GAMIS : Bajet 2010 Harus Menjurus Ke Arah Mengatasi Masalah Pengangguran Siswazah

Ucapan bajet bagi tahun 2010 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2009 lepas mengundang pelbagai respon serta reaksi rakyat tanpa mengira lapisan. Ada yang gembira ketika bajet ini dibentangkan malah tidak kurang juga ada yang sedikit kecewa dengan peruntukan-peruntukan yang diumumkan.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) selaku gerakan mahasiswa yang membawa suara mahasiswa Malaysia menyambut baik terhadap tiga strategi bajet bagi tahun 2010 yang bertemakan “1Malaysia, Kemakmuran Bersama” yang telah dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri baru-baru ini. Semasa pembentangan tersebut, beliau telah menyatakan bahawa bajet pada kali ini memberi fokus kepada mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) supaya ianya selaras dengan kewujudan gagasan 1Malaysia.

Namun demikian, pihak GAMIS sedikit kecewa kerana bajet ini dilihat masih tidak mampu untuk mengatasi masalah pengangguran graduan Malaysia yang semakin meruncing. Kita melihat tiada plan tindakan khusus yang disusun bagi mengatasi masalah ini. Mengikut maklumat dan data dari Jabatan Statistik Negara didapati jumlah siswazah yang menganggur di Malaysia sehingga tahun 2008 adalah dalam sekitar 80,000 orang yang mana mewakili 13 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang menganggur.

Jumlah ini mengalami peningkatan berbanding pada tahun 2006 sehingga 2007, jumlah siswazah menganggur adalah sekitar 60,000 orang. Dalam pada itu dikatakan jumlah belia dan graduan Melayu yang menganggur adalah lebih tinggi kerana mereka dikatakan kurang kepakaran dan kemahiran. Isu pengangguran di kalangan siswazah bukanlah satu isu yang baru di Malaysia. Tahun demi tahun masalah ini pasti berulang dan kadar peningkatan ini menjadi beban kepada kerajaan dan masyarakat.

Di Malaysia, kita masih lagi tercari-cari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah graduan menganggur. Persoalan yang timbul tidak dapat tidak mesti dikaitkan dengan teori ekonomi klasik iaitu penawaran dan pembekal. Lebih mudah, jika ada permintaan atau penawaran, sudah pasti ada pihak yang akan memberikan bekalan. Daripada angka statistik pengangguran, tafsiran yang boleh dibuat ialah telah berlaku lambakan bekalan tenaga kerja berbanding keperluan sebenar atau juga disebut penawaran tidak seimbang dengan bekalan.

Kita tidak mahu isu pengangguran siswazah ini hanya dikaitkan dengan teori ekonomi klasik ini semata-mata tanpa ada tindakan khusus dilakukan bagi mengatasi masalah ini. Di era dunia global masa kini, persoalan lebihan atau lambakan tenaga kerja tidak lagi relevan, atau mungkin tidak sepatutnya wujud. Ini kerana sepatutnya tenaga kerja atau individu pencari kerja boleh menawarkan khidmat mereka di mana sahaja di dunia ini.

GAMIS menyatakan pendirian supaya isu graduan menganggur ini dititik beratkan dan seharusnya ia menjadi salah satu daripada cabangan NKRA yang diperkenalkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia agar matlamat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai dengan lebih berkesan. Pihak kita berpandangan bahawa di bawah cabang meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan yang terdapat dalam NKRA seharusnya diletakkan strategi khusus yang dilihat boleh membawa ke arah mengurangkan masalah pengangguran siswazah Malaysia.

Ini berasaskan kepada konsep bahawa dalam negara yang pesat membangun, peranan universiti sebagai pusat pengajian bagi membolehkan mahasiswa mendalami serta mengembangkan ilmu pengetahuan, adalah sama penting peranannya sebagai pusat untuk melatih golongan profesional. Pendidikan di universiti bukan sahaja bertujuan menggalakkan perkembangan mental dan rohani mahasiswa, tetapi juga untuk mengasah kemahiran mereka bagi memenuhi tuntutan pekerjaan profesional dan teknikal di kalangan golongan muda dan seterusnya akan menjadi aset kepada pembangunan ekonomi negara.

Dalam hal ini, GAMIS berpandangan bahawa strategi pendidikan yang berkesan perlu diperkasakan di seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia supaya dapat melahirkan graduan yang lengkap dengan pelbagai kemahiran. Justeru itu, peranan pendidikan secara am serta peranan pendidikan tinggi secara khusus dalam memberi latihan ke arah melengkapkan siswazah Malaysia dengan kemahiran dan sikap yang sesuai dengan tuntutan pekerjaan adalah sangat wajar dikaji.

