Apakah Rupa Paras Persatuan Siswa Islam Sebenar?

Terbaru dalam ucapannya, Perdana Menteri Najib Razak berucap kepada mahasiswa di UiTM shah Alam ketika menutup Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Islam baru-baru ini.

Menurut laporan akhbar, Najib dilaporkan berkata, bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah pun berlalu. Namun, yang lebih penting katanya, tiada sesiapa pun yang boleh memonopoli kebenaran atau kebijaksanaan.

Najib juga menasihatkan agar siswa pandai menyaring maklumat agar tidak terpengaruh dengan dakyah pihak lain; sebuah madah klise yang sering dilaungkan politikus.

Najib mungkin punya seribu satu macam alasan dan sebab kenapa beliau berkata begitu. Antara yang terdekat dalam fikiran kita ialah, Najib sebagai ahli politikus mungkin ingin memberi nasihat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Lafaz kepartian dan jiwa seorang pimpinan kerajaan

Lazimnya kita boleh kenal lafaz yang bersifat kepartian atau lafaz bersifat pemimpin dan negarawan.

Najib tahu dan sangat menyedari bahawa mahasiswa hari ini telah terbiasa dengan wordpress, twitter, blogspot dan sebagainya.

Maka, bukannya Najib tidak tahu bahawa ada kalangan mahasiswa yang telah terbaca laporan mengenai Rosmah puaka yang disiarkan lewat laman portal YouTube itu.

Tiada akhbar aliran perdana yang menyiarkan laporan mengenainya. Adakah sebenarnya Najib ingin beritahu mahasiswa supaya tidak terpengaruh dengan laporan tersebut?

Dalam laporan Berita Harian (27 Julai, halaman dua), tajuk laporan akhbar itu ialah 'Jangan jadi pembudaya fitnah', 'Najib mahu mahasiswa halusi isu, guna kewarasan intelektual saring maklumat'.

Sebagai politikus, Najib seboleh-bolehnya kena terus membuat penjelasan mengenai apakah fitnah tersebut? Jangan main sebut sahaja. Cakap betul-betul, fitnah yang mana satu? Kena cakap jelas-jelas. Mahasiswa itu bukannya bodoh sangat.

Isu kematian (spekulasi bunuh diri atau pembunuhan) Beng Hock? Isu isteri beliau dikatakan 'berpuaka'? Yang mana satu ni Najib? Kita cuma mewakili suara hati mahasiswa itu sahaja.

Oleh kerana Najib berucap di Shah Alam, maka sekurang-kurangnya ada dua kes di Shah Alam yang mungkin terkait dengan ucapan Najib ketika beliau meminta siswa yang terpengaruh dengan fitnah dan mahasiswa perlu ada kejujuran intelektual untuk menyaring maklumat.

Seperti yang anda ketahui, kedua-dua kes di Shah Alam itu ialah kes Beng Hock dijumpai mati terhempas ke bawah dari Plaza Masalam dan kes siswa Unisel menolak kedudukan isteri Najib sebagai Naib Canselor Unisel kerana tiada kelulusan akademik yang meyakinkan mereka.

Hal itu tentu bertambah hangat dengan sebab timbulnya desas-desus berhubung video klip yang membuat pendedahan tentang hal ehwal kepawangan, kedukunan dan amalan ilmu hitam yang terpalit ke atas isterinya.

Tawaf Kaabah tiada erti.. Najib bertahajud jam 4 pagi?

Sebelum ini, ada disebutkan tentang Najib dan isteri bertawaf di Kaabah dan gambar mereka bertawaf itu turut disiarkan di akhbar aliran perdana. Apa ertinya tawaf di Kaabah sedangkan imej sebagai pengamal ilmu hitam masih belum bersih?

Saya peringatkan hal ini kepada Najib kerana 'orang kuat' Damai tinggal serumah, menyewa dengan saya. Bermati-matian dia membela Najib apabila saya mengkritik sang Presiden Umno itu.

"Abang pernah nampak Najib bangun solat tahajud jam 4 pagi depan mata abang sendiri," kata rakan serumah saya itu.

