaklah mempunyai hak untuk membuat keputusan.


2. Dari kata-kata Imam Hassan Al-Banna, bolehlah difahamkan di mana Al-Akh Al-Amil atau Al-Akh Al-Mujahid kewajipannya mematuhi sepenuhnya dari segi prinsip di mana hak Syura itu adalah kepunyaan orang yang lebih tinggi daripada A1-Akh Al-Mujahid, dalam istilah Ustadh Al-Banna dikenal sebagai Al-Naqib atau Al-Akh Al-Na’ib dan yang lebih tinggi.


3. Namun demikian pimpinan berhak memperluaskan bidang Syura sekiranya bidang ini diperluaskan maka keputusan hendaklah diberi kepada majoriti skop tadi. Malah kalau pimpinan ingin memperluaskan lagi skop Syura dalam suatu persoalan kepada ikhwah-ikhwah Amil pun boleh dilakukan berpandukan dengan cermat kepada peristiwa Uhud.


4. Namum demikian setiap persoalan yang sudah pun diputuskan oleh kuasa tertinggi dalam Jama’ah, maka tidak seharusnya dibawa turun kepada kekuasaan yang lebih rendah untuk disyurakan. Tetapi dia masih mempunyai hak untuk membuat pandangan terhadap kesan-kesan negatif, atau berhak membincangkannya. Ini boleh diukur dengan cermat dengan apa yang telah dilakukan oleh Sayyidina ‘Umar radiyallahu’anhu di hari Sayyidina Abu Bakar mencanggahi sebahagian mereka di mana ‘Umar telah mengoyak kertas keputusan dan terus ke hadapan Abu Bakar membincangkannya.


5. Hendaklah Syura itu dikekalkan sebagai sebahagian dari kaedah-kaedah yang dipersetujui sehinggalah kaedah itu dibatalkan atau dipinda. Sekiranya terdapat kaedah kaedah yang dipersetujui oleh sebuah negeri dengan beberapa negeri yang lain atau di antara suatu markas di dalam sesebuah negeri atau di antara (rakyat umum) dan pimpinan sesuatu markas, maka kaedah inilah yang mesti dikuatkuasakan sehingga dimansuhkan. Ini dapat dicontohi dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pada hari Badar di mana baginda telah mengemukakan dalam bentuk Syura malah berulangkali baginda mengemukakan dengan tujuan untuk mendapatkan pendapat kaum Ansar kerana dicurigai kalau-kalau mereka fahamkan bahawa bai’ah pertama mereka dengan Al-Rasul Sallallahu ‘alaihi Wasallam di hari bai’ah Aqabah di mana mereka hanya bertanggungjawab mempertahankan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam atau membantunya sekiranya baginda diserang di dalam Madinah. Tetapi bilamana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam diberi sokongan maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam pun memutuskan supaya berperang.


Kesimpulan


Banyak di kalangan kita yang dipilih untuk membimbing menuntut agar dita’ati sedangkan mereka tidak tahu hak-tak keistimewaan orang itu untuk menyertai Syura. Mereka tidak berjaya di dalam memimpin ummah Islamiyyah dan mereka tidak berjaya dalam mana-mana bahagian pentadbiran dalam ummah ini.


Kepada golongan seumpama ini, ingin kita perkatakan: Sesungguhnya kamu tidak akan bertemu di dalam perjalanan kamu selain dari satu natijah sahaja, iaitu setiap orang yang menyertai kamu berniat untuk mufarraqah kamu. Sekiranya para fuqaha’ mazhab Syafi’e membolehkan seseorang itu mufarraqah dengan imam dalam sembahyangnya kerana beberapa hal tertentu apakah saudara nampak orang Muslim itu boleh bersabar dengan pimpinan kamu yang keras, menindas dan berpura-pura dalam suatu masa yang panjang tanpa berniat untuk mufarraqah? Apakah seorang Muslim itu mengendalikan perjalanan syura sejak dari awal lagi? Fikiran yang seumpama ini adalah fikiran yang salah awal awal lagi. Sekiranya Syura mesti dihidupkan dan demikian juga keta’atan, maka bagaimanakah kedua-duanya boleh dipertemukan?


