Islam dan Masa Depan


Setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah, dunia telah dikuasai oleh Barat dalam segenap aspek kehidupan. Penguasaan Barat ini tentunya menggunakan manhaj yang serba kekurangan kerana ia merupakan ciptaan manusia. Hal ini mengakibatkan dunia dilanda krisis yang cukup hebat yang menyerang dari pelbagai sudut yang meruntuhkan ketamadunan manusia.

KRISIS NILAI

Dalam soal nilai dan moral, krisis yang melanda menyebabkan masyarakat terpaksa menanggung bala yang besar yang menjahanamkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan. Acuan yang dipelopori oleh Barat menyebabkan perpecahan yang berlaku di sana sini. Sistem pendidikan yang dilaksanakan gagal mencorakkan masyarakat kea rah keharmonian sosial. Tiada lagi perpaduan walaupun kononnya slogan-slogan perpaduan begitu hebat diperjuangkan tetapi tetap menemui jalan buntu. Tiada lagi ikatan persaudaraan dan kekeluargaan. Tiada lagi nilai kasih sayang, keprihatinan dan belas kasihan. Yang ada hanyalah keruntuhan akhlaq yang berleluasa, permusuhan, sikap ananiyyah dan tiada harga diri.

KRISIS EKONOMI

Dalam bidang ekonomi, sistem ciptaan manusia seperti kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal mewujudkan syurga yang diidam-idamkan. Malah, manusia terpaksa menanggung kerugian yang besar disebabkan sistem ini dengan berlakunya kezaliman, penindasan, pertarungan kasta, monopoli, kemiskinan dan pengangguran yang menjerut keadilan ekonomi.

KRISIS POLITIK

Dunia politik tidak pernah tenang daripada gelora. Kuasa pemerintahan sering bertukar-tukar tangan melalui penggulingan kuasa secara ketenteraan, peperangan, revolusi mahupun demokrasi. Sistem military, demokrasi, republik, monarki bertanggungjawab ke atas kewujudan masalah penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa yang silih berganti, pemberontakan yang menggelapkan dunia hari ini.

KRISIS KEMANUSIAAN

Krisis kemanusiaan berlaku disebabkan oleh sistem ketenteraan yang banyak menanggung dosa dengan mengabaikan nasib ummat manusia. Polisi ketenteraan yang lemah mengakibatkan tiadanya pembelaan ke atas ummat Islam yang ditindas di serata dunia. Apa yang lebih menyedihkan ialah adanya negara ummat Islam yang sanggup mengkhianati saudara seagamanya untuk menjamin survival politik mereka. Sistem ini juga membunuh ruh jihad ummat Islam dan bertanggungjawab ke atas setiap titik keringat dan darah yang gugur di tanah air ummat Islam dalam perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada belenggu penjajahan.

ISLAM ADALAH PENYELESAIAN

Dalam kekalutan dunia hari ini, kita dapat lihat bahawa manusia telah hilang kepercayaan kepada sistem-sistem ciptaan manusia ini. Namun , mereka masih kabur dan meraba-raba dalam kegelapan mencari cahaya penyelamat mereka.

Justeru, gerakan-gerakan Islam di serata dunia semakin kuat melaungkan kalimah Tauhid mengajak manusia kembali kepada sistem Islam, menerima Islam sepenuhnya sebagai panduan hidup mereka.

MANHAJ ISLAM BERSIFAT RABBANI

Islam adalah satu-satunya sistem hidup yang menawarkan sifat rabbani. Sistem Islam adalah ditetapkan oleh Allah S.W.T. yang pastinya sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan mengatasi sistem-sistem ciptaan manusia yang serba kekurangan. Sistem Islam memberi jaminan kesejahteraan tanpa dibatasi sempadan geografi dan zaman. Firman Allah S.W.T.:

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah Kami beribadat".

(Surah Al-Baqarah: 138)

MANHAJ ISLAM BERSIFAT UNIVERSAL (‘ALAMIYYAH)

Islam untuk semua. Manhaj Islam yang bersifat sejagat (‘alamiyyah) dapat memberikan sifat insaniyyah yang menyerlahkan ciri-ciri “infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung sifat keterbukaan itu sendiri. Ciri "infitah" ini melewati batas-batas iklim, mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Ciri ‘alamiyyah ini terpancar dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.