Kita diam saja sebab kita tak pernah nampak Najib bersolat tahajud jam 4 pagi. Jika demikian, tidakkah Najib terfikir mahu bersihkan dan menjernihkan watak isterinya?

Akhirnya, Damai yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri itu telah muncul sebagai sebuah kelab persatuan yang sah di dalam universiti. Pengerusi Damai Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kelab Damai itu boleh bertindak sebagai pemangkin untuk memperkasa persatuan Islam di IPTA masing-masing.

Menurut bancian, kira-kira 50 buah persatuan Islam yang telah berdaftar di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan keahlian badan-badan ini mencecah sekitar 15,000 ahli.

Itu pun, masih ada lagi persatuan-persatuan Islam yang sebenarnya sah di luar universiti, malah telah bernaung dalam MBM (Majlis Belia Malaysia) tetapi dianggap sebagai haram, musuh atau seteru di universiti.

Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sendiri contohnya telah diiktiraf kedudukan mereka dalam MBM, tetapi tidak dapat bergerak dengan bebasnya dalam beberapa buah universiti tertentu.

Baru-baru ini saya berkesempatan masuk ke UiTM sehari sebelum Najib masuk merasmikan penutupan Konvensyen Kepemimpinan Mahasiswa Islam (sekali gus membuat pelancaran penubuhan Kelab Dewan Amal Islam Hadhari (Damai).

GPMS di UiTM misalnya sudah melakukan perubahan dengan menggunakan istilah Muktamar sebagai gantian kepada AGM ataupun Perhimpunan Agung, Mesyuarat Agung Tahunan bagi mencari kepemimpinan mahasiswa.

Tema Muktamar GPMS itu lebih kurang bunyinya 'Ke arah jalinan ukhuwwah'. Ini sudah baik dan sekali imbas ada kesedaran beragama walaupun ada pihak mendakwa bahawa semua itu cuma kosmetik sahaja dengan tujuan menunjukkan wajah keislaman.

Rupa paras Islami

Apa yang penting di sini ialah, kita tak boleh menilai sesebuah persatuan dan individu itu berdasarkan rupa paras dan luarannya sahaja kerana Islam itu hadir dengan AMAL.

Beberapa buah pertubuhan pelajar Islam biasanya akan melakukan program-program tarbiyah, latihan kerohanian ke atas ahli-ahlinya. Inilah yang membezakan antara persatuan Islam dengan persatuan mendaki gunung dan kelab pencinta alam sekitar. Persatuan Islam menitikberatkan soal pembinaan rohani ahli-ahlinya.

Persatuan lain hanyalah lonjakan untuk mendapatkan 'pointer' PNGK dan CGPA. Selain itu, ia mungkin menjadi suatu alat tunggangan politik mahasiswa atau politikus luar dan ia menjadi perkakas untuk mendapatkan tajaan menyusun seminar.

Dalam banyak-banyak persatuan dan kelab di universiti, sememangnya persatuan Islam inilah yang paling aktif secara tak langsung dengan pelbagai kegiatan.

Mereka akan bermukhayyam, bertamrin, berusrah bagi meningkatkan potensi rohani dan akliah. Hal inilah yang tiada pada badan pertubuhan pelajar yang tidak berorientasikan keislaman.

Adakah Kelab Damai, GPMS yang mengguna kalimat 'Muktamar' (dahulunya AGM, Mesyuarat Agung Tahunan, Perhimpunan Agung) akan turut menggunakan pendekatan usrah, tamrin dan mukhayyam sebagai pengisian roh dalaman para ahlinya?

Atau, nama persatuan Islam itu dan penggunaan nama 'muktamar' itu cuma sekadar tempelan nama sahaja dan bukanlah wadah untuk memperbaiki kualiti rohani dan mutu fikrah para anggotanya?

Seperti orang Islam yang baik, bukan sahaja namanya Islam, tetapi mestilah ada pengisian AMAL seperti solat, berpuasa, menunaikan zakat dan menunaikan fardhu haji selain menunaikan solat Tahajud jam 4 pagi seperti Najib.