Kita menegaskan: Sesungguhnya seorang Amir yang menta’ati Syura dari dalam Jama’ah, akan lahirkan keta’atan setiap anggota dari dalam kepadanya secara automatik. Sesungguhnya keta’atan anggota Jama’ah ialah ketaatan Syura dan di mana kepimpinan itu tunduk kepada Syura relah dipertanggungjawabkan kepada anggota-anggota yang berkeahlian. Setiap ahli Syura tunduk kepada Syura itu sendiri dan kaedah-kaedahnya yang dicetuskan oleh Syura itu sendiri.


Maka tercantumlah dua persoalan iaitu Syura dan keta’atan. Syura tunduk kepada pimpinan manakala saf-saf yang dipimpin tunduk kepada pimpinan yang merupakan perlaksanaan keputusan Syura. Kesemua ini sebenarnya adalah tuntutan hukum syara’ dan perlaksanaannya. Perkara ini mempunyai disiplin yang tersendiri yang diketahui ramai di dalam agama kita dan di dalam da’wah kita. Suatu perkara yang mesti jelas kepada kita ialah barisan mujahiddin dan pekerja Islam berkewajipan menta’ati kerana perlaksanaannya memerlukan kepada keta’atan, kecuali bilamana terdapat kemudharatannya.


Sepertimana yang dinaskan oleh para fuqaha’ Hanafi yang berkata bahawa menta’ati Amir tentera adalah wajib kecualilah bila pendapat ramai melihat kemudharatannya, maka ketika itu diambil pendapat ramai. Suatu perkara yang penting di mana jama’ah tidak dapat tidak, mestilah menyesuaikan di antara keta’atan yang mutlak dan bijak dengan Syura yang tidak mengenepikannya atau menolaknya, dan tidak seharusnya agama Allah ini digendalakan. Sekiranya jama’ah tidak berjaya berbuat demikian maka kegagalanlah yang akan diperolehinya. Khususnya dalam peringkat pembinaan ini.


Wallahu a’lam.



Wira Islam

www.wiraislam.blogspot.com

Bintulu, Sarawak.


Diolah daripada buku:

Sa’id Hawwa; Memahami Prinsip-prinsip Amal Islami; Dewan Pustaka Fajar; 2006

.::Daie itu::.


Salam.

Kif hal ?..sehat2 kah semua?

dah doakn utk saudara2 kita diluar sana?

uhibbukum fillah~

Lama dah tak post kat sini. Tapi petang ini terasa mahu meletakkan satu lontaran hati yang sedang cuba men-dakwie-kan diri serta men-tarbawi-kan peribadi. Ia mungkin berkait rapat dengan isu semasa yang berlaku di dalam dunia penulis, ketika ini.

Daie itu,

Walau di manapun dia berada, pasti akan terus bekerja. Tidak perlukan ruang yang tersedia atau wang yang terjana, atau sokongan yang berjela, atau medan yang telah terbina lama atau kuasa yang mampu buat segalanya, atau keturunan turun-temurun yang perkasa atau sebagainya yang indah-indah dan hebat-hebat belaka. Dirinya adalah dakwah yang sentiasa mulia dengan pengiktirafan Tuhan yang punyai akhirat dan dunia.

Daie itu,

Hidup dan matinya adalah akhlak mulia. Kata-katanya hanyalah berkisar Yang Maha Kuasa. Jasadnya adalah ISLAM yang tercerna. Misinya tidak lain hanyalah kebahagiaan selamanya. Fokusnya jelas terpandu dek sirah nabawiyah yang harum padu.

Daie itu,

Pandangannya tajam bak mata pedang. Fikirannya ligat memikirkan umat. Jiwanya sedih mengimbau luka umat yang pedih. Tangannya sentiasa terangkat, mendoakan umat yang telah tenat. Hatinya terpaut dengan rumah Allah yang sentiasa bergema memaut. Kakinya melangkah cepat menuju tujuan, tanpa teragak-agak dengan tipudaya syaitan.

Daie itu,

Ibarat air yang mengalir. Setitis air yang mampu memmelekukkan batu yang keras dek usaha yang berpanjangan tanpa kenal penat lelah. Airnya memberi minum orang yang kehausan dan ketandusan iman. Duit poketnya habis hanya kerana dia adalah penyelamat. Jiwanya memberi sinar kepada sang pejalan yang sesat, sinarnya itu sangat kuat hingga menyebabkan semua orang terpikat. Yang terpikat kagum akan terikat, yang terpikat dengki akan terus menyuburkan hasad.