“Kementerian Pengajian Tinggi juga harus menilai semula berkaitan pertumbuhan Institut Pengajian Tinggi terutamanya swasta agar kursus yang ditawarkan benar-benar mengikut keperluan. Asalnya, pertumbuhan pelbagai institusi ini adalah sesuatu yang positif kerana menggambarkan kecenderungan rakyat Malaysia terutamanya anak muda kepada ilmu. Namun, apa yang dibimbangkan ialah pertumbuhanya yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini seolah-olah menunjukkan pendidikan menjadi barang niaga semata-mata. Hasil daripada system yang tinggi kosnya ini masih gagal melahirkan graduan yang poduktif di samping masih gagal memberikan impak yang sepatutnya kepada kemajuan Malaysia” ujar Presiden GAMIS, Mohd Idris Bin Mohd Yussoff.

Melalui strategi yang kedua, iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan di bawah kata kunci meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, pihak kami menyambut baik langkah kerajaan dalam menjaga kebajikan para penuntut universiti dan juga langkah bagi menggilap kemahiran tenaga kerja supaya menepati keperluan pasaran. Walau bagaimanapun, GAMIS berpandangan bahawa isu peningkatan kadar pengangguran siswazah ini tidak hanya boleh diatasi dengan penuntut-penuntut di setiap IPT diberikan pelbagai kemudahan sebelum dan semasa mereka bergelar penuntut universiti.

Kerajaan perlu mengorak langkah lebih laju ke hadapan dalam mengkaji serta memperkenalkan strategi ‘menjaga kebajikan’ graduan setelah mereka melangkah keluar dari pusat pengajian masing-masing. Ini adalah termasuk usaha kerajaan dalam mengarahkan hala tuju graduan ini supaya dapat mengisi tuntutan pasaran negara agar ianya selari dengan usaha untuk merencanakan golongan muda sebagai agen kepada pembangunan ekonomi negara.

Bagi usaha pihak kerajaan dalam melatih dan menggilap tenaga kerja supaya menepati keperluan pasaran adalah satu langkah yang dilihat bertepatan dengan keperluan konteks masa kini. Namun, setelah diteliti bajet yang diperuntukkan dalam merealisasikan agenda ini hanyalah sekadar menaik taraf, membiayai pengurusan, menyelenggara, mengiktiraf sijil kemahiran dan membina institusi-institusi teknikal semata-mata. Perkara-perkara ini telah pun dilaksanakan secara berperingkat dalam strategi peningkatan ekonomi yang lepas, tambahan pula ianya telah disentuh dalam pembentangan bajet bagi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) yang lepas.

Biarpun dilaksanakan secara berperingkat, seharusnya kita menarik nafas lega jika sekiranya kadar pengangguran graduan dapat diturunkan. Kita masih belum melihat bahawa kaedah ini dapat mengurangkan kadar peningkatan pengangguran di kalangan graduan Malaysia.

Pihak kami menyarankan agar peruntukan yang diberikan kepada institusi-institusi kemahiran ini tidak sekadar bertumpu kepada proses menaik taraf dan penyelenggaraan semata-mata. Kita maklum bahawa peruntukan ini adalah untuk menarik golongan muda termasuk golongan siswazah untuk mengikuti latihan-latihan yang telah disediakan di pusat-pusat latihan tersebut. Namun, GAMIS berpendapat bahawa perlunya kepada keperluan terhadap menstrategikan kepakaran dan kemahiran yang dapat digilap daripada golongan anak muda ini supaya dapat bersaing untuk memenuhi kehendak pasaran global agar masalah pengangguran graduan dapat diatasi.

Besar harapan di pihak GAMIS agar strategi yang dibentangkan dalam Bajet 2010 ini dapat diperhalusi lagi kaedah dan langkahnya supaya ianya dapat mengatasi masalah pengangguran di kalangan siswazah Malaysia dengan sekurang-kurangnya ia tidak mengalami peningkatan. Biarpun faktor pengangguran graduan ini berpunca dari banyak sebab namun, GAMIS melihat strategi pembangunan ekonomi yang dibentangkan melalui bajet ini harus menjadi ‘tepukan sedar’ bagi pihak kerajaan khususnya dan rakyat Malaysia amnya dalam memahami implikasi dasar yang penting terhadap usaha-usaha merencanakan mahasiswa sebagai agen pembangunan ekonomi negara.


Disediakan oleh,


SETIAUSAHA AKHBAR / MEDIA,
PRESIDEN,
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA,
(GAMIS)


0 comments:

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.