Da'wah: Teori Mantap, Praktikal Tak Ke Mana?

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


AlhamduliLLAH, setelah sekian lama menyepi akhirnya saya diberikan kekuatan oleh ALLAH SWT untuk menulis semula. Mungkin tidaklah sehebat dulu (itupun kalau dulu memang hebat), tetapi saya sedang mengumpul kekuatan untuk menulis semula. Terasa lemau akibat kekontangan idea & masa lebih banyak diluangkan untuk aktiviti luar yang membabitkan jamaah. AlhamduliLLAH, walaupun ruang da’wah di alam maya tidak dapat dimanfaatkan seperti dahulu, kesempatan untuk memperkasakan jamaah & da’wah di luar ruang lingkup alam maya juga agak memperkayakan jiwa. Semoga ALLAH berikan kekuatan untuk terus menulis untuk da’wah ilaLLAH wa ridhaLLAH.


Menyebut tentang da’wah, baru pagi semalam semasa dalam perjalanan menuju ke pejabat, saya sempat berbincang dengan seorang Ustaz yang agak veteran dalam bidang da’wah ini. Ustaz tersebut yang merupakan seorang Penyelia Zon di salah satu bahagian di Sarawak berkhidmat selama lebih daripada 10 tahun bersama NGO Islam yang berdiri kukuh di Sarawak, iaitu HIKMAH (Harakah Islamiyyah). Berbincang tentang pengalamannya berda’wah di kawasan pedalaman yang agak jauh daripada gelombang kemajuan, beliau telah memberikan satu komentar yang amat memberikan kesan ke dalam hati, justeru sedikit sebanyak menempelak golongan da’wah yang sangat rancak membicarakan teori da’wah melalui bengkel, ijtima’, muktamar, tamrin & sebagainya, tetapi hakikatnya sangat kurang dari sudut praktikal ataupun hands-on.


Katanya:

“Nang rami urang boleh nyebut pasal teori da’wah, tapi coba sidak pergi ke pedalaman nun merasa kedirik camney rasa berda’wah dengan urang masayarakat Iban di pedalaman. Kamek dah 15 tahun dudok di Ulu Simunjan nun. Kamek kadang-kadang nangga urang nyebut teori berda’wah tapi praktikal sikda, sik guna. Kita nang kuat nyebut pasal da’wah tapi mun disuroh pergi ke pedalaman nun, bermalam kat rumah panjang dengan asuk ngan dak babi, sikboh lamak, seminggu-duak jak cukuplah..ya pun belum tentu maok”

Dalam Bahasa Melayunya:

“Memang ramai yang boleh bercakap tentang teori dalam berda’wah, tetapi adakah mereka sanggup untuk turun ke pedalaman untuk merasai sendiri bagaimana cabaran berda’wah kepada masyarakat Iban di pedalaman. Saya sudah menetap di Ulu Simunjan (untuk menjalankan tugas sebagai penda’wah & penyelia zon) selama 15 tahun. Saya kadangkala melihat golongan tertentu sangat rancak membicarakan teori da’wah. Akan tetapi tiada gunanya semua itu tanpa praktikal. Kita memang kuat menyebut tentang da’wah tetapi apabila disuruh untuk pergi ke pedalaman untuk bermalam di rumah panjang dengan keadaan bergelumang dengan anjing dan babi selama seminggu-dua, itupun belum tentu sudi”


Ya! Saya amat bersetuju dengan kata-kata beliau. Kebanyakan daripada kita yang mengaku sebagai ahli gerakan Islam & orang yang terjun meletakkan diri di dalam golongan penda’wah hanya galak berbicara soal teori menyentuh hati, strategi dan sebagainya yang dipetik daripada mana-mana buku. Akan tetapi tidak ramai yang sanggup untuk melakukannya secara praktikal.

Kita sentiasa menyebut tentang kewajipan berda’wah termasuk kepada yang non-muslim, tetapi sikap kita yang asyik sentiasa mengelak dengan berbagai alasan menyebabkan kita tidak dapat mempraktikkan skill-skill yang diperoleh daripada tamrin & sebagainya ke dalam dunia yang nyata. Kita masih tidak mampu untuk memecahkan comfort-zone barrier yang memagari sekeliling kita. Akhirnya teori tetap tinggal teori yang hanya terletak di atas kertas & setidak-tidaknya dibaca berulang-ulang kali & dibincangkan di dalam usrah, ijtima’ & sebagainya. Maka kita terus gagal untuk melaksanakan perintah ALLAH untuk menyebarluaskan gelung rangkaian Islam. Masih jauh lagi kita daripada kejayaan andai pagar-pagar zon selesa tidak dirobohkan.