Daie itu,

Senyumannya memberikan sinar harapan. Tangisannya menandakan kesungguhan. Rintihannya hanya diketahui Tuhan. Kesakitannya hanya dirasai teman seperjuangan. Kebahagiaannya zahir ketika tasbih dan khalwat. Keluh-kesahnya diubati dengan wudhu' dan Al-Quran. Sejarah salafusoleh sebagai panduan dan penghayatan dalam kehidupan.

Daie itu,

erti Hidupnya adalah pada memberi. Ruhnya hanya terikat pada kemuliaan syariat dan ketinggian martabat. Dakwahnya murni bak susu yang suci tanpa meminta sebarang ganjaran. Perjuangannya jelas menuju pasti hanya Satu matlamat. Jalannya luas dan panjang, tapi sayangnya ramai yang tersesat.

Daie itu,

Mulutnya dijaga ketat agar tidak tersilap tempat. Kalamnya dikawal rapi agar tidak ternyala api. Hubungannya dengan manusia amat dipentingkan agar tidak dapat kemarahan Tuhan. Celaan dan hinaan langsung bukan agenda dalam perjuangan. Yang dilihat hanyalah Firdaus di sisi Rabbul Izzat. Yang dimotivasi hanyalah keredhaan Yang Maha Tinggi.

Daie itu,

Hebatnya dia kekal sepanjang zaman. Kamus dakwah hanya mencatat nama yang tsabat atas jalan. Sejarah dakwahnya diambil sebagai sumber tamadun mencipta kegemilangan. Rohnya walaupun sudah terangkat, akan sentiasa terpahat di jiwa umat.

Daie itu,

Ketiadaannya adalah malapetaka. Kehilangannya adalah bencana. Mencelanya bererti mencela ketetapan kejadian Ilahi. Dirinya rabbani ibarat sang mentari, yang memancar bumi pada waktu siang hari. Alangkah malangnya sesiapa yang tidak menyedari, hakikat bahawa daie itu satu-satunya faktor penyelamat diri.

---

7-10 April 2009, Tanta n Boreo Island.

Khas ditulis untuk sahabat-sahabat seperjuangan.

Semoga kekal di atas jalan perjuangan.

سيجعل الله بعد عسر يسرا

Allah akan menjadikan selepas kesusahan, kesenangan - Surah At-Talaq

Salam sayang utk semua~..

khalifah_IMJ & kanzen_ASME

1432

~undergroundscientist~

Baitul Muslim: CINTA Di Dalam Cinta!

Salam’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHi ‘ala kulli haal,

Dan selawat dan salam ke atas junjungan mulia al-Rasul S.A.W.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud “Sesiapa yang berkahwin, sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain.” – Hadith riwayat Imam At-Thabrani.

Maafkan saya apabila saya buka topik ini. Saya bercerita tentang isu ini (kalau ia sesuai untuk disebut sebagai isu) kerana saya lihat bahawa pentingnya perancangan dalam membina rumahtangga yang baik di dalam rangka perjalanan kita ingin membentuk daulah Islamiyyah, seterusnya melihat bahawa Islam itu diangkat kembali menjadi guru dunia, yakni Ustaziatul ‘Alam. Saya bukanlah seorang yang arif lebih-lebih lagi berbicara bab rumahtangga dan pembinaannya ini, kerana saya sendiri pun hakikatnya belum berkeluarga – istilah lain – masih bujang.

Maka apa yang disampaikan di sini adalah sekadar pandangan dari diri yang dhaif ini dan juga berdasarkan pemahaman yang mungkin boleh dikatakan masih di tahap permukaan. Nak bercerita pun segan juga, memandangkan ada lagi pelajar-pelajar senior yang tidak terfikir langsung tentang hal berkahwin – takut orang kata saya beria-ia nak berkahwin pula (“,).
Membincangkan soal “mahu berumahtangga” ini, saya pasti ramai yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang pendekatan dan juga kaedah mencari pasangan serta merancang ke arah itu.

Kalau ditanya kepada satu kelompok, barangkali bercouple adalah satu alternatif untuk berta’aruf (berkenalan) dengan calon pilihan (ini tidak bermaksud saya iktiraf perkara couple-mouple ini). Pasangan itu perlulah mempunyai pekerjaan berpangkat tinggi, lelakinya pula mestilah handsome macam Shah Rukh Khan dan si dara pula mesti ada iras-iras Siti Nurhaliza atau Fasha Sandha. Kehidupan calon pula mestilah sudah di tahap well-established, kalau boleh biar ada banglo si lelaki bujangan itu barulah si calon mertua “sign kontrak” agreement jadi mertua.