Juga, orang Islam sejati tidaklah cuma menunaikan amalan wajib dan sunat, malah mereka akan berusaha keras untuk tidak terjebak ke dalam dosa memuja nombor ekor, meletupkan wanita Mongolia hanya kerana isu tuntutan komisyen kapal selam, merompak menyamun Adun sehingga rebahnya Pakatan Rakyat di Perak termasuk berlaku syirik kerana mengamalkan ilmu hitam dan terjebak dengan amalan sihir yang jelas bertentangan dengan agama Islam.

Rupa paras pertubuhan pelajar Islam, dalam konteks universiti di Malaysia hari ini ialah tercetak pada AMAL organisasi seperti - usrah, tamrin dan mukhayyam sebagai mana AMAL umat Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Tiada ertinya keislaman seseorang yang hanya tinggal pada namanya saja Islam, tetapi tidak berAMAL solat, puasa, zakat dan haji. Dan rosak keislaman seseorang jika mereka membunuh, merompak, menyamun, melakukan penganiayaan ke atas orang lain dengan ilmu sihir mereka.

Kita menulis begini kerana Pengerusi - Pengasas Damai adalah Ahmad Zahid Hamid manakala Kelab Damai itu akan dipegang di bawah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah.

Baik Ahmad Zahid Hamidi dan Saifuddin Abdullah, kedua-duanya adalah bekas pimpinan pelajar Islam terulung di Malaysia. Ahmad Zahid tetaplah mantan PMI UM dan pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak tetaplah tak akan mengurangi kehebatannya atau membatalkan kedudukannya sebagai pemimpin mahasiswa Islam di UM pada suatu masa dahulu.

Ahmad Zahid adalah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, manakala Saifuddin Abdullah; pimpinan tertinggi PKPIM pada suatu masa yang lalu.

Pertemuan Ahmad Zahid dengan Ehud Barak tidak seperti kedudukan Iman, Islam seorang yang bersolat tahajud tetapi tetap membunuh dan menyamun Adun dan mungkin tidak merosakkan Iman, Islam seseorang Muslim yang menggunakan ilmu hitam.

Untunglah baru-baru ini, Saifuddin Abdullah meluncurkan sebuah buku-e (buku elektronik) bertajuk Kalau Saya Mahasiswa yang mengundang sedikit keyakinan di hati ini.

Sengajalah kita bertanya - apakah dengan menempel ungkapan Muktamar GPMS itu akan menjelaskan kepada kita bahawa badan pelajar itu sudah menghalakan kegiatannya kepada usrah dan tamrin dan adakah Kelab Damai di bawah kelolaan Ahmad Zahid dan Saifuddin itu akan benar-benar mengadun kegiatannya dengan ramuan usrah dan tamrin?

Kita bertanya soalan begini (apakah Kelab Damai itu memiliki rupa paras persatuan siswa Islam sebenar kerana akan ada usrah dan tamrin) kerana Ahmad Zahid dan Saifuddin adalah antara mantan pimpinan persatuan mahasiswa Islam.

Kita tak tanya soalan ini kepada Najib kerana kita pun tahu ketika Najib mengungkap ayat ini lewat ucapannya..

"..cara membimbing pemimpin adalah selaras dengan kaedah anjuran Rasulullah s.a.w yang menitikberatkan tarbiah dan disiplin dalam membentuk pengikutnya seperti ketika baginda membimbing sahabatnya termasuk Usamah, Muaz dan Mus'ab.." (sedutan petikan ucapan Najib Razak)

.. satu Malaya Merdeka pun tahu bahawa Najib sedang membaca teks ucapan yang ditulis oleh siapa entah. Jadi, masakan Najib yang tidak mengucapkan lafaz tersebut daripada hatinya sendiri, boleh menjawab soalan kita - adakah Kelab Damai akan berAMAL dengan usrah dan tamrin?

Najib hidup bergelumang dengan kalimah-kalimah komisyen, duit ringgit, dollar, Mongolia. Usrah dan tamrin tiada dalam pengetahuan dan kamus pengalaman hidupnya.