MANHAJ ISLAM BERSIFAT FLEKSIBEL (MURUNAH)

Manhaj hidup Islam yang bersifat anjal atau fleksibel memberikannya daya untuk mengatasi variasi dalam soal permasalahan hidup yang datang silih berganti. Sifat ini membuka jalan untuk berijtihad dalam mengeluarkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan dalil-dalil hukum syara’ yang lain.

MANHAJ ISLAM BERSIFAT MENYELURUH (SYUMULIYYAH)

Sifat manhaj Islam yang menyeluruh merangkumi seluruh aspek kehidupan membezakannya dengan sebarang manhaj duniawi dan sistem-sistem ciptaan manusia yang mempunyai matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala permasalahan manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhi keperluan manusia, sama ada sebagai individu, mahupun kelompok, sama ada dalam urusan kepimpinan, ekonomi, sosial mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.

KESIMPULAN

Pergolakan yang berlaku dalam dunia hari ini memancarkan sinar harapan bahawa Islam akan kembali semua memimpin dunia ke arah kesejahteraan. Kita dapat lihat pada hari ini, sokongan-sokongan kepada kelompok-kelompok yang ingin menegakkan Islam semakin kuat contohnya di negara Turki yang dahulunya mempelopori anutan sekular bagi negara ummat Islam. Inilah janji kemenangan dari Allah bahawa masa depan bersama Islam. Firman Allah S.W.T.:

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (kekuasaan). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.”

(Surah Al-Qasas: 5-6)

Al-Faqir Ilallah,

Wira Islam

Sarawak Oh Sarawak

“Di Sarawak ni, ada orang kata kat saya yang Islamnya kat sini ialah Islam sepertimana kita di zaman 60-an atau 70-an kat Semenanjung dahulu. Ada ustazah yang pakai tudung main ikat kat leher je, pakai kebaya ketat..”..

Itulah gambaran yang pernah diberikan kepada hadirin dalam suatu majlis berkaitan pergerakan da’wah di Sarawak ini, yang turut saya sertai dalam tahun 2006 yang lepas. Amat jelas kepada kita tentang gambaran bahawa kurangnya kesedaran serta kefahaman terhadap Islam di kalangan masyarakat Islam di Sarawak. Saya akui bahawa itulah hakikatnya yang berlaku di negeri tanah air tercinta, tempat kelahiran saya sendiri; Sarawak. Kedangkalan dari segi ilmu agama Islam serta penghayatannya dalam kehidupan. Di masjid-masjid atau di surau-surau, kebanyakan pengunjung setianya hanyalah dari kalangan warga emas.

Ketahuilah bahawa mentaliti di kalangan warga emas di sini melihat bahawa Islam itu adalah dari sudut ‘ibadah khusus sahaja khusus sahaja seperti solat, baca al-Quran, puasa, zakat dan haji, persoalan sekitar najis, air mutlak, berwudhu’, perkara membatalkan wudhu’ dan solat serta lain-lain, tanpa melihat kepada isu-isu besar seperti pengamalan riba dalam sistem perbankan, penipuan dalam urusniaga jualbeli, dan berkenaan perkara yang lebih besar lagi, iaitu pengamalan Islam dalam sistem politik di Malaysia, termasuklah perlaksanaan hukum qisos, jinayah, dan lain-lain. Maka, janganlah hairan kenapa orang Sarawak ni, walaupun kutuk kerajaan macam mana pun, kerajaan juga yang mereka undi. Ianya berkaitan dengan kesedaran….

Tidak semua sedar tentang kewajipan da’wah di sini…

Di Sarawak, kesedaran tentang kewajipan berda’wah tidak wujud di dalam pemikiran masyarakatnya. Kebangkitan gelombang da’wah di sini kebanyakannya hanya bermula di kalangan ahli akademik serta penjawat jawatan tertentu yang berkefahaman Islam dan juga para mahasiswa yang didedahkan dengan ilmu-ilmu sekitar da’wah ini. Apabila kita menyebut tentang menyampaikan ilmu-ilmu berkaitan da’wah dan disiplinnya ini kepada golongan-golongan ini, maka tiadalah platform lain yang dimaksudkan selain daripada sistem usrah yang dijalankan samada secara sirr/rahsia ataupun jahar/terang-terangan (seperti usrah yang dibawakan oleh sesetengah pihak) di institusi pengajian tinggi ataupun di rumah-rumah ahli usrah sendiri. Maka penyampainya atau orang yang mengendalikan usrah-usrah ini pula sudah tentu adalah dari kalangan orang-orang Semenanjung. Daripada usaha mereka inilah akhirnya berkembang ilmu-ilmu sekitar da’wah ini sehingga sistem usrah boleh dikendalikan sendiri oleh pendukung-pendukung da’wah di kalangan anak jati Sarawak sendiri.