Di sisi yang lain pula, ada yang memandang lebih kepada suatu pendekatan yang lebih murni dan lebih selamat, istilah orang – play safe -play safe yang baik dan sememangnya safe. Bagi saya (dan saya yakini), inlah jalan yang paling baik untuk diruntuni (betulkah ayat yang saya gunakan ini?). kaedahnya adalah menyampaikan hasrat melalui orang tengah kepada calon yang mahu dinikahi, kemudian diikat kedua-duanya sambil dikawal batasan hubungannya. Si calon dipilih bukanlah atas dasar berapa banyak ‘sen’ yang ada di dalam walletnya, bukan diukur pada BMW 7 series ataupun Mercedes E-class ataupun Proton Waja Limited Edition yang dimiliknya, bukan diukur pada handsomenya dia kerana memakai facial powder ataupun pembersih muka, bukan diukur pada tingginya pangkat beliau di dalam company ataupun berapa gaji sebulan (saya tidak nafikan, kadang-kadang ini juga memberikan sedikit saham ataupun added value kepada yang bakal jadi menantu). Apa yang menjadi dasar kepada pemilihan calon tersebut adalah kerana kefahamannya dalam berjuang untuk agama, kemampuannya untuk memimpin keluarganya dengan agama serta kemampuannya menjadi suami/isteri dan juga ayah/ibu yang baik kepada anak-anak mereka.

Inilah sistem yang kita kenali sebagai Baitul Muslim(BM) ataupun rumahtangga Islam.

Saya yakin hampir semua orang yang terlibat dengan dakwah dan juga yang terdedah kepada institusi usrah maklum mengenai kewujudan istilah ini, dan mungkin juga wujud unit yang bertanggungjawab untuk perkara ini di dalam institusi usrah mereka.

Bagi yang belum familiar ataupun kepada yang berminat dengan sistem ini, secara mudahnya melalui sistem ini, suatu proses menuju pembinaan rumahtangga itu adalah dalam keadaan penuh terhormat dan terjaga kedua-dua.

Si lelaki ataupun perempuan(tidak salah perigi cari timba!) akan merisik kepada calon melalui orang tengah, di mana orang tengah akan menyampaikan kepada calon tersebut samada mahu menerima lamaran tersebut ataupun tidak. Calon diberikan masa untuk memikirkan hal tersebut, sambil dinasihatkan agar melakukan solat istikharah untuk mendapat petunjuk sebagai panduan kepada keputusannya nanti.

Apabila peringkat itu sudah dilepasi, maka kedua-dua calon tersebut akan dijaga dan dikawal perhubungan mereka. Pada masa sudah diikat melalui BM ini, kedua-dua calon akan berbincang mengenai perjalanan menuju pembinaan rumahtangga mereka. Masing-masing membincangkan expectations daripada kedua belah pihak keluarga, agar nanti apabila sudah masuk meminang di depan bakal menantu, maka si calon lelaki akan berjaya melepasi screening test oleh calon mertua. Orang kata, lelaki tersebut dah memenuhi criteria. Maka selepas itu nanti barulah berlaku babak-babak berbalas pantun antara kedua belah pihak keluarga. AlhamduliLLAH….

BM tidak terhenti di situ. BM bukan sekadar unit memilih pasangan, tetapi BM juga merupakan suatu badan yang boleh diistilahkan sebagai unit perancangan dan pembangunan keluarga.

BM juga merupakan suatu pendekatan ke arah membentuk aulad (anak-anak) yang baik, yang apabila sudah dibentuk dengan acuan yang betul sesuai dengan kehendak Islam, maka jadilah mereka sebagai agen pembawa, pejuang dan pengembang agama seperti ibu bapa mereka.

Secara mudahnya, BM ini adalah suatu proses berterusan yang akan sentiasa bergerak seiring dengan latihan membangun kendiri ahli dakwah, yang bergerak menghala objektif yang mewujudkan masyarakat Muslim (Mujtama’ Muslim) kemudian Negara Islam (Daulah Islamiyyah) seterusnya Pemerintahan Khilafah Islam (Khilafah Islam) dan ke peringkat terakhir Islam akan menjadi penjaga sejagat alam (Ustaziatul ‘Alam).