Kita bertanya begini kerana kununnya, jumlah keanggotaan ahli persatuan pelajar Islam yang berdaftar di bawah HEP itu ramai sekali; 15,000 jumlah keahliannya. Ini adalah sejumlah batalion besar yang boleh membuat perubahan dalaman Umno jika semuanya hadir dalam usrah dan tamrin. Kunun-kununnya begitulah.. secara idealnya.

Syahadan, kita bertanya begini, adakah Kelab Damai akan berAMAL dengan usrah dan tamrin kerana nama kelab itu sendiri - Kelab Damai, iaitu kependekan daripada Dewan AMAL Islam Hadhari (Damai).

Ini kerana AMAL usrah dan tamrin inilah antara titik tolak kepada jatuh bangunnya kepimpinan mahasiswa Islam hari ini dulu dan mungkin selama-lamanya.

Jika ada rancangan untuk 'mentamrinkan' dan 'mengusrahkan' mereka di dalam UiTM Shah Alam sendiri, maka apakah bentuk dan corak pengisiannya? Adakah Naib Canselor UiTM Ibrahim Abu Shah akan memberikan keizinannya untuk pelajar berusrah dan bertamrin kelak?

4:28 p.m, 27 Julai

Sekolah Pemikiran Kg Baru

[Jika Ahmad Zahid Hamidi dan Saifuddin Abdullah tidak dapat menjawab soalan ini, maka mana-mana wakil mereka pun boleh juga menjawab soalan ini bagi pihak kedua-dua mantan pimpinan pertubuhan pelajar Islam ini. Jawapan boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ]


(dipetik daripada HarakahDaily.Net)

Tashji': Wahai Jiwa Yang Bersedih dan Berdukacita...


ALLAH SWT menciptakan manusia dengan nafsu; maka dengan wujudnya nafsu di dalam entiti tubuh manusia itu, manusia dilengkapi dengan pelbagai macam perasaan yang didatangkan ke dalam hatinya. Maka apabila manusia menemui suka, maka gembira menjengah hatinya. Di sisi yang lain dalam permainan perasaan di dalam hati manusia ini, ada juga perasaan sedih yang mengundang barang rasa kurang senang di dalam hati.

Maka dengan kesedihan itulah ada sekurang-kurangnya terwujud sebesar biji sawi unsur kekecewaan, pedih, pecah hati, merajuk dan sebagainya – berbagai lagi naluri yang diistilahkan sebagai perasaan yang perlu dibelai dengan pujukan dan taujihat.

Oleh kerana ALLAH SWT Maha Mengetahui bahawa manusia adalah makhluk yang sangat terdedah kepada rasa kecewa, sedih dan putus asa di dalam kehidupannya apabila dia bersua muka dengan kepayahan, maka Maha Suci ALLAH, Sang Kekasih, Rabbul ‘Izzati juga Maha Tidak Lupa untuk menurunkan ayat-ayat busyra (khabar gembira) untuk menenangkan dan memujuk hati-hati manusia, khasnya bagi mereka yang beriman kepada kebenaran-Nya.

Hebatnya keterangan ayat-ayat tanda kebijaksanaan-Nya sehingga apabila dibaca, sang kafir pun turut sedikit terubat dengan perkhabaran mengenai sifat Rahman-Nya ke atas mereka. Alangkah beruntungnya si bukan Islam apabila dia bertemu dengan kebenaran lantas berpegang dengannya, jika dia mengetahui tentangnya.

Maka apabila kau bertemu dengan si fulan yang terduduk menahan keperitan hati menanggung kesedihan, ataupun si fulanah yang menitiskan air mata gara-gara berita sedih yang mendatanginya, kau berikanlah dia kekuatan. Kau bacakan ayat-ayat kasih sayangNya kepada dia. Kau pujuki dia dengan manis mulut bibirmu dengan khabar gembira dari ALLAH SWT dan Rasul-Nya. InsyaALLAH, dia kembali berdiri semula apabila kau telah memimpin dirinya untuk mencampakkan kesedihan daripada terus membelenggu hatinya sehingga dia mampu berjalan semula.