Walau bagaimanapun, sebelum ilmu-ilmu dalam pergerakan da’wah ini diperturunkan kepada ahli-ahli usrah, mereka sebenarnya terlebih dahulu telah didedahkan dengan ilmu-ilmu asas berkaitan kefahaman Islam, agar mereka benar-benar faham tentang Islam dengan kefahaman yang sebenar-benarnya sebelum mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab da’wah ini. Maka, perkara yang lebih penting untuk diberikan tumpuan kepada masyarakat Islam di sini ialah kefahaman asas yang tulen dan benar terhadap Islam sebelum kita melangkah lebih jauh untuk berkempen siapa yang sepatutnya diundi…. Marilah kita mulakan dengan menyebarkan kefahaman yang benar…

Memulakan dengan yang asas…

Di Sarawak, kesedaran tentang kewajipan melaksanakan hukum Islam dalam undang-undang dan politik adalah sangat lemah dan masih lemah. Di Sarawak, ramai yang mengundi PAS bukanlah kerana faham tentang kewajipan menegakkan hukum-hukum Islam. Tetapi mereka lebih cenderung untuk bertaqlid dengan tindakan membangkang atas dasar tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan yang kadangkala nampak bersikap tidak adil dan menzalimi rakyat. Walau apa pun, saya tidak mengatakan tindakan mereka ini adalah merupakan suatu kesalahan. Ini kerana hujjah-hujjah mereka ini saya kira boleh diterima dari sudut demokrasi; rakyat berhak untuk memilih sesiapa yang mereka rasakan boleh mentadbir dengan baik. Cuma, saya rasa adalah lebih baik untuk kita mempersiapkan golongan ini dengan kefahaman Islam yang sebenar terutamanya dari segi konsep kesyumulan Islam..supaya mereka tahu bahawa sememangnya wujud dalil-dalil dan nas-nas yang mewajibkan penegakkan hukum-hukum Islam; supaya mereka bukan sahaja bertindak atas dasar demokrasi, tapi juga bertindak berdasarkan hujjah-hujjah yang lebih kukuh yang tidak dapat dipertikaikan lagi (kecuali bagi mereka yang berfahaman sekular dan hanya menurut hawa nafsu yang enggan tunduk kepada perintah ALLAH S.W.T dan Rasul-Nya).

Berbalik kepada perbincangan kita yang asal, berdasarkan kepada situasi yang saya ceritakan tadi menggambarkan bahawa betapa lemahnya kefahaman masyarakat Islam di Sarawak tentang konsep kesyumulan Islam, yang mana mereka berkefahaman bahawa Islam itu adalah solat, puasa, zakat dan haji; tidak lebih dari itu. Jika ada yang faham pun, bilangannya adalah sangat sedikit…Jelaslah bahawa kita memerlukan lebih ramai lagi orang yang berkefahaman…

Untuk memberikan kefahaman yang benar tentang Islam seperti yang saya sebutkan tadi, tidak lain, kita perlu mulakan daripada yang asas. Saya yakin, setiap daripada kita yang terlibat dalam usrah sudah pasti pernah melalui bab awal dalam silibus terawal usrah yang membincangkan tentang sifat-sifat khusus Islam/khasais Islam. Di sana, kita pernah menyebutkan tentang konsep kesyumulan Islam, Islam Itu Menyeluruh. Maka dari konsep itulah kita faham bahawa Islam itu adalah segala-galanya, termasuklah dalam hal politik. Maka kita tahu bahawa tidak sepatutnya mengenepikan soal politik apabila kita berkata Islam itu menyeluruh. Lihatlah, kita dahulu juga pun bermula dari sini juga, jadi untuk memberikan kefahaman yang jelas kepada yang lain, kita mulakan di sini juga untuk mereka…start from the scratch…kita mulakan dari yang asas. Dari kefahaman asas yang jitu yang boleh membentuk individu muslim/fardhu muslim yang sejati, sehingga pembentukan keluarga muslim/baitul muslim sehinggalah ke peringkat bernegara dan berpolitik….dari mengucap dua kalimah syahadah sehinggalah kepada mendirikan kerajaan Islam seperti yang diajar sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W…