Ianya (BM) merupakan suatu proses pembentukan pejuang Islam menurut acuan syara’ yang diikuti oleh nucleus keluarga yang didiaminya, dan bukan sekadar pembinaan rumahtangga hasil cinta harga murahan.

BM pada hakikatnya adalah CINTA di dalam cinta! A LOVE within the love itself!

Perasaan cinta dan kasih sayang yang di dalamnya tersemat suatu CINTA yang lebih besar lagi – CINTA kepada ALLAH SWT – dengan cara kita akur mengendalikan perasaan cinta sesama manusia dengan tunduk kepada batasan ketetapanNya!

Maka tidak hairanlah natijahnya ialah menghasilkan sebuah atmosphere yang disebut di dalam Al-Qur’an sebagai al-Sakinah, al-Mawaddah wa Rahmah – pendek kata rasa kasih, belas kasihan dan kebahagiaan. Ianya bakal mewujudkan sebuah keluarga yang insyaALLAH akan bahagia, kata orang sehingga ke akhir hayat, membawa ke syurga!

Ia adalah manifestasi IMAN di dalam CINTA dan KASIH SAYANG!

Berbicara soal kebahagiaan, ia tidak tertakluk kepada berapa banyak sang suami menompokkan harta untuk keluarga, berapa besar rumah untuk keluarganya dan semewah mana makanan dan perbelanjaan seharian. Apa yang membuahkan kebahagiaan yang sejati ialah apabila Iman itu yang sanggup dituruti untuk mengecapi kebahagiaan itu sendiri. Itulah hakikat kebahagiaan! Si suami dan isteri menjalankan perukunan rumahtangga dalam keadaan kedua-duanya taat kepada ALLAH SWT. Kedua-duanya sejalan dalam melaksanakan perintah ALLAH SWT lantas membuahkan rasa kasih dan sayang terhadap pasangan masing-masing.

Amat berbeza natijah antara cinta yang terkawal oleh prinsip syara’ dengan cinta murahan pasar malam di tepi jalanan.

Kita boleh lihat bahawa di dalam sirah sendiri, di mana Nabi SAW menikahi Saidatina Khadijah Binti Khuwailid melalui lamaran menggunakan orang perantaraan. Hasilnya, kita lihat Khadijah di dalam hayatnya sebagai isteri Nabi SAW sanggup berkorban harta dan juga jiwa sebagai seorang isteri untuk melihat kejayaan agama yang dibawa oleh suaminya. Lantaran pengorbanan inilah terhasil kasih sayang yang amat mendalam antara keduanya, sehinggakan di kalangan isteri-isteri Nabi Saidatina Khadijahlah merupakan isteri yang paling disayangi Nabi SAW.

Begitu juga dengan keadaan keluarga orang zaman-zaman dulu yang rata-ratanya diatur oleh keluarga. Walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan, kita lihat beranak-pinak ramai sehingga ke akhirnya juga perkahwinan mereka. Tiada syarat kereta Mercedes dan gaji besar sebagai syarat mendapat bahagia. Apa yang penting ialah Islam dilaksanakan di dalam institusi keluarganya. Itu sudah dikira memadai, kerana rasa tawakkal dan bersederhana dengan apa yang ada sudah cukup menjadi pencukup hidup keluarga.

Berlainan situasi dunia zaman sekarang di mana percintaan itu seolah-olah mudah dipungut di tepi jalan, si jantan mudah membawa si betina ke mana-mana sahaja tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Murah! Terlalu murah!

Penilaian untuk hidup bahagia juga tidak lagi diukur dengan pembaris lurus 30 cm yang bergelar taqwa, tetapi diukur dengan pembaris patah yang sumbing, bergerigi dan mudah bengkok seperti melihat kepada paras rupa dan harta.

Bagaimana pula boleh terfikir untuk mendapatkan kenikmatan dan kebahagiaan setelah berumahtangga nanti jikalau madu dicuri dari taman tanpa membayar maharnya, malah madu yang dicuri dari taman larangan pula itu!

Natijahnya berlakulah perceraian walhal belum sampai beberapa penggal fasa-fasa berumahtangga yang mereka lalui – tanda tiada lagi kemanisan dirasai kerana semuanya telah dikecapi lebih awal dari yang sepatutnya. Maka hilanglah cinta, hilanglah bahagia, hilanglah segala-galanya!