Saya amat merasa kagum dengan usaha NGO Yayasan Amal Malaysia yang semakin menampakkan keprihatinan mereka untuk deliver Islam kepada masyarakat melalui aktiviti-aktiviti amal mereka. Salah satu daripada usaha mereka yang boleh dibanggakan ialah usaha mereka untuk menjaga kebajikan masyarakat Iban Ulu Kota, Pakan di kawasan pedalaman Sarikei. Sudah beberapa kali siri lawatan diadakan dengan tujuan untuk mengembangkan lagi masyarakat Iban Muslim di sana. Baru-baru ini di dalam salah satu siri lawatan mereka yang lebih dikenali sebagai ‘Ziarah Da’wah’, mereka telah berjaya mengadakan upacara pecah tanah bagi pembinaan surau demi kepentingan masyarakat Iban Muslim di sana. Alangkah baiknya jika usaha-usaha seperti ini dirancakkan di bumi Sarawak ini bagi menyuburkan lagi tanah Sarawak yang kian kontang daripada ruh-ruh keimanan.


Walaupun begitu, saya tidaklah menyangkal usaha sesetengah golongan yang terus menjalankan peranan mereka untuk menyampaikan da’wah kepada masyarakat Bandar. Usaha-usaha untuk membawa islah ke dalam masyarakat tidak mengira tempat sememangnya wajib diteruskan. Akan tetapi, perlu dijenguk-jenguk juga keadaan masyarakat di luar bandar yang jauh di pedalaman. Jangan dibiarkan bersawang ruang ‘mengundang hidayah’ yang kosong itu. Usaha untuk membawa & memperkayakan Islam di luar Bandar perlu diperhebatkan agar masyarakat luar Bandar dapat mengenali akan keindahan Islam. Martabat masyarakat juga dapat dipertingkatkan kerana cahaya Islam yang menaungi mereka.


Adapun, tulisan ini sebenarnya lebih kepada teguran kepada diri yang berbuih mulut menyebut tentang da’wah tetapi hakikatnya masih banyak lagi yang tidak mampu dilaksanakan. Sebagai seorang yang masih lagi bertatih di dalam rencana da’wah ini, saya merasakan bahawa perjalanan saya sendiri untuk ke tahap yang dikatakan oleh Ustaz itu tadi masih sangat jauh. Walaupun merasa lemah & tidak berupaya untuk bergerak sehingga ke tahap itu, saya rasa tidak sayugialah untuk saya melepaskan peluang mengisi ruang-ruang yang boleh digunakan untuk terus menyampaikan mesej Islam. Saya doakan ALLAH SWT kurniakan kekuatan kepada kita bersama untuk terus menyeru kepada Islam melalui apa jua medium. Semoga kita sama-sama dikurniakan kejayaan di dunia & di akhirat! Ameen Ya ALLAH!


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

2.06pm,

6 Mac 2010, Sabtu,

Kuching, Sarawak.

Pembangkang Sarawak bersatu di bawah Pakatan Rakyat

MIRI, 10 Jan: Malam 9 Januari lalu menjadi detik bersejarah politik Malaysia khususnya di Sarawak apabila pemimpin PAS, PKR, DAP dan SNAP telah bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat.

Perkara itu dibuktikan dengan berlangsungnya Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat di sini yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Ini merupakan kali pertama para pemimpin keempat-empat parti di Sarawak itu bersama di dalam majlis seumpama itu.

Pengarah Strategi PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar turut sama hadir bagi menyemarakkan gelombang perubahan yang bakal berlaku di negeri ini.

Di dalam ucapannya, Tian Chua menegaskan kini merupakan masa terbaik untuk rakyat melakukan perubahan untuk menyelamatkan negara daripada masalah-masalah yang telah melanda akibat daripada kezaliman kerajaan BN.

Semua wakil daripada parti-parti yang menyertai majlis itu turut menyampaikan ucapan.

PAS Sarawak diwakili oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abang Addy Ayanni dan Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Haji Jofro Jaraiee.

Mereka senada untuk bersatu di bawah Pakatan Rakyat bagi menjadi juara rakyat dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman BN.

Ini juga menjadi petanda baik bagi Pakatan Rakyat menghadapi BN di dalam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Untuk rekod, Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dan 71 kerusi dewan Undangan Negeri (Dun).

Sekiranya Pakatan Rakyat dapat menggugat BN di dalam pilihan raya negeri, ia menjadi petanda bahawa gelombang rakyat berterusan untuk menumbangkan BN di dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Sumber: Harakahdaily.net

Ghauth didakwa amal kronisme, lantik dekan tidak layak

Kuala Lumpur 16 Disember 09:15a.m │ Prof. Dr. Ghauth Jasmon, Naib Canselor Universiti Malaya didakwa mengamalkan kronisme dan melantik dekan tanpa mengikut spesifikasi kelayakan sebenar dalam sesi pentadbiran beliau.