Maka untuk melancarkan kefahaman Islam yang jitu ini, kita hendaklah memulakannya di setiap peringkat di mana kita mengambil kira setiap golongan sebagai sasaran. Dari peringkat remaja sekolah sehinggalah ke golongan warga emas. Di sini, kefahaman yang dimaksudkan ialah menjelaskan kepada masyarakat tentang sifat-sifat Islam yang umum, agar kefahaman mereka tentang Islam menjadi lebih meluas, bukan setakat membincangkan hukum-hukum fiqh ‘ibadah yang kemudiannya akan diulang-ulang sekitar persoalan yang sama.

Satu perkara yang amat melapangkan dada ialah apabila saya melihat bahawa sudah wujud pihak-pihak yang sudi menggerakkan usrah ataupun sekurang-kurangnya program Islamik yang umum seperti mengadakan aktiviti-aktiviti santai yang Islamik, mengadakan ziarah mingguan ke sekolah-sekolah berasrama, mengadakan kelas tuisyen percuma, dan lain-lain lagi kepada pelajar-pelajar sekolah. Tidak kurang juga pihak-pihak tertentu yang bergerak di bawah badan-badan sukarela bagi membantu melakukan kerja-kerja amal untuk masyarakat kampung di Sarawak, contohnya Yayasan Amal dan HIKMAH. Ini sudah pasti membuktikan konsep Islam yang ternyata menunjukkan Islam bukan sekadar solat berjemaah di masjid, mendengar kuliah dan ceramah, tetapi lebih dari itu. Penglibatan badan-badan Islam sukarela juga memberikan kelebihan kepada da’wah Islamiah di mana ahli-ahlinya dapat mendekatkan diri kepada masyarakat, dan kelebihan ini akan digunakan sebagai kesempatan secara tidak langsung untuk menyebarkan da’wah di kalangan masyarakat kampung. Inilah yang saya maksudkan dengan bermula dari yang asas…

Bekerjasama dan mengelakkan perselisihan…

Bagi ahli-ahli yang bergerak dalam sistem usrah, kita sudah pasti tidak asing lagi dengan nama-nama gerakan Islam seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), ISMA, Jamaah Tabligh dan lain-lain lagi gerakan Islam yang wujud di Malaysia. Di Sarawak juga tidak ketinggalan di mana setiap mahasiswa yang menyertai sesi usrah pasti akan bertembung dengan nama-nama ini. Apa tidaknya, hampir di seluruh IPT tidak kira swasta ataupun awam mempunyai usrah-usrah yang dikendalikan oleh individu-individu dalam gerakan ini.

Walaupun kita dapat lihat gerakan-gerakan ini mempunyai nama yang berbeza-beza dan golongan yang membawa gerakan ini juga berbeza pangkatnya, namun kita tetap pasti bahawa matlamat gerakan-gerakan ini hanyalah satu; untuk menjalankan kewajipan da’wah Islamiyyah, menyebarkan kefahaman Islam yang sebenarnya, dan bergerak ke arah menegakkan agama ALLAH S.W.T.

Namun, satu fenomena yang tidak sedap didengar ialah apabila ada sesetengah pihak yang terlibat dalam gerakan-gerakan ini sendiri yang menuding jari menunjukkan kelemahan-kelemahan yang ada pada jemaah yang lain. Jemaah di sebelah ini menunjukkan kelemahan jemaah yang ada di sebelah sana, dan begitulah sebaliknya. Saya tidak mahu menerangkan dan memberi contoh-contoh dakwaan yang dilontarkan oleh jemaah masing-masing kepada jemaah lain. Padahal, kesemuanya menuju ke arah matlamat yang sama. Sama-sama bercita-cita mahu menegakkan Islam, sama-sama mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat, sama-sama membenci thaghut….maka kenapa masing-masing mahu membuka pekung di dada saudara seIslam sendiri yang sebenarnya bergerak menuju matlamat yang sama, dan pada yang sama, membiarkan musuh Islam menyelinap masuk memasukkan jarum-jarum menghancurkan agama di masa kita masih sibuk berbalah sesama sendiri?

Kenapakah kita tidak boleh melupakan sahaja perselisihan yang tidak bermakna itu dan menjadikan matlamat kita sebagai fokus utama. Kenapa tidak bersatu sahaja, daripada berpecah dan membentuk jemaah yang baru? Bukankah ia akan memburukkan lagi keadaan?

