Takziah 1430H/2009M
“Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Tahun baru 1430H dan tahun baru 2009M. Satu kalendar Qamari yang berpaksikan perubahan, satu lagi kalendar matahari yang bermula mengikut perkiraan tahun kelahiran Nabi Isa a.s.
Ajal yang makin hampir
Saban tahun kita menyambut kedua-duanya... Tetapi, sedarkah kita yang sebenarnya umur kita yang bertambah sebenarnya merupakan satu kerugian bagi kita sekiranya kita gagal memanfaatkannya? Saya rasa adalah lebih wajar bagi kita mengucapkan takziah setiap kita menyambut tahun baru ataupun pada hari lahir supaya kita dapat memperingati diri kita dan sahabat-sahabat kita, bahawa kita hidup bukan semakin lama sebenarnya. Tetapi, kita semakin menghampiri kematian. Detik-detik yang berlalu umpama countdown sehingga tiba ajal yang mana datang tepat pada masanya tanpa dapat diawalkan walau satu saat dan tidak dapat dilewatkan walau satu saat. Tempoh hayat kita menjadi semakin singkat sedang kita tidak mengetahui bilakah tempoh yang dikurniakan itu akan berakhir.
Hayat yang panjang tidak memberi makna apa-apa sekiranya gagal dimanfaatkan. Janganlah kita berharapkah umur yang panjang, berdoa di malam Nisfu Sya’ban sedangkan ia mungkin melalaikan kita sebagaimana Firaun yang Allah kurniakan umur melebihi 500 tahun yang akhirnya menyebabkan dia berubah menjadi lebih jahat daripada seorang raja yang zalim kepada seorang raja yang zalim yang mengaku sebagai Tuhan.
Sebenarnya, yang perlu kita menadah tangan ke hadrat Ilahi ialah memohon keberkatan umur. Usia yang berlalu biarlah diberkati olehNya.
Save Palestin
Wa akhiran, sabda Nabi s.a.w.:
“Seorang Muslim ialah orang yang menyelamatkan orang Islam yang lain daripada lisannya dan tangannya. Dan orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah ke atasnya.”
Berdasarkan hadis sahih di atas, menjadi kewajipan bagi kita untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin yang berdepan dengan ujian yang cukup besar, berperang dengan Israel laknatullah. Kirimkanlah doa memohon pertolongan Allah bagi memenangkan mereka ke atas tentera zalim Zionis. Hulurkanlah bantuan kemanusiaan dalam bentuk pakaian, wang ringgit, makanan, kesihatan dan sebagainya. Bantulah mereka selagi kita masih mampu membantu mereka kerana kita khuatir Allah menarik balik nikmat aman dan kesenangan yang dikurniakan kepada kita. Di saat itu, tiada lagi upaya kita untuk membantu mereka bahkan diri kita sendiri belum tentu dapat mengecapi nikmat tersebut.
Timbalan Presiden,
Ikatan Studi Islam Sarawak.