Fiqhus Siyam: "Saya Nak Ganti Puasa 9 Tahun Lepas, Tapi..."

Baru-baru ini, seorang teman telah bertanya kepada saya tentang niat qadha puasa untuk 9 tahun lepas, dan adakah perlu digandakan puasa tersebut.

Penerangan saya kepadanya:

Saya tidak berapa pasti tentang niat qadha puasa 9 tahun yang lepas, cuma berdasarkan kefahaman saya dan apa yang saya pelajari, cukup sekadar saudara menyatakan di dalam niat saudara untuk qadha puasa-puasa yang lepas, tambahan pula saudara sendiri lebih tahu bahawa puasa saudara itu saudara niatkan untuk qadha’ puasa 9 tahun yang lepas, maka itu sudah dikira sekali ke dalam niat saudara. Tidak ada lafaz yang spesifik untuk niat puasa seperti ini, dan tidak pernah diriwayatkan dalam mana-mana nas yang menyebut tentang niat yang spesifik untuk satu-satu ibadah, kecuali ibadah haji. Itupun masih lagi di dalam perbahasan ulama’. Kita tinggalkan bab niat haji itu di situ. Yang penting, niat saudara sudah ada untuk menggantikan puasa saudara itu.

Berkenaan dengan menggandakan bilangan puasa, perkara tersebut tidak pernah dijelaskan dalam mana-mana kitab fiqh. Adapun tentang soal fidyah, perkara itu memang ada.

Gandaan fidyah mengikut bilangan tahun puasa itu ditinggalkan adalah pendapat di dalam mazhab Syafi’e. Adapun menurut jumhur ulama’ selain mazhab Syafi’e iaitu menurut mazhab Maliki dan Hanbali, fidyah tersebut tidak perlu digandakan, tetapi boleh ditunaikan mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan, walaupun puasa tersebut adalah puasa 10 tahun lepas yang belum diganti.

Selain daripada dua pendapat yang masyhur ini, ada lagi pendapat yang lebih ringan iaitu pendapat mazhab Hanafi yang mengatakan cukup dengan hanya bertaubat / memohon ampun dan menggantikan puasa tersebut mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Inilah pendapat yang ditarjihkan (diperkuatkan) oleh Mufti Mesir sekarang ini, iaitu Dr Ali Jum’ah Muhammad.

Ringkasannya:

Puasa yang ditinggalkan pada masa yang lalu, tiada khilaf di kalangan ulamak bahawa ia wajib diqadha; satu hari ditinggalkan diganti satu hari juga. Kecuali jika seseorang itu tidak mampu berpuasa, barulah digantikan dengan fidyah. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak. Yang ada khilaf ialah jika puasa yang dtinggalkan itu telah melepasi tahun (yakni telah memasuki Ramadhan baru) namun masih belum diqadha lagi; adakah diwajibkan qadha puasa sahaja atau diwajibkan juga fidyah bersama puasa. Ada dua pandangan ulama’;

Pertama: menurut mazhab Hanafi; memadai dengan qadha/ganti dan mohon ampun sahaja. Tidak ada sebarang denda dalam bentuk fidyah sekalipun telah menjangkau tahun kerana tidak ada nas al-Quran mahu pun as-Sunnah yang sahih menyebut tentang hal ini.

Kedua: menurut jumhur ulama’ (mazhab Imam Malik, Syafi'ie dan Ahmad); puasa yang masih belum diganti sedangkan telah masuk Ramadhan yang baru, hendaklah dibayar fidyah di samping qadha puasa. Bagi sehari puasa yang belum diganti, maka satu fidyah yang mesti dikeluarkan. Itu bagi orang yang sengaja melewat-lewatkan qadha puasanya tanpa sebarang keuzuran hingga tiba Ramadhan yang baru. Fidyah itu adalah sebagai kaffarah ke atas kelalaiannya. Adapun jika kerana keuzuran –seperti ia terlantar di hospital selama 11 bulan dan tidak mampu berpuasa sepanjang tempoh sakit itu-, tidaklah wajib atasnya membayar fidyah. Memadai dengan ia mengqadha puasa sahaja.


Menurut mazhab Syafi'ie; jumlah fidyah bertambah dengan bertambahnya tahun yang dijangkaui. Jika menjangkaui setahun sahaja, hanya satu fidyah yang perlu dikeluarkan bagi satu hari puasa yang belum diganti. Jika menjangkau tahun kedua, dua fidyah yang perlu dikeluarkan. Dan begitulah seterusnya. Adapun jumlah puasa yang perlu diqadha tidak bertambah. Sebagai contoh; seorang ada puasa yang ditinggalnya 10 tahun lalu selama 5 hari, lalu hari ini baru nak diqadhanya. Maka jumlah hari puasa yang perlu diqadha ialah 5 juga. Adapun fidyah, bagi satu hari perlu dikeluarkan 9 fidyah. Bagi keseluruhan 5 hari ialah 45 fidyah (5 x 9). Maksudnya, bilangan puasa yang perlu diganti ialah 5 hari dan pada masa yang sama membayar fidyah sebanyak 45 fidyah.