Baru-baru ini, seorang sahabat yang sama-sama terlibat dalam gerakan Islam ada menyatakan pendapatnya terhadap satu jemaah (yang mana saya sendiri merupakan ahli jemaah yang dia maksudkan), “Setahu saya, bukankah jemaah ini ..itu ini, itu ini….?” dan kemudian dia menyatakan pendapatnya kepada saya, yang mana salah satunya berbunyi “Bagi saya, salah satu daripada faktor yang penting dalam memilih jemaah / kejayaan da’wah ialah uslub da’wah itu sendiri. Kalau uslub da’wah itu tidak dapat diterima oleh masyarakat, maka bagaimana nak berjaya?”.

Jawapan saya kepadanya “Oleh sebab itu, kita kena bersatu. Di mana ada platform yang mudah diterima masyarakat, dan platform mana yang mampu membawa kita dekat kepada masyarakat, platform itu yang kita gunakan. Jika masyarakat boleh terima HIKMAH, kita bantu kuatkan HIKMAH.

Bagi saya, saya memilih jemaah yang nyata menunjukkan kesyumulan Islam dalam pergerakannya. Jemaah yang merangkumi dari golongan petani, nelayan, penoreh getah, kepada golongan korporat sehinggalah kepada golongan ulama’. Dan saya meyakini jemaah yang pemimpinnya adalah ulama’. Jemaah yang merasai sendiri keperitan dan penindasan daripada golongan yang menyeleweng dan bukan hanya duduk di bawah penghawa dingin, tetapi jemaah yang turun ke padang untuk membantu masyarakat. Ianya bukanlah jemaah hanya untuk jurutera-jurutera sahaja, tetapi untuk semua. Dan anda juga mempunyai pilihan dan pendapat anda sendiri.

Masih jauh lagi perjalanan untuk menyedarkan jumlah besar masyarakat di Sarawak tentang perlunya kerajaan Islam yang menegakkan hukum-hukum ALLAH S.W.T.

Saya sendiri yakin jika ada sesetengah pihak yang kurang faham, maka mereka akan memandang jelek terhadap tulisan ini kerana membawakan isu politik. Mulakan dengan da’wah umum. Apabila asas sudah kuat, barulah kesedaran akan timbul. Barulah masyarakat akan faham. Barulah masyarakat boleh terima.

Inilah mesej utama dalam tulisan saya ini sebenarnya. Saya ingin berpesan kepada semua ahli dari semua jemaah yang mendakwa membawa Islam, agar bersatu untuk mencapai matlamat yang sebenar. Mari kita menggembleng tenaga dan mengumpul lebih banyak idea yang boleh kita gunakan untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar ke dalam masyarakat. Kita mulakan dengan yang asas, dan apabila telah sempurna tapak yang kukuh, barulah kita teruskan langkah yang seterusnya. InsyaALLAH, Islam akan menang. Kita bekerja untuk Islam, tidak kira kita berjaya atau tidak, ALLAH tidak melihat kepada keputusan, tapi ALLAH melihat kepada proses dan usaha kita dalam membela agamaNya. ALLAH telah menjanjikan kemenangan Islam, jika bukan masa kita—mungkin di waktu anak cucu kita nanti.

Tuan Guru Haji Fadzil Mohd. Noor pernah menyebut dalam bukunya yang bertajuk ‘Aqidah dan Perjuangan, yang berbunyi “Kebenaran (haq) itu walaupun dalam keadaan lemah tetapi akhirnya ia akan menang.”

Sayyid Qutb dalam surat terakhir beliau kepada adiknya telah menulis sebelum beliau syahid di tali gantung : “Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini. Tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Adikku, usahlah engkau gerun dengan tali gantung yang akan menjerut leherku ini.”

Janganlah kita berbalah memikirkan soal jemaah mana yang lebih hebat, yang mana satu adalah paling baik, yang mana satu lebih ideal. Sedarlah, jemaah yang paling ideal, paling sempurna hanyalah pada jemaah Nabi Muhammad S.A.W. dahulu. Jalan kejayaan hanya ada pada kesatuan di zaman ini. Hayatilah makna pepatah Melayu “Bersatu teguh, bercerai roboh”.

Wallahua'lam.