Demikian juga apabila dirimu yang ditimpa musibah kesedihan, kau hiburkanlah hatimu yang berduka itu dengan bait-bait ayat-ayatNya yang Maha Suci dan Sempurna. Kau renungi sirah Baginda Muhammad SAW yang mulia, kau perah segala ‘ibrah yang terdapat di dalam jalan hidupnya, kerana Demi ALLAH berat lagi ujian dan bebanan yang terpikul ke atas bahu Baginda.

Tentu kau ingat akan kesedihan Baginda ditinggalkan oleh isteri kesayangan Baginda dan juga bapa saudaranya yang tercinta buat selama-lamanya? Juga tidak mungkin kau terlupa akan pemulauan dan ejekan keluarga dan kaum Baginda terhadap Bagnda sendiri. Pujukilah hatimu dengan kalimah-kalimah yang menggembirakan hatimu. Sepertimana kau juga memberikan semangat semula kepada mereka yang bersedih di sekelilingmu.

Sesungguhnya tidak datang kesedihan itu melainkan suatu ujian bagimu.

Ingatlah, siapa yang sentiasa di sisimu untuk mengabulkan doa?

Siapa yang sudi menerimamu kembali setelah kau datang kepada-Nya dengan banjaran dosa-dosamu?

Siapa yang memberikan ketenangan dan kesenangan setelah kau diuji?

Siapa yang masih mahu memberikan nikmat kepadamu kadangkala tanpa kau memintanya?

Tuhan adalah jawapan kepada segalanya. Kembalilah kepada ALLAH Tuhanmu.


“ALLAH Maha Penyayang terhadap hamba-Nya” Asy-Syu’ara’ ayat 19

“Dia telah memberikan nikmat-nikmat-Nya secara sempurna kepada kalian, baik yang zahir mahupun yang batin..” Luqman ayat 20.

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (Pengetahuan Kami) sebelum Kami mengadakannya..” Al-Hadid ayat 22.

“…boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu..” Al-Baqarah ayat 216.

“Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang berada di dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya?..” An-Naml ayat 62.

“Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu…” Al-Mu’minun ayat 60.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” Ali-‘Imran ayat 139.

“Siapa yang dikehendaki ALLAH untuk menjadi baik, nescaya ALLAH akan memberikan cubaan kepada-Nya” – Al-Hadith.

Maka La Tahzan..Janganlah Kau Bersedih.

Wassalam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
12.39am,
30 Julai 2009, Khamis,
Kuching, Sarawak.

Antara Ko-SPIN, H1N1 dan Ijtima' Tabligh...

Saya baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur-Perak semalam. Buat pertama kalinya pada hujung minggu lepas kaki saya memijak tanah di negeri Perak dan sampai ke UTP, alhamduliLLAH. Sampai juga dan berkesempatan juga akhirnya.

Apa pun, bukan cerita pergi melancong negeri yang ingin saya ceritakan di dalam entri kali ini. Tajuk saja-saja bikin gimik.

........

Hujung minggu baru-baru ini ada dua-tiga peristiwa signifikan yang berlaku di dalam bumi Malaysia ini.

Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN '09) anjuran GAMIS telah diadakan di Shah Alam semalam. Walau bagaimanapun, saya tidak berkesempatan untuk menghadiri kongres tersebut. Ada juga sahabat yang bertanya samada saya akan pergi ataupun tidak ke kongres tersebut. Saya difahamkan ramai tokoh-tokoh bidang akademik seperti Prof Dr Sidek Baba, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Prof Dr. H. Irwan Prayitno serta beberapa nama lain yang turun membentangkan kertas kerja mereka.

Syabas buat GAMIS kerana berjaya mendapat meraih sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Selangor dalam menjayakan program seumpama itu.

'Alaa kulli haal, semoga kongres yang diadakan mampu menjana pembaharuan dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia, semoga sistem pendidikan di Malaysia menjadi lebih efektif dan dapat berangkat dari takuk asalnya yang lebih banyak melahirkan pelajar belajar sekadar menghafal untuk masuk peperiksaan.

............