Entri ini tidaklah bermaksud untuk menolak bahawa pentingnya dalam mencari sebahagian daripada perbendaharaan duniawi untuk meneruskan kehidupan, seperti mengisi perut memenuhi keperluan manusia dengan makanan, tempat tinggal dan berkenderaan untuk memudahkan sedikit perjalanan kehidupan, lebih-lebih lagi bagi yang meletakkan dirinya di dalam perjuangan.

Setelah melihat dua perbezaan suasana yang agak kontradiktif tersebut, saya yakin anda boleh menilai jalan cinta yang mana adalah lebih baik untuk dilalui.

Pilihlah untuk bercinta melalui CINTA. Walaupun jalannya agak berliku-liku dan banyak tol yang perlu dilalui, akan tetapi hasilnya nanti adalah kepuasan yang abadi.

Memilih BM tidaklah bermaksud kita tidak boleh memilih pasangan yang ingin kita nikahi. Ianya tidak bermaksud si fulan tidak boleh menikahi si fulanah yang sudah lama diminatinya. Itu tidak menjadi masalah. Si fulan pilihlah sesiapa yang disukainya, tetapi dengan syarat perhubungannya dengan si fulanah itu terkawal adanya.

Saya pernah berbincang dengan seorang ustaz mengenai persepsi mertua nanti apabila kita ini tidaklah sekaya mana dan tidaklah berjawatan tinggi mana, takut-takut mertua membandingkan dengan menantu lain yang lebih daripada kita dari segi hartanya.
Jawapan ustaz saya itu cukup mudah dan menenangkan hati – “Itulah yang perlu kita lalui dalam berjuang ni. Tapi kita buktikan kita boleh didik anak kita dengan baik – kecik-kecik lagi dah boleh baca Qur’an, kalau dia menyanyi lagu-lagu nasyid sahaja yang keluar dari mulutnya, last sekali nanti orang akan akur juga bahawa itulah dia cara yang terbaik sebenarnya di dalam rumahtangga. Kemampuan mendidik anak menjadi orang yang baik itu yang orang nakkan sebenarnya. Kerana fitrah orang itu dia akan mahu kembali kepada Islam”.

Sungguh indah dan menenangkan jawapan ustaz tersebut.

Jadi, setelah berceloteh panjang sedikit mengenai perkara ini, saya harap bagi mereka yang mencari cinta di luar sana (termasuk diri yang belum berkahwin ini) agar memilih jalan yang betul untuk menyalurkan fitrah manusiawi tersebut.

Kebahagiaan bukan boleh dibeli dan tidak juga dapat dipaksakan. Kebahagiaan dalam rumahtangga adalah tanda keberkatan hasil ketaatan kepada Yang Maha Menciptakan.

Maka, pilihlah untuk berumahtangga dengan acuan Islam!


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
9.41 am,
31 Mac 2009, Selasa,
Bintulu, Sarawak.
http://ghulamassarawaki.blogspot.com

Maulidur Rasul 1430: Urang Kita Perlu Berubah!

Salam’alaikum semua,

Kamek harap semua kitak kat luar ya sehat-sehat jak. Sepanjang keyakinan kamek, kamek rasa toklah first time entri kamek dalam bahasa Melayu Sarawak. Maybe entri sebelum tok ada ncerita sikit pasal bahasa Sarawak, tapi sekadar macam kamus giya lah. Kinek tok mok coba naip dalam bahasa tok gik. Harap ada la manfaatnya pakei kita semua, insyaALLAH.

Kita kinek tok dalam bahang nyambut Maulidur Rasul taun 1430. alhamduliLLAH, ALLAH SWT masih gik manjang umor kita duduk dalam keadaan kita tok gik maseh beriman ngan gik masih gik idup sebagai urang Islam. Mun sik, sik kenal lah kita siapa Rasul tok. Mun kenal pun, nak benda sik bagus jak ditauk kita, ya la tek, nama dah kita bukan dari agama Islam. Tapi kamek yakin ada rami gik urang bukan Islam kat luar nun yang tauk Nabi Muhammad SAW tok urang nok bagus, urang bait. Sama-sama kita ndoa sidak dapat hidayah dari ALLAH SWT untuk nangga kebenaran agama nok kita sayang tok.

