Ghauth didakwa amal kronisme, lantik dekan tidak layak

Kuala Lumpur 16 Disember 09:15a.m │ Prof. Dr. Ghauth Jasmon, Naib Canselor Universiti Malaya didakwa mengamalkan kronisme dan melantik dekan tanpa mengikut spesifikasi kelayakan sebenar dalam sesi pentadbiran beliau.

Dakwaan berkenaan timbul berikutan perlantikan dua individu dalam universiti berkenaan iaitu Dr. David Ngo Chek Leng dan Dr. David Asirvatham masing-masing kini menjawat jawatan Profesor dan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM).

Status ‘Professor’ bagi Dr. David Ngo Chek Leng diragui kelayakkannya apabila timbul dakwaan beliau tidak mempunyai kelayakan minimum iaitu kepujian dalam Bahasa Malaysia di peringkat SPM/MCE atau kelulusan yang selayaknya sebagaimana dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2008.

Status beliau juga semakin diragui apabila terus mendapat jawatan berkenaan tanpa pihak pentadbiran melihat calon-calon bagi jawatan tersebut yang sedia ada di fakulti berkenaan. Beliau juga tidak mampu bercakap dalam Bahasa Malaysia.

Beberapa mesyuarat terpaksa dibatalkan kerana masalah komunikasi dan penyediaan kertas kerja dalam Bahasa Inggeris perlu dibuat bagi menggantikan yang sedia ada.

Dalam pada itu, Ghauth juga didakwa melantik Dr. David Asirvatham daripada Universiti Multimedia (MMU) sebagai Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) tanpa “melalui proses temuduga atau prosedur seperti pegawai biasa”.

Maklumat dari pegawai PTM menyatakan Asirvatham dilantik hanya kerana beliau mempunyai pengalaman menjalan Sistem Pengundian Elektronik (E-Voting) di MMU, dan “tidak lebih dari itu”.

Beberapa pegawai PTM juga berpendirian “Kami meragui perlantikan beliau (Dr David (Asirvatham) (sebagai Pengarah PTM), seperti ada (sesuatu) yang dirahsiakan (oleh Dr. Ghauth Jasmon)”.

Terdahulu, sebelum ini, Ghauth bertegas akan melaksanakan sistem pengundian di universiti berkenaan kerana berpendirian “Kami dapati sistem itu (E-Voting) dijalankan dengan telus di MMU, dan saya percaya 100% pada Dr David (Asirvatham) ”.-mahasiswakini

Isu Bala Antara Akan Dilapor Ke JSJK

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dilaporkan akan membuat suatu laporan rasmi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM di Bukit Aman Khamis ini.

Laporan tersebut berhubung pengakuan Penyiasat Persendirian P. Balasubramaniam yang mendakwa menerima sejumlah sogokan wang daripada seseorang proksi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka turut akan melaporkan kes rasuah yang melibatkan Setiausaha Politik bagi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Shafie Abdullah dan kes penyeludupan wang negara yang didakwa melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin petang tadi melahirkan rasa yakin bahawa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan akan mengambil tindakan positif dalam kes-kes yang tidak melibatkan ahli politik dalam kerajaan.

"Yang tidak ada kaitan dengan Umno BN, KPN sendiri menunjukkan minat komen kes tersebut dalam media,ini kami sambut dengan baik," jelas Badrul.

Beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR secara peribadi menganggap laporan terbabit sebagai medan menguji integriti PDRM sendiri.

"Apa yang lebih penting lagi, kita letak PDRM dan KPN sendiri di medan ujian kerana bagi kita tidak kira pemimpin Pakatan (Rakyat) atau sesiapa saja yang bersalah perlu disoal siasat dan didakwa," jelasnya.

"Kita akan hadir, bukan saja untuk membuat laporan, tapi ada beberapa bukti yang kita yakin cukup untuk Polis memulakan siasatan."

Beliau turut menjelaskan bahawa segala laporan itu tidak akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita telah bakar logo SPRM dan gambar Pesuruhjayanya Januari lalu, sijil kematian SPRM pun masih ada dengan saya...kerana kita anggap suruhanjaya itu sudah hilang peranan kepada masyarakat."

Beliau berkata, suatu penjelasan akan dibuat kepada media dan peserta sekitar jam 9 pagi, sebelum delegasi mereka masuk membuat laporan rasmi.

Tambahnya lagi, pihak Polis turut mengalu-alukan delegasi mereka demi kepentingan rakyat dan negara.
 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.