Di Sarawak pula, Rainforest Music Festival diadakan di Kampung Budaya Sarawak. Maka ramailah orang-orang asing termasuk pelancong asing yang turun ke Sarawak untuk meraikan festival muzik hutan hujan itu. Mungkin ini dilihat sebagai salah satu punca yang boleh membawa keuntungan yang besar baik kepada penganjur ataupun kerajaan negeri sendiri.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan Malaysia dan seluruh dunia masih gawat dan penduduk dunia masih dalam keadaan ketakutan lantaran epidemik H1N1 atau bahasa kasarnya Selsema BABI masih mengganas, saya merasakan adalah tidak wajar pihak penganjur meneruskan program tersebut dalam keadaan sekarang.

Cuba bayangkan pelancong-pelancong asing termasuklah yang main muzik itu sendiri datang dari negara-negara luar yang terdedah kepada H1N1, bukankah ada potensi untuk meramaikan lagi pembawa-pembawa virus itu?

Kenapa tidak ditunda sahaja program itu sehingga keadaan menjadi kembali stabil?

Mungkinkah ini tanda terdapat kegagalan dari segi menilai yang mana satu lebih awla/ utama, di antara mahu memenuhkan poket dengan wang hasil konsert dan (kononnya) mahu memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang muzik rainforest serta menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan menghalang ataupun mengurangkan kemasukan pendatang asing kerana dikhuatiri peningkatan terhadap jumlah individu yang dijangkiti oleh H1N1?

Pada pandangan saya, ini tidak berbaloi. Kementerian Kesihatan sekarang bukan main lagi berkempen mahu mengurangkan tahap keseriusan epidemik ini, tetapi kita masih lagi mahu membawa golongan-golongan yang berpotensi ini ke dalam negeri. Ini hanya menambahkan lagi risiko jangkitan.

Mungkin pihak penganjur perlu mengambil strict safety measures, untuk mengelakkan risiko yang lebih berbahaya diambil.

.............

Semalam, semasa berada di LCCT, keadaan kelihatan agak meriah. Tidak pernah dilihat sebelum ini, ramai yang berkopiah dan berjubah semalam.

Ya, ramai golongan jamaah Tabligh yang saya temui di LCCT semalam. Hari Khamis yang lepas, saya tertanya-tanya "kenapa ramai sangat tabligh kat LCCT ni? Ada jamaah keluar 40 hari di Semenanjung ke?"

Rupa-rupanya, pada masa yang sama Ko-SPIN diadakan, jamaah tabligh pun turut berijtima' juga. Ijtima' tersebut diadakan di sekitar Sepang.

AlhamduliLLAH, sekurang-kurangnya lebih sedikit berkat dan rahmat ALLAH SWT di KL 'Kota Kesenian Islam' itu dengan keberadaan dua program Islamik yang berada berdekatan dengannya.

Saya kagum juga dengan mereka ini. Di dalam suasana ramai itu, mereka berjaya menampakkan syiar Islam. Di LCCT semalam, memang meriah dengan golongan yang berjubah, berkopiah, berserban. Tidak kurang juga ada yang membaca sisipan Al-Qur'an sementara menunggu panggilan flight. Sekurang-kurangnya berbekas juga LCCT dan Sepang dengan aura da'wah mereka.

Apa yang menarik, di dalam Ijtima' Dakwah Tabligh Sedunia itu, pemimpin kita pun turut turun padang sekali. Tajuk di dalam akhbar Metro yang saya baca, "Sokongan PM, TPM", lebih kurang begitu. Saya tersenyum dan agak terkejut sedikit melihat tajuk itu, melihat PM yang bersongkok dan berucap di depan ribuan ahli jamaah Tabligh. Agak janggal bunyinya.

Tapi, siapa tahu mungkin ini suatu petanda perubahan bahawa beliau juga akan turut bersama dengan jamaah Islam... semoga begitulah hendaknya.

P/S: Mungkinkah ramai lagi di antara pemimpin 'kita' yang akan keluar 3 hari, 40 hari ataupun 4 bulan selepas ini? InsyaALLAH tuan-tuan yang mulia!


WaLLAHuta'ala a'lam,

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
2.47pm,
Isnin, 13 Julai 2009,
Kuching, Sarawak.

Baitul Muslim: Di Persimpangan Yang Satu Lagi...