Namun menurut mazhab Imam Malik dan Ahmad; jumlah fidyah itu tidaklah bertambah. Hanya satu fidyah sahaja yang wajib dikeluarkan bagi satu hari puasa walaupun berbilang tahun telah dijangkaui.

Untuk lebih ringkas lagi:

Dalam mazhab Syafie: qadha puasa dan fidyah (berganda dengan tahun yang dijangkaui).

Dalam mazhab Maliki dan Hanbali: qadha puasa dan fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Dalam mazhab Hanafi: qadha puasa sahaja.

Dari segi kadar fidyah pula:

Kadar satu fidyah ialah secupak beras (menyamai ukuran hari ini; 650 gram beras). Menurut mazhab Hanafi; harus dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu. Malah beliau mengharuskan menunaikan fidyah itu dengan memberi makan orang miskin, yakni membuat makanan dan kemudian menjemput orang miskin menikmatinya.

Menurut mazhab Syafi'ie, kadar makanan itu ialah secupak beras untuk sehari puasa.

Menurut Mufti Mesir sekarang (Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah); fidyah bagi sehari yang ditinggalkan ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin sebanyak dua hidangan; satu hidangan berbuka dan satu hidangan sahur dengan makanan yang paling baik yang dimakan.

Menurut Syeikh 'Atiyah Saqar (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar); satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan pagi dan malam.

Di samping melakukan fidyah dan qadha puasa ini, seseorang itu hendaklah melakukan taubat yang bersungguh-sungguh dan menyesal akan perbuatannya meninggalkan ibadat puasa itu.

WaLLAHuta’ala a’lam.



Rujukan:

Kitab Fikah Mazhab Syafi’e Fiqh Manhaji Jilid 2 Bab Puasa m/s 444 susunan Dr Mustofa Al-Bugho, Dr Mustofa Al-Khin dan Ali As-Syarbaji.

Blog Ustaz Ahmad Adnan Fadzil


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
8.43am,
Sabtu, 12 September 2009,
Kuching, Sarawak.

Fiqhus Siyam: Jangan Risau! Anda Belum Batal Puasa...

Dalam entri kali ini, saya masih lagi membicarakan tentang Fiqhus Siyam/ Fiqh Puasa. Apabila menyebut tentang puasa ini, saya yakin persoalan yang banyak ‘menghantui’ minda kebanyakan daripada kita ialah perkara-perkara yang membatalkan puasa. Bulan Ramadhan yang sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk merangkul trofi emas bergelar taqwa itu tidak sepatutnya menyebabkan fokus kita lari daripada amalan-amalan yang lebih berfaedah daripada terlalu memikirkan tentang perkara yang membatalkan puasa.


Sedangkan apabila ditemukan dan dihimpunkan semua pendapat tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dari setiap kalangan mazhab, kita dapat simpulkan bahawa hanya TIGA perkara sahaja yang mencapai ijma’antara semua mazhab di dalam perkara yang membatalkan puasa; bersetubuh di siang bulan Ramadhan, makan dan minum. Di dalam ketiga-tiganya pun masih ada lagi ruang lingkup furu’ / cabang yang diperdebatkan. Maka janganlah risau akan status puasa anda itu. Selagi tidak makan, minum, mengeluarkan mani dan berjimak, insyaALLAH puasa anda masih sah dan anda boleh fokus kepada perkara yang lebih bermanfaat. Islam tidak pernah menyempitkan urusan umatnya!

Salah satu faktor yang saya lihat, yang membawa kepada salah faham tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa ini ialah apabila penerangan yang sebenar-benarnya yang menepati maksud di dalam nas-nas tidak disampaikan kepada para pelajar, baik yang bersekolah rendah mahupun menengah.


Saya masih ingat, salah satu daripada perkara yang pernah diajarkan kepada saya ketika di sekolah rendah dulu ialah korek hidung dan telinga boleh membatalkan puasa. Maka natijahnya, dari pagi sampai ke waktu berbuka menahan gatal di dalam hidung dan telinga, kerana ingin menjaga puasa.


Satu lagi perkara, satu soalan yang pernah diajukan kepada saya tentang keluar mani akibat mimpi. Kebanyakan (walhal dua-tiga orang sahaja yang pernah bertanya kepada saya tentang bab ini)bertanya samada puasa mereka batal ataupun tidak kerana terkeluar mani semasa tidur selepas Subuh.

Saya tanya, apa yang menyebabkan awak rasa ianya membatalkan?