Dakwaan berkenaan timbul berikutan perlantikan dua individu dalam universiti berkenaan iaitu Dr. David Ngo Chek Leng dan Dr. David Asirvatham masing-masing kini menjawat jawatan Profesor dan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM).

Status ‘Professor’ bagi Dr. David Ngo Chek Leng diragui kelayakkannya apabila timbul dakwaan beliau tidak mempunyai kelayakan minimum iaitu kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat SPM/MCE atau kelulusan yang selayaknya sebagaimana dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2008.

Status beliau juga semakin diragui apabila terus mendapat jawatan berkenaan tanpa pihak pentadbiran melihat calon-calon bagi jawatan tersebut yang sedia ada di fakulti berkenaan. Beliau juga tidak mampu bercakap dalam Bahasa Malaysia.

Beberapa mesyuarat terpaksa dibatalkan kerana masalah komunikasi dan penyediaan kertas kerja dalam Bahasa Inggeris perlu dibuat bagi menggantikan yang sedia ada.

Dalam pada itu, Ghauth juga didakwa melantik Dr. David Asirvatham daripada Universiti Multimedia (MMU) sebagai Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) tanpa “melalui proses temuduga atau prosedur seperti pegawai biasa”.

Maklumat dari pegawai PTM menyatakan Asirvatham dilantik hanya kerana beliau mempunyai pengalaman menjalan Sistem Pengundian Elektronik (E-Voting) di MMU, dan “tidak lebih dari itu”.

Beberapa pegawai PTM juga berpendirian “Kami meragui perlantikan beliau (Dr David (Asirvatham) (sebagai Pengarah PTM), seperti ada (sesuatu) yang dirahsiakan (oleh Dr. Ghauth Jasmon)”.

Terdahulu, sebelum ini, Ghauth bertegas akan melaksanakan sistem pengundian di universiti berkenaan kerana berpendirian “Kami dapati sistem itu (E-Voting) dijalankan dengan telus di MMU, dan saya percaya 100% pada Dr David (Asirvatham) ”.-mahasiswakini

Isu Bala Antara Akan Dilapor Ke JSJK

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilaporkan akan membuat suatu laporan rasmi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM di Bukit Aman Khamis ini.

Laporan tersebut berhubung pengakuan Penyiasat Persendirian P. Balasubramaniam yang mendakwa menerima sejumlah sogokan wang daripada seseorang proksi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka turut akan melaporkan kes rasuah yang melibatkan Setiausaha Politik bagi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Shafie Abdullah dan kes penyeludupan wang negara yang didakwa melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin petang tadi melahirkan rasa yakin bahawa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan akan mengambil tindakan positif dalam kes-kes yang tidak melibatkan ahli politik dalam kerajaan.

"Yang tidak ada kaitan dengan Umno BN, KPN sendiri menunjukkan minat komen kes tersebut dalam media,ini kami sambut dengan baik," jelas Badrul.

Beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR secara peribadi menganggap laporan terbabit sebagai medan menguji integriti PDRM sendiri.

"Apa yang lebih penting lagi, kita letak PDRM dan KPN sendiri di medan ujian kerana bagi kita tidak kira pemimpin Pakatan (Rakyat) atau sesiapa saja yang bersalah perlu disoal siasat dan didakwa," jelasnya.

"Kita akan hadir, bukan saja untuk membuat laporan, tapi ada beberapa bukti yang kita yakin cukup untuk Polis memulakan siasatan."

Beliau turut menjelaskan bahawa segala laporan itu tidak akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita telah bakar logo SPRM dan gambar Pesuruhjayanya Januari lalu, sijil kematian SPRM pun masih ada dengan saya...kerana kita anggap suruhanjaya itu sudah hilang peranan kepada masyarakat."

Beliau berkata, suatu penjelasan akan dibuat kepada media dan peserta sekitar jam 9 pagi, sebelum delegasi mereka masuk membuat laporan rasmi.

Tambahnya lagi, pihak Polis turut mengalu-alukan delegasi mereka demi kepentingan rakyat dan negara.

BTN Tiada Manfaat, Hanya Dakyah Pesong Semata-mata

SIJANGKANG, 28 Nov: Tiada manfaat dan hanya dakyah untuk memesong pemikiran belia-belia semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat dirungkaikan mengenai kursus Biro Tata Negara (BTN).

Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, amat jelas program BTN merupakan alat Umno dalam menyebarkan dakyah kepada belia-belia yang menyertainya.

"Ramai pemimpin dalam kerajaan negeri kini yang pernah menyertai malah mengendalikan BTN dan daripada maklum balasnya kita yakin tiada manfaat
jelas program sebegitu,"jelasnya semasa ditemui Harakahdaily di lokasi majlis korban di Dun Sijangkang sebentar tadi.