Tiba-tiba sahaja ilham datang menyapa untuk menulis entri sekitar BM ini. Tapi kali ini bukan cerita cintan-cintun indah yang dititi pasangan yang sudah mengikat janji untuk mendirikan rumahtangga. Ini cerita di simpang yang satu lagi! Ini cerita untuk mereka yang biasa orang labelkan sebagai berjiwa hampa! Ini untuk mereka yang pernah jatuh cinta tapi kemudian jatuh hampa!

Baru-baru ini, saya ada seorang sahabat yang baru sahaja clash dengan calon BM-nya itu. Kasihan juga saya mengenangkan nasibnya, tapi dia cover sahaja rasa yang terpendam di jiwanya dengan wajah cool, akur dan redha barangkali. Apa pun alasan muslimat yang diproposenya itu, bukan isu utama. Tetapi yang nak diceritakan di sini ialah bagaimana attitude apabila kita sudah berada di simpang empat yang bernama clash ini.

Saya akui, walau apapun nama yang diberikan dan macam mana pun approach kita dalam misi mendirikan rumahtangga, pasti ada lagi flaw ataupun kelemahannya. Itu semua perancangan manusia, biar BM, orang tengah, ,melalui ustaz, matchmaking agency dan apa sahaja namanya belum tentu menjanjikan orang yang kita mahukan itu memang akan jadi suami atau isteri kita. Itulah tanda masih belum sempurna perancangan manusia berbanding qadha’ dan qadar ALLAH SWT.

Di dalam proses dan stages semasa BM ini, janganlah yang sudah diikat dan mengikat itu mengharapkan agar tidak ada badai yang akan menggoncang perhubungan itu. Setiap peringkat ada ujiannya.

Semasa proses propose/lamaran, kita berhadapan dengan dua kemungkinan. Samada dia akan terima ataupun bagi buah reject.

Semasa setelah berjaya melalui proses propose pula, besar lagi ujiannya. Tempoh menunggu ini, yang kadangkala berisiko tinggi untuk menyebabkan hubungan itu putus lebih banyak memerlukan kesabaran. Kalau dulu time propose, kita tak rungsing mana. Tapi sekarang dia dah kata ‘on’, kita pula yang kadangkala berhadapan dengan ujian bernama kesetiaan. Kalau tidak kita yang ada masalah berhubung kesetiaan, mungkin si dia di sebelah sana sudah jumpa marka lain. itu berhubung kesetiaan. Kadangkala komitmen terhadap tanggungjawab yang terbeban ke atas diri masing-masing juga menjadi punca putus hubungan. Banyak ujiannya.

Sesudah kahwin pula, pasti timbul satu demi satu kerenah luar jangka daripada pasangan kita itu. Apatah lagi jikalau kita bertemu dengan perangai yang memang kita anti sungguh sebelum berkahwin.

Pendek kata, BM ini banyak dugaan dan ujiannya!

Berbalik semula kepada cerita clash sebelum sempat kahwin ini tadi, saya teringat akan buku yang ditulis oleh Dr ‘Aidh AbduLLAH Al-Qarni yang terkenal itu, “La Tahzan / Don’t Be Sad / Jangan Bersedih”.

Di dalam buku itu, ada satu tajuk yang berbunyi “Jangan Bersedih, Dunia Ini Tidak Selayaknya Ditangisi”.

Ya! Jangan terlalu bersedih. Jangan ditangisi akan dunia ini. Harga seorang pejuang agama adalah terlalu mahal lantas tidak perlu dia berurai air mata andai ditinggalkan calon BM-nya. Lagipun, apa yang terlalu disesalkan sangat sedangkan kedua-duanya belum lagi mempunyai apa-apa ikatan yang sah.

Maka janganlah dikecam muslimat ataupun muslimin yang memutuskan hubungan itu, sebaliknya berdoalah untuk kebaikan mereka. Jangan dipendam dendam terhadap mereka, kerana sesungguhnya kaum muslimin itu sentiasa berkasih sayang! Lebih-lebih lagi kita yang berjuang di jalan ALLAH SWT ini, solusi yang paling baik ialah redha dan berlapang dada terhadap ketentuan ALLAH SWT.