Kata mereka, sebab di dalam mimpi itu kita sengaja bersetubuh ataupun mengeluarkan mani kita.

Semua ini perlukan pencerahan semula.


Selain daripada terlalu banyak salah faham terhadap puasa serta perkara-perkara yang membatalkan puasa ini, saya berpendapat bahawa ‘kita’ yang mengajar fiqh kepada orang ramai terutamanya dalam bab puasa ini, kita terlalu banyak mengutarakan masalah furu’pantang larang dalam puasa yang kadangkala tidak pernah berlaku, malah apabila diutarakan untuk dijadikan pegangan, pendapat itu boleh jadi semakin menyusahkan dan menyempitkan orang ramai.

Mungkin bagi sesetengah yang perasan, mereka akan kata saya seolah-olah sealam dengan Dr Asri Zainul Abidin dalam masalah ini. Saya khuatir juga kalau ada yang mula melabel “Ini tak lain, kaki-kaki wahabi lah ni!”.

Walaupun mungkin ada yang berpendapat demikian, saya sememangnya lebih selesa dengan prinsip yang dinyatakan oleh Dr Asri itu. Fitrah agama ialah mudah, jadi mengapa perlu disempitkan dengan masalah-masalah yang kadangkala belum berlaku. Maka, jadikanlah puasa sebagai medan pasaraya untuk membeli pahala sebanyak-banyaknya, apatah lagi dengan kad-kad diskaun yang ALLAH telah berikan, ditambah pula dengan nilai rebate yang lumayan. Puasa bukannya masa untuk banyak memikirkan soal batal puasa.

Inilah juga yang ditekankan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi apabila membicarakan bab puasa ini. beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar ada dalil sandarannya berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah dan ijma’ ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama-ulama silam, yang menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah tindakan yang kurang sesuai. Apabila ijtihad dalam bab ini bercambah, orang ramai akan semakin sukar untuk menjalani ibadah puasa ini dengan tenang.

Syaikhuna Dr. Yusuf Al-Qaradhawi

Maka di sini, saya dapat simpulkan sekurang-kurangnya tiga perkara di dalam menghadapi isu-isu perkara yang membatalkan puasa ini:

1. Bagi yang telah lama tidak menadah kitab ataupun mendengar kuliah agama, ataupun yang telah lama meninggalkan bangku sekolah, suatu perkara yang baik untuk dilakukan ialah sentiasa update ilmu-ilmu yang pernah dipelajari. Barangkali 10-20 tahun yang lepas, kita berpegang dengan ‘korek hidung dan telinga membatalkan puasa’ sedangkan apabila kita dengar kuliah Ustaz Azhar Idrus ataupun baca kitab fiqh baru-baru ini, rupa-rupanya boleh melombong emas dan galian semasa puasa, cuma makruh hukumnya kalau dilakukan atas alasan yang sia-sia. Korek yang membatalkan ialah apabila melebihi had batin seperti tulang hidung, gegendang telinga, ada ulama’ mengatakan sampai ke otak dan perut.

2. Sebaik-baik ilmu yang diajarkan itu ialah ada sandarannya, serta menepati maksud-maksud nas. Pendetailan juga perlu dikemukakan agar pelajar tidak tersilap dalam memahami apa yang disampaikan. Keluar mani yang membatalkan puasa ialah yang disengajakan pada siang hari bulan Ramadhan, dan tidak batal akibat mimpi walaupun di dalam mimpi itu kita berikhtiar untuk melakukan perkara tersebut.

3. Skop furu’ yang membatalkan puasa, jika tidak perlu dikemukakan untuk pegangan orang ramai, lebih baik dielakkan. Apabila orang mendengar 10 perkara yang membatalkan puasa pun sudah merasakan sedikit keberatan, apatah lagi mendengar 57 perkara yang boleh membatalkan puasa, lebih sempit dada untuk menjalani urusan agama.


‘Alaa kulli haal, apa yang tercatat di sini adalah lebih kepada pandangan peribadi. Saya tidak berniat untuk mengomentar atau mengkritik berlebihan terhadap guru-guru agama ataupun ulama’, malah saya menghormati mereka, dan saya juga berpegang dengan ijtihad-ijtihad mereka, maka siapalah saya untuk condemn para ilmuwan ini.

Cuma di peringkat kita, mungkin ada baiknya fokus kita lebih tertumpu kepada cita-cita untuk menggunakan peluang Ramadhan sebaik-baiknya dan mengurangkan serba sedikit kerisauan yang berakar dari perasaan takut batal puasa kita.


Selamat Menjalani ‘Ibadah Puasa.


WaLLAHuta’ala a’lam.

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

10.50pm,

Jumaat, 4 September 2009,

Kuching, Sarawak.

 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.