Balit kepada crita kita tadik. Kita kinek tok gago nyambut Maulidur Rasul. Biasalah, masa tok kita biasa nangga urang gago molah sepandok, pasya belarak musin pasar ngembak atau nulak sepandok. masyaALLAH, memang bersemangat urang kita nyambut Maulidur Rasul tok. Sik cukup ngan ya, belah malam siap ada ceramah gik kat suro ngan masjid, ncerita hal Maulidur Rasul tok tek. AlhamduliLLAH, rami juak yang pegi. AlhamduliLLAH, semangat urang kita ngagak bneda-benda macam tok. Baguslah ya, maksudnya masih ada gik rasa kaseh ngan cinta kita kepada Rasul SAW. Semoga kita sama-sama diberik kekuatan oleh ALLAH SWT agar dapat ngikut cara idupnya, insyaALLAH.

Dalam kehangatan nyambut kelahiran nabi tok, dengan keadaan urang raminya, ngan sambutan sik kurang meriah gik (taun tok Bintulu jadi tuan rumah, kebetulan kamek di Bintulu.), kamek rasa tergerak mok merik pandangan peribadi kamek sikit berkaitan sambutan kita kat Sarawak tok.

Sigeklah benda yang kamek tangga tentang budaya kita kat Sarawak tok, mun time nyambut perayaan macam raya atau apa-apa jak, kita suka berlebih-lebih sikit dalam bab-bab tok. Bukan ngata sik bagus kita ngeluar duit pakei molah sepandok, pakei molah majlis besar-besar pakei merai sambutan tok. Bagus, Cuma ya la tek – kita tok gik ada tabiat berlebih-lebih, dan kadang-kadang ya berlebih-lebih sik bertempat.

Mungkin ada yang tertanyak-tanyak, apa maksud kamek, betol sik?

Okeylah, cuba kita nangga mun dalam kes nyambut Maulidur Rasul, kita nangga bukan main gik urang molah sepandok nak? Belanja molah sepandok kadang-kadang bukan murah, kadang-kadang sampei beribu-ribu ringgit. Molah sepandok pakei merai Maulidur Rasul, pasya sepandok diembak musin pasar, kita selawat-selawat, kakya sambil-sambil ya maluk kompang sikit, mun sik tar kah.. pasya udah la ya…sampei sengan ya jak.

Masalah kat sitok ialah betapa kita nangga urang kita semangat nak nyambut Maulidur Rasul, tapi kita terlupak bahawa semangat nyambut ya sepatutnya bukan sengan ya jak. Coba kita fikir balit, bahawa betapa sia-sianya duit kita ya dibazir pakei molah sepandok mahal-mahal, pasya kita gik lelah-lelah ngembak sepandok tengah panas dengan baju belangak kita ya, sampei berpeluh-peluh nulak sepandok musin Padang Merdeka, tapi masalahnya penghayatan kita terhadap RasuluLLAH SAW ya di dalam kehidupan kita ya sekda. Kamek yakin, mun ditanyak ngan Nabi samada nya setuju sik mun benda-benda camtok dipolah, nya akan jawab sik perlu – bahkan nyusah kita agik. Bukankan agama ya bersifat mudah? Senang? Nabi kata “Aku diutuskan dengan agama yang mudah”. Pasya banyak gik ayat-ayat al-Qur’an yang boleh jadi bukti yang kita sik perlu bersusah-payah dalam molah benda-benda agama, smaa lah ngan merai Maulidur Rasul.

Pada kamek, yang penting ialah camne cara kita menghayati akhlak RasuluLLAH ya. Kadang-kadang kita gago molah sepandok tok, takut-takut lain niat kita – takut-takut kita berniat molah sepandok kacak-kacak hanya kerana mok menang. Pasya bukan main gik kacak-kacak barisan time belarak, tapi pengisian sebenar ataupun bahasa orang putih – the basic gist of the program, sik diberik perhatian ataupun sik ditekankan. Sik betul camya.

Lebih malang gik kadang-kadang ya, kita mpun semangat mok nyambut Maulidur Rasul ya sampei ada kes sik semayang Subuh, bukan main semangat nak pegi Padang Merdeka, pukul 5 pagi time urang belum azan dah keluar dari rumah. Toklah yang kamek maksudkan ngan berlebih-lebih sik kenak pada tempat tadik.