Ghulam as-Sarawaki

12 Januari 2008 / 3 Muharram 1429H

Tarbiyyah Oh Tarbiyyah

Tarbiyah itu untuk semua, kecuali orang orang-orang yang jahil dan buta hati serta hanyut dalam sinetron dunia. Setiap insan yang menggelar dirinya pejuang-pejuang islam akan mengetahui apa itu tarbiyah, tarbiyah merupakan satu proses kita mempelajari sesuatu perkara. Bagi mereka bergelar pejuang akan mengalirlah darah di dalam tubuh nya sebuah pengorbanan yang mana memerlukan kekuatan untuk menjadi kuat dalam merentasi pahit manis perjuangan membawa agama islam. Setelah pengorbanan itu sebati dalam hidupnya maka akan lahir satu sikap di mana mengiakan apa jua yang berada di sekelilingnya adalah Tarbiyah untuk dirinya.

Tarbiyah yang terbaik adalah daripada rabb yang satu, apabila kita yakin sesuatu itu hanya dari Allah, tidak ada yang harus dikesali malah mensyukurinya, kerana sebaik-sebaik tarbiyah yang diterima oleh Nabi Muhammmad s.a.w juga secara langsung diterima daripada ALLAH SWT. Antara tarbiyah yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW sebelum baginda di angkat menjadi pemimpin kepada umatnya adalah pewafatan ayahnya ketika baginda masih dalam kandungan ibunya, kemudian allah mewafatkan ibunya, kemudian datuknya, setelah itu Nabi di jaga oleh bapa saudaranya yang masih menyembah berhala tetapi sangat menyayangi Nabi Muhammad seperti anaknya sendiri, setelah itu baginda di tarbiyah lagi dengan mengembala kambing, dari sini menunjukkan tarbiyah untuk menjadi pemimpin iaitu kepemimpinannya baginda untuk mengawal dan memimpin umatnya yang ramai, beliau ditarbiyah untuk mengawal kambing terlebih dahulu, setelah itu beliau ditarbiyah lagi dengan didatangi malaikat membelah dadanya untuk mencuci hatinya daripada segala sifat keji dan tidak baik, dan tarbiyah ketika berkhalwat di gua hira’ beliau pulang ke rumah dalam keadaan menggigil kesejukan dan di selimut oleh khadijah isterinya yang tercinta.

Maka turunlah surah muzammil, ayat 1 & 2 ...ya ayyuhal muzammil(1) Qummillailla illa qalila(2)...yang bermaksud wahai orang berselimut bangunlah mengerjakan solat pada malam hari...Bermulalah detik baginda untuk memimpin manusia setelah ditarbiyah oleh ALLAH SWT. Disini ingin saya nyatakan bahawa sebelum kita bermula untuk berjinak-jinak di dalam saf perjuangan islam menjadi satu kewajipan untuk ditarbiyah, ini juga tidak bermakna setelah ditarbiyah kita tidak perlu ditarbiyah lagi malah perlu mentarbiyah orang lain yang masih memerlukan tarbiyah malah dapat memantapkan lagi tarbiyah yang dimilikinya.

Mengapa perlunya Tarbiyah? Tarbiyah ini suatu aset supaya kita kebal atau lali dengan segala cabaran dan dugaan yang dilontarkan untuk mendapatkan mardhotillah dan SYAHID, sebagai contoh andai kita adalah tahanan ISA, hidup dalam tahanan sel tanpa perbicaraan yang kejam dan penuh kejijikan dan penderaan yang dilakukan ke atas insan-insan yang membela agama islam di Malaysia, bagaimana mereka semua itu dapat bertahan jika tidak ditarbiyah terlebih dahulu, syahidah Zainab Al Ghazali dipenjara di dalam sel tahanan pihak british yang mana beliau tidak boleh duduk serta berdiri didalam sel tersebut, juga sel itu dilimpahi air kotor selama bertahun-tahun, alangkah kuat dan sabarnya beliau menempuh kehidupan sedemikian hanya untuk mendapat sayhid daipada Allah. Ini semua kerana beliau telah dibiasakan diri dengan tarbiyah sebelum datangnya liku-liku cabaran sedemikian rupa.