Disebabkan itu katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan 'anak-anak buah'nya menyertai kursus-kursus yang dianjurkan di bawah BTN.

(Gambar: Dr Ahmad Yunus sedang melakukan ibadah korban dengan menyembelih lembu di Masjid al-Firdaus Kg Sg Rambai pagi tadi)

Dalam pada itu, Dr Ahmad juga menjelaskan bahawa, kerajaan negeri sendiri telah memperkenalkan programnya tersendiri dalam memastikan pembinaan modal insan para belia di negeri Selangor melalui program SPIES (Spiritual, Physical, Intellectual,Emotional, Social).

"Kita telah lama wujudkan dan memang terbukti memberikan kesan yang baik berbanding dengan program-program seperti BTN,"katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN).

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali,keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

Empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.

Selain menghentikan penyertaan pelajar, seperti didesak, keputusan itu turut meliputi kakitangan kerajaan negeri dan pegawai semua anak syarikat kerajaan itu, tambahnya.

Dalam satu sidang media di Shah Alam baru-baru ini, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."

"Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,” kata wakil rakyat PAS itu.

"Oleh kerana ia tidak memberi satu perkara yang positif, tambahan pula kepada minda yang begitu muda ini, maka kita rasa ia tidak perlu dan menghabiskan wang rakyat."

Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam Pakatan menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

Sumber: HarakahDaily

Pelajar Ajuk Cara 'Bersolat Jemaah' Dalam Gereja


ANTARA aksi yang dilakukan sekumpulan pelajar yang menghina cara orang Islam menunaikan solat di dalam sebuah gereja di Betong.

KUCHING: Sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di Betong, Sarawak, merakamkan perbuatan mereka meniru cara umat Islam bersolat jemaah termasuk melaungkan azan di dalam sebuah gereja dan dipaparkan dalam laman web You Tube.

Dalam rakaman dua minit 13 saat itu, sekurang-kurangnya lapan remaja termasuk dua perempuan berusia 12 hingga 15 tahun dilihat ketawa dan menjerit ketika empat rakan mereka melakukan 'solat jemaah'.

Empat remaja lelaki kelihatan berdiri di ruang hadapan gereja atau altar sambil meniru cara solat jemaah dengan seorang daripada mereka melakonkan watak imam.


ANTARA aksi yang dilakukan sekumpulan pelajar yang menghina cara orang Islam menunaikan solat di dalam sebuah gereja di Betong.

Ketika itu, laungan seperti azan jelas kedengaran dipercayai dilakukan rakan lain, manakala kumpulan remaja berkenaan 'bersolat' dengan mengangkat takbir beberapa kali, sujud, duduk antara dua sujud sebelum duduk tahyat akhir.

Kumpulan remaja yang melakonkan watak jemaah turut berbaring beberapa kali dan menggayakan tarian 'shufle' serta berguling. Seorang daripada remaja berkenaan turut dilihat mengajuk cara pondan bersolat sebelum remaja yang merakam berkata "ada pondan ke dalam masjid".

Mereka memakai pakaian baju T dan seluar jeans dengan seorang daripada mereka memakai baju sekolah yang tertera nama dan logo Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine, Betong.

Perbuatan dipercayai dilakukan di sebuah gereja sekitar Betong, kira-kira 350 kilometer dari sini dengan tiada individu dewasa kelihatan berada dalam rumah ibadat berkenaan.

Pada penghujung rakaman, seorang remaja lelaki turut berkata "no more muslim, muslim is ajaran sesat". Rakaman berkenaan dihantar ke sebuah laman web oleh seorang penghantar bernama 'Harisha2012' pada 20 Oktober lalu.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Daud Abdul Rahman, berkata perbuatan itu dilakukan sekumpulan pelajar nakal dan meminta umat Islam tidak cepat melatah.

Katanya, Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) sudah dimaklumkan mengenai perbuatan kumpulan remaja berkenaan dengan siasatan dilakukan beberapa pegawai Jais.
"Sebagai umat Islam, memang kita tidak gembira, namun saya harap ia tidak menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini. Ia dilakukan sekumpulan kecil budak nakal dan ia tidak mencerminkan keadaan sebenar hubungan kaum dan agama yang sememangnya baik sejak dulu lagi," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk merujuknya kepada pemimpin di kawasan berkenaan bagi memastikan ia tidak berulang.

"Setakat ini tiada laporan rasmi dibuat mana-mana pihak, namun saya akan meminta pegawai Jais membuat laporan agar siasatan lebih terperinci dilakukan," katanya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata pihaknya sudah memaklumkan kejadian kepada polis dengan tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan pelajar berkenaan.
 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.