Jangan pula akibat masalah clash ini, Baitul Muslim yang sepatutnya menjadi platform menambah pejuang agama menjadi kilang produksi golongan mutasaqit / yang tercicir di jalan da’wah. Memang ada kes orang yang mulanya kuat berjuang pada mulanya, tetapi selepas diserang virus clash ini, dia terus mufaraqah daripada jamaah Islam dan terus meninggalkan perjuangan. Wal ‘iyya dzubiLLAH!

"Kita selalu bertanya; kenapa rasa KECEWA?

Al-Qur'an Menjawab; Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,

padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya,

jika kamu orang-orang yang beriman Ali-'Imran ayat 139"

Mungkin ada yang akan mempersoalkan, kenapa boleh clash pula sedangkan jalan yang dilalui adalah begitu baik, dan insyaALLAH direstui dan diredhai ALLAH SWT berbanding couple? Bukankah itu tanda kelemahan sistem BM ini yang nampaknya agak mengekang berbanding couple-mouple, dan kekangan ini nampaknya menjadi penyebab kepada clashnya hubungan insan-insan yang menggunakan UBM ini.

Untuk menjawab persoalan ini, cukuplah frasa ‘jodoh, maut, rezeki itu di tangan ALLAH SWT’ sebagai buah kilas. Walau macam manapun perancangan itu dibuat dalam menuju ke alam rumahtangga, itu masih lagi di dalam skala perancangan manusia! ALLAH sendiri telah berkata bahawa perancangan-Nya melebihi perancangan manusia. Kita sekadar berusaha dan berikhtiar sahaja, dan nilainya dilihat di peringkat ikhtiar itu. Jika batasan-batasan Tuhan tidak dilanggari, di samping menghormati prinsip calon yang ingin dikahwini itu, berusaha mencapai persefahaman antara satu sama lain, dan lain-lainnya, itulah yang akan menjadi point-point untuk mendapat redha ALLAH SWT itu.

Selain daripada cerita sahabat saya ini tadi, saya pernah dengar banyak lagi cerita golongan jiwa terluka ini.

Ada satu kes yang mana sudah tinggal sehari lagi berkahwin, dengan sudah merata kad jemputan walimah diedar, tiba-tiba muslimat itu pula meminta diputuskan hubungan kerana belum bersedia. Betapa hancurnya hati muslimin itu, sehingga sekarang pun masih lagi belum berkahwin. Semoga dia cepat dipertemukan jodoh. Seorang ustaz pernah cuba dua-tiga kali juga, tetapi gagal juga dalam menggunakan unit BM ini. syukur jodoh beliau adalah pada kali keempat percubaannya.

Moralnya, walaupun sudah ada persetujuan daripada kedua-dua belah pihak, jangan terlalu cepat panjang angan-angan! Anda bukan lagi berada di zon selesa, tetapi di zon banyak dugaan yang ‘merbahaya’!

Bagi yang pernah kecundang pula, jangan putus asa! InsyaALLAH, redha ALLAH bersama dengan orang yang berusaha untuk melaksanakan rukun agamanya!

Maka, bagi yang berjuang agama yang telahpun mendapat label kecundang ini, jangan jadikan peristiwa itu sebagai pematah semangat berjuang! Janganlah menjadi seperti penghijrah Ummu Qa’is yang berhijrah untuk wanita yang ingin dikahwininya.

Sebagai sekalung taujihat buat mereka yang pernah kecundang dalam menggunakan unit Baitul Muslim ini, Tahniah! Tahniah kerana anda telah menggunakan saluran yang terhormat dan yang sebaiknya, menghormati muslimat yang ingin anda kahwini itu kerana and melamarnya secara terhormat. Tahniah kerana tidak memilih jalan berpasangan penuh noda untuk mengambil si anak dara dan teruna ! Anda telah berjaya menjaga batas-batas dalam beragama!

BarakaLLAHufiikum!

WaLLAHuta’ala a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
9.45am,
Rabu, 15 Julai 2009,
Kuching, Sarawak.
 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.