Kepentingan tarbiyah ini adalah untuk memajukan diri kita sendiri dalam pembentukan akhlak yang lebih baik dan menjauhi maksiat serta perkara sia-sia, ketahuilah sekarang ini semakin ramai golongan-golongan seusia kita masih tidak berakhlak dan masih kekurangan insan-insan yang ingin berjalan seiring dengan perjuangan kita harini ingin menerima tarbiyah, maka sekiranya kita tidak berusaha untuk mentarbiyah diri kita sendiri untuk mendekati kebaikan maka ketinggalanlah umat islam seluruh dunia. Anda-anda semua ini adalah yang terpilih oleh ALLAH untuk mendapat tarbiyah serta jauh dari persimpangan yang terpesong. Selain itu Tarbiyah juga dapat melahirkan jundi (tentera) dan qiadi (pemimpin) yang benar sebagai contoh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan kini tidak pernah merasa jelek atau segan untuk ditarbiyah oleh Presiden PAS Yang Berhormat Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Bin Awang walaupun dalam pada masa yang sama beliau mentarbiyah orang lain.

La islamil bil jamaaah

Wala jamaati illa bil qiadah

Wala qiadah illa bil tolaah.

Tiada islam kecuali dengan adanya jamaah

Dan jamaah tidak dicapai kecuali dengan adanya kepimpinan

Dan tidak ada kepimpinan tanpa ketaatan

Setiap perjuangan atau jemaah yang kita ikut perlu ada tarbiyah yang dapat merangsang pemikiran untuk terus tetap di dalam saf perjuangan. Pelbagai cara dan bentuk dapat kita terima apabila kita benar-benar mengaku diri sebagai pejuang-pejuang islam. Amat malu jika kita menggelar diri pejuang islam tetapi tiada tarbiyah yang terselit didalam diri. Orang yang selalu lari daripada ditarbiyah dan mentarbiyah, tidak usah di impikan kemenagan islam.

Allahua’lam

- Pengembara Ilmu -

KE ARAH MENEPATI PIAWAIAN JEMAAH ISLAM CONTOH

Assalamu'alaikum wa rahmatuLLAH kepada sidang Nur Kenyalang serta pengunjung blog sekalian.
KE ARAH MENEPATI PIAWAIAN JEMAAH ISLAM CONTOH

(petikan dari buku Sheikh Mustafa Mashyur)

Seperti kata-kata Saidina Ali (ra), "Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya".

Hatta, dengan jemaah juga, seseorang itu harus mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri jemaah tersebut sebelum menggabungkan diri kedalamnya.

Artikel ini adalah berdasarkan huraian Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya, 'Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah' dan 'Dakwah Fardiah'. Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan atau rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan dan menggabungkan diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang diwajibkan keatasnya.

Pilihan seseorang itu memerlukan perincian yang halus, hikmah, penjelasan yang terang dan meyakinkan dan tidak terburu-buru. Dalam medan dakwah masakini, terdapat banyak jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan huraian ini juga tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan dan persengketaan antara jemaah yang sedia ada, tetapi sebaliknya mengharapkan ianya dijadikan sebagai titiktolak bagi sesebuah jemaah tersebut untuk kembali kepada hakikat kesatuan ummah sejagat berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang dihuraikan.

Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam Contoh ialah :

1) Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah). Jemaah ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran, kedudukan atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari dorongan-dorongan Jahiliyyah seperti taa'sub kelompok (assabiyah), batas-batas geografi atau kenegaraan (nationalisma), dan seumpamanya.
Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa jemaah ini kearah kegagalan.

2) Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan AlQuran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej dakwahnya.

3) Jemaah itu dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu yakni untuk menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan Daulah Islamiah Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi) adalah berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk mencapai tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak atau qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam 'perkara-perkara juzuk' dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah dan sebagainya.

4) Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh (kesyumulan Islam) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw), dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.

5) Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja. (sila rujuk karangan Ustaz Said Hawa, 'Durus Fil Amal AlIslami')

6) Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah), beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor persekitaran (waqi').

Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi.

Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).

7) Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah.

Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu"
(Surah Hujurat:11-13)

8) Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.

9) Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.

10) Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama.


Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.

11) Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12) Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.

13) Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan

14) Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa, tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun..

15) Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama- sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.

16) Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam, sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.

17) Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah AlHadiid: 28,

"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua (2) bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu".


18) Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19) Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20) Jemaah ini sentiasa menketakutan yang dialami. Mereka ini akan terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".
Demikianlah penjelasan yang terperinci mengenai marhalah ini. Apa yang baik itu sesungguhnya bersumberkan dari Allah swt, dan segalakekurangan itu adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri.

Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi
 
Ikatan Studi Islam Sarawak. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.