Pasya, mun dari aspek time dalam berlarak ngan sambutan ya, kadang-kadang melayan gilak rasa excited sampei berlaku masalah ikhtilat (hubungan lelaki ngan perempuan), tiba-tiba jak kita boleh rapat ngan perempuan, bukan main gik tetak lekak-lekek berguro ngan perempuan, mun sik pun kadang-kadang sama ngan kawan-kawan kita kedirik. Bukan main gik perangai galak kita ya. Sedangkan RasuluLLAH SAW sik pernah pun ngajar perkara-perkara camya. Coba kita bayangkan mun kita berada di depan Rasul dalam keadaan kita camya, bukan main marah ngan kecewa gik Nabi ngan kita. Jadi, point keduak tek ialah jaga akhlak kita, sebab RasuluLLAH diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.

Sigek gik yang kamek tangga dalam masyarakat kita kat Sarawak tok, kita gik banyak ngamal benda pelik-pelik. Suka makei ilmu tok lah, ilmu ya lah- konoknya tek pakei keselamatan diri. Banyak kamek tangga urang kita makei ilmu-ilmu camtok. Kadang-kadang minyak pa benda tah diengkah dalam botol, pasya diikat ngan kain mirah, konoknya tek pakei njaga rumah time kita sekda kat rumah. Mun kita kata kit amok ngikut Nabi, mok masuk syurga, nakpa nama benda camya? Nabi sik pernah pun ajar kita makei guna-guna, sihir, ngan benda-benda lain. Apatah gik nyimpan antu raya ngan jin pakei nulong kita. hukumnya kata ulama’ boleh jatuh syirik! – masuk neraka selama-lamanya sebab kita pandei-pandei ncarik kuasa lain selain ALLAH SWT sebagai pertolongan. Sedangkan ayat-ayat al-Qur’an ngan do’a-do’a nok diamal Nabi SAW banyak, jadi kenaklah kita ncarik penyakit carik benda lain sedangkan RasuluLLAH dah embak banyak cara? Nakkah kita madah Rasul ikutan kita? Nakkah dalam kalimah syahadah kita ngata kita ikut Nabi? Jadi, kenaklah kita gik melanggar juak peraturan agama ya?

Sigek benda kamek selalu juak tangga, kita tok gik maseh terikat ngan trauma terhadap benda nok kita sebut sebagai “ponek”. Contoh mun Ali nak minum kopi pagi sebelum turun kerja, tapi pasya tiba-tiba sik jadi, lalu dalam perjalanan ke opis Ali eksiden, lalu ada la yang ngata nya ponek sebab sik minum kopi pagi tadik. Orang tua selalu kata, jamah lok sikit, kelak ponek kelak. Kamek sarankan dah sampei masanya kita urang yang bertamadun tok tinggal jak benda-benda camya. Yang kita heran, kadang-kadang urang dah berpangkat Professor, nok belajar jauh-jauh, tinggi-tinggi pun gik percayak ngan superstitious macam tok. Ngarut jak semua ya. Dengan Nama ALLAH, sikda benda yang digelar ponek. Ya pun dikhuatiri boleh menjatuhkan aqidah kita sampei ke tahap syirik, seolah-olah ponek ngan makanan ya lebih berkuasa menentukan nasib kita. Mintak sama-sama dijauhkan lah owh, wal ‘iyya dzabiLLAH.

Sebenarnya, mun dikira, banyak gik benda-benda mok disebut kat sitok. Tapi ngenang dah akhir malam tok (esok kamek ngikut kontinjen UPM belarak, jadi mesti bangun awal), kamek rasa setakat tok jaklah. Cuma saranan kamek ringkas ngan pendek jak, masih ada gik yang perlu diperbaiki dalam believe-system kita tok dan juak cara hidup kita tok, agar aqidah kita sejahtera, sekda unsur-unsur khurafat yang boleh menjadi punca kepada kekafiran, ngan agar hidup kita tok sentiasa dalam landasan Islam, Al-Qur’an dan Sunnah.

Wassalam.

(P/S: InsyaALLAH, bagi mereka yang tidak faham Bahasa Sarawak, entri ini akan direpublished dalam Bahasa Melayu).

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

2.10am,

10 Mac 2009,

Bintulu, Sarawak.

Kisah perempuan miskin, lembu tua dan Gaza

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.

Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.

Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.

ImageDengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.

Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

ImageSebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.

Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.

Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)!

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.

"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.

ImageJusteru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.- azm

Sekiranya anda bersimpati, sudilah hulurkan sumbangan,demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298

(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